Bab 7

159 31 0
                                    

SEJAK pertemuan di kedai buku itu, secara tiba-tiba hubungan dia dan Malikh mula terjalin. Dari sekadar berbual-bual kosong setiap kali terserempak, kepada tahap bertukar-tukar nombor telefon. Dan hari demi hari, Tania rasa makin selesa berkawan dengan jejaka itu.

Entahlah. Sejujurnya dia pun tak pasti tentang rasa yang mula tumbuh dalam hatinya ini. Nak kata cinta, macam terlalu awal. Sebab orang kata cinta itu hadir setelah sayang. Tapi nak kata dia sayangkan Malikh itu, macam belum lagi.

Anggap sajalah, dia sukakan Malikh sebagai seorang kawan dan sahabat yang rapat. Juga kerana peribadi lelaki itu yang padanya sangat menyenangkan hati dan jiwa.

"Katanya esok ada program sempena Hari Belia kat padang awam. Adik tahu tak?" Fatimah berkata sambil melabuhkan punggung ke sofa.

"Dah tahu dah, Malikh ada bagitahu semalam," balas Tania tanpa memandang ke arah ibunya. Tumpuannya lebih kepada kertas dan gunting yang ada dalam tangannya.

"Itu duk buat apa pula tu?"

"Buat origami," jawabnya lalu tersengih. Fatimah menggelengkan kepala. Dah tak ada kerja sangat gamaknya si budak Tania ni.

Kertas yang siap digunting dilipat menjadi segi tiga di tengah. Kemudian, hujung bucunya dilipat ke dalam dan setelah beberapa langkah, akhirnya terhasil sekeping origami berbentuk hati. Tania tergelak kecil melihat hasil tangannya.

Rasa macam budak-budak!

"Ibu tengok rapat betul adik dengan Malikh sekarang ni. Ada apa-apa yang ibu patut tahu ke?" Soalan tiba-tiba dari ibunya membuatkan niatnya ingin mencapai sekeping lagi kertas terbantut.

"Tak adalah bu, kami berkawan aje. Tak ada apalah," nafinya, enggan ibunya berfikir yang tidak-tidak.

Fatimah memandang anak daranya dengan pandangan skeptikal. Baru mulutnya nak mengajukan soalan lain, suara seseorang memberi salam membatalkan hasratnya.

"Assalamualaikum!"

"Macam suara kekasih hati kamu tu, pergi tengok," arah Fatimah. Tania mengerutkan dahinya.

"Isy ibu ni, suka hati aje panggil anak teruna orang tu kekasih kita."

"Ibu tengah doakan ni, aminkan ajelah."

"Isy, ada-ada je ibu ni." Tania segera bangun menuju ke pintu. Sempat juga dia capai tudung yang tersangkut di kerusi sebelum pintu dibuka.

"Waalaikumussalam. Awak rupanya. Ada apa?" Selipar disarung dan Malikh yang baru turun dari motorsikalnya itu dihampiri.

"Ni, saya bawakan awak sesuatu." Sebuah plastik dihulurkan kepadanya. Tania menyambut lalu isi dalamnya diintip sedikit.

"Manggis?"

"Pokok ayah saya berbuah lebat sangat. Tak larat nak makan dah."

"Tahu-tahu je saya memang suka manggis." Tania tersengih lalu dibawa langkah kaki ke meja batu di halaman rumah. Malikh turut mengekori langkah gadis itu.

"Mari, saya bukakan," ujarnya tatkala melihat gadis itu terkial-kial mahu membuka kulit manggis.

Plastik bertukar tangan. Tania sekadar memerhati tanpa suara tangan kekar Malikh yang begitu mudah membuka kulit buah yang keras. Beberapa biji buah yang siap dikopek diletakkan di hadapannya.

"Maaflah kalau saya ganggu awak petang-petang ni."

Tania menggeleng. "Tak ada apalah. Saya pun tak buat apa-apa. Tadi tengah lipat origami aje." Origami berbentuk burung yang kebetulan ada dalam poket seluarnya dibawa keluar.

"Awak buat?" Sebelah kening lebat Malikh terangkat. Tania tersengih malu sambil mengangguk.

Terangguk-angguk kepala Malikh selepas itu. Dibelek-belek burung kertas itu sebelum satu komen terpacul dari mulutnya, "Nice."

Milik Mutlak Malikh [completed]Where stories live. Discover now