Bab 16

96 20 4
                                    

"HACHOO!"

"Adik, kan ibu kata pakai mask. Kamu tu resdung!" Fatimah membebel di muka pintu bilik. Di tangannya ada sekotak pelitup muka. Tania tersengih sambil menenyeh hidung yang terasa gatal.

"Dah tua bangka pun nak kena orang bebelkan juga," tokok Fatimah lagi. Lagi panjang sengihan Tania terbentuk.

"Adik kan selama-lamanya baby ibu."

"Baby la sangat."

Tania tergelak. Sehelai pelitup muka diambil.

Setelah mengenakan pelitup muka, Tania kembali ke arah tingkap. Di tangannya ada sehelai langsir jarang. Tangan bercekak pinggang memandang tingkap yang togel tidak berlangsir.

Biasalah, rutin setiap kali menyambut raya! Tukar langsir, tukar karpet, kemas rumah. Sampai yang di dalam bilik pun habis ditukar padahal bukannya orang beraya dalam bilik.

Gigih dia memanjat tangga, terkial-kial memasukkan langsir yang telah dipasang cangkuknya satu-persatu ke dalam lubang. Langsir stail klasik, menyusahkan. Tolong ingatkan dia untuk tukar kepada kayu penyangkut yang berstail moden.

"Tadaaa!" Tania tersenyum bangga melihat hasil kerjanya. Tak luntur lagi skill memasang langsir dia yang sekian lama tak diasah. Puas menatap hasil kerja, dia beralih kepada timbunan kotak di hujung bilik. Semuanya barang-barang dari bawah katil yang dia punggah keluar.

Ada pelbagai kotak dari zaman puluhan tahun lampau. Kotak harta karun zaman sekolah menengah, zaman menuntut di universiti, sehinggalah yang terbaru, kotak dari rumah lamanya yang dibawa semasa berpindah ke sini. Baru ada masa nak belek semua ini.

Satu-persatu dia buka untuk diasingkan. Macam-macam benda yang ada. Majalah, kertas-kertas yang dia sendiri tak tahu kenapa disimpan. Habis semua dia campak dalam plastik hitam besar.

Sehinggalah tangan menyentuh sebuah album besar, matanya tiba-tiba bergenang. Dan apabila selak halaman pertama, setitis air matanya jatuh.

Abah.

Gambar-gambar dia dan arwah abahnya dibelek. Gambar berkelah, mandi-manda di pantai. Serta-merta memori lima belas tahun yang lalu. Melihatkan betapa rapatnya dia dengan abah buat ada rindu dan pilu yang mula bermukim di dada.

Terlalu awal dia kehilangan abah. Ketika rakan-rakannya bergembira kerana telah tamat zaman persekolahan, dia kesedihan kerana kehilangan seorang susuk bernama ayah.

Al-fatihah untuk abah.

Reda tangisan, tangan membuka pula sebuah kotak berbentuk bulat. Spontan, Tania tersenyum. Memori sekolah menengah.

"Sememehnya kau, Tania," kutuknya tatkala membelek album lama. Tudung senget-benget, muka berminyak. Zaman hingus tak kering, bak kata ibunda tercintanya.

Beberapa keping kertas yang diikat bersama dikeluarkan. Tania kerut dahi. Ini apa pula? Tulisan di atas salah satu kertas dia baca.

Tasha, Johor.

Dari : Ed, Selangor.

Agak lama dia berfikir siapa pengirim surat itu. Ed? Selangor? Dia jejak negeri itu pun baru tujuh tahun lepas rasanya. Mana pula dia dapat surat ini?

Ke hadapan Tasha,

Hari ni saya dah habis peperiksaan SPM. Akhirnya, saya dah bebas dari zaman persekolahan! Selamat tinggal Tasha, selamat meneruskan sesi persekolahan, hihi...

Milik Mutlak Malikh [completed]Where stories live. Discover now