Bab 5

146 21 0
                                    

"SEMUA dah ada?" Suara pemandu bas bergema sebaik sahaja orang terakhir melangkah masuk ke dalam bas.

"Dah!" Serentak mereka semua menyahut, termasuklah Tania yang duduk berdua dengan Diana di sebelahnya.

Hari ini mereka akan pergi berkursus selama 3 hari 2 malam di Kedah. Dia dan Kak Diana dihantar pihak syarikat sebagai wakil Megah Holdings ke sana.

"Akak okey tak ni?" soalnya tatkala melihat wajah Diana yang berkerut-kerut menatap telefon pintarnya. Wanita itu kemudiannya mengeluh lalu telefon dimatikan.

"Biasalah masalah anak-anak. Si Daniel meragam tak nak duduk rumah tok wan dia, ni buat hal lari dari rumah pula."

"Lari dari rumah?" Membulat mata Tania dibuatnya. Terbayang muka Daniel, anak tunggal Kak Diana yang baru saja menginjak usia enam tahun pada bulan lalu. Budak sebesar itu dah pandai lari dari rumah ke?

"Packing baju, lari menyorok belakang semak kat sungai. Mujur tak berhenti jantung tok dia bila tarik selimut nampak bantal golek pakai baju. Ayahnya pun outstation, itu yang hantar dia duduk rumah mak akak." Diana menggeleng-geleng manakala Tania dah tergelak. Muncul pula bayangan Daniel yang sedang menyumbat pakaian ke dalam beg sekolahnya.

Alahai, comel betul perangai!

"Garang sangat ke tok wan dia?" soalnya setelah tawa mulai reda.

"Taklah garang pun. Cuma budak-budak kan, kalau tak marah nanti pijak kepala. Dah marah jadi macam tu pula."

Tania mengangguk-angguk. Itulah orang kata, nak mendidik anak pada era yang serba mencabar ini bukan satu tugas yang mudah. Kalau dulu orang kata jaga lembu sekandang lebih baik dari jaga anak perempuan seorang, sekarang ini rasanya jaga anak lelaki pun sama sahaja cabarannya.

Itu juga salah satu sebab dia belum ada hati nak berkahwin. Tapi itulah, orang tua-tua manalah faham.

Perjalanan mereka dihiburkan dengan gelagat penumpang lain yang turut sama menjadi wakil kepada syarikat masing-masing. Sesekali, riuh suasana bas apabila ada yang menjadi pak lawak dan berkongsi lawak-lawak yang begitu mencuit hati, pankreas serta tulang sum-sum.

"Bang, kita berhenti sekejap boleh?" Salah seorang penumpang tiba-tiba bersuara apabila melihat papan tanda yang memberitahu kedudukan hentian rehat dan rawat terdekat.

Bas kemudian berhenti tatkala bertemu dengan hentian yang dimaksudkan. Tania dan Diana turut turun, mengambil peluang melegakan urat sendi setelah hampir empat jam duduk di atas bas. Juga untuk menyelesaikan tuntutan biologi yang tertunggak.

Sedang mereka berdua beratur di gerai yang menjual jagung rebus, pandangan mata Tania melilau ke sekeliling kawasan hentian. Tak ramai pengunjung memandangkan hari ini hari bekerja. Namun begitu, dahinya berkerut sedikit tatkala menangkap kelibat seseorang.

'Macam kenal,' getus hatinya. Mata dipicingkan sedikit, cuba memastikan kalau dia tak tersalah pandang.

"Tania tengok apa?" Diana yang menyedari perbuatannya itu menegur. Mata turut memandang ke arah yang dilihat Tania, cuba mencari apa yang menarik perhatian rakannya itu.

"Err... tak ada apalah. Jom, nanti kena tinggal pula." Dia tarik Diana untuk meninggalkan kawasan itu setelah apa yang dia nampak itu betul-betul pasti. Tak mahu ada masalah lain pula yang muncul nanti.

"Sekejap." Diana masih statik di tempat yang sama. Tania gigit bibir. Aduh, Kak Diana nampak ke apa yang dia nampak tadi?

"Akak..."

"Tania..." Diana menoleh ke arahnya dengan wajah pucat.

"Nampak tak apa yang akak nampak?"

Lambat-lambat, dia mengangguk. Tak berlengah, laju langkah kaki Diana menuju ke arah tempat parkir kereta.

Milik Mutlak Malikh [completed]Where stories live. Discover now