Bab 9

159 27 0
                                    

"SIBUK ke?"

Sapaan itu buat Malikh yang sedang memasang tali pancing pada joran menoleh. Lantas dia menggeleng.

"Tak adalah."

Rahmah labuhkan duduk di sisi anak bujangnya. Dapat dia lihat di atas meja, ada sebatang lagi joran milik suaminya yang telah siap dipasang talinya.

Mimpi apa pula anak jantannya ni bawa keluar joran segala? Siap pinjam abahnya punya pula tu. Tapi dia sekadar memerhati, tak berniat untuk bertanya.

"Ni ma nak bagitahu. Semenjak dua ni, dah riuh nama kamu naik dalam Whatsapp group marhaban. Orang duk gosipkan kamu dengan Tania anak Cik Timah tu."

Malikh masih dengan tumpuannya pada tali di tangan.

"Alah, kawan-kawan ma tu memang suka bergosip. Bab hal hidup orang nombor satu," ujarnya. Memang dah masak sangat dengan perangai orang tua-tua di kampung ini.

Malas nak ambil kisah dah. Nanti dia juga yang sakit kepala.

"Ma bukan apa. Tak marah pun kalau nak berkawan dengan dia. Cumanya kalau betul berkawan, buat cara nak berkawan. Jangan bagi harapan palsu."

Kali ini, dia angkat kepala. Bibirnya memuncung ke hadapan mendengar kata-kata Rahmah.

"Ma ni, bercakap macam Aiden ni bekas buaya darat." Rahmah tergelak melihat reaksi yang ditonjol anak bujangnya.

Anak manja, tak boleh salah cakap sikit!

"Ma pesan ajelah, Aiden sayang."

Malikh cuma diam. Barang-barang yang digunakan kembali dikumpulkan dan sambil-sambil itu, fikirannya ligat memikirkan sesuatu.

"Hmm, ma."

"Ya?"

"Ini Aiden tanya aje tau. Kalaulah, kalaulah kan Aiden kata Aiden suka kat dia, ma nak cakap apa?"

"Siapa? Tania?"

Malikh angguk.

Rahmah tersenyum. Hmm, betul ke sekadar bertanya saja?

"Baguslah. Merasa juga ma dapat menantu perempuan pula. Lagipun, Tania tu macam okey aje bagi ma. Tak ada pun orang bercakap yang bukan-bukan pasal dia," jawabnya.

Dia mungkin tak berapa kenal dengan gadis itu memandangkan Tania bekerja jauh dari kampung. Tapi dia kenal ibu gadis itu. Melihat peribadi Fatimah pun dia tahu, anak-anaknya pasti dididik dengan baik biarpun setelah kematian arwah suaminya.

"Mah, butang baju Melayu abang mana?" Suara Leftenan Harun kedengaran dari dalam bilik.

"Kekasih ma dah panggil tu, pergi tengok cepat," ujar Malikh dalam nada mengusik. Terlepas tawanya apabila bahunya ditampar dengan sebiji bantal kusyen kecil. Rahmah berlalu meninggalkannya selepas itu.

Malikh bangkit membawa dua batang joran tadi ke pintu. Diletak di atas rak kasut berhampiran. Sebaik sahaja Tania menyatakan persetujuannya untuk ke sungai esok hari, laju dia punggah semula stor demi sebatang joran yang sekian lama dia tak gunakan. Hingga mengundang pandangan pelik dari ayahnya sendiri.

Hmm, akui sajalah Malikh. Kau memang dah terjatuh suka dengan adik si Zarif itu. Mengingatkan soalannya pada ma tadi buat dia tergeleng sendiri.

Macam manalah soalan begitu boleh terbit dari mulut kau, Malikh? Walhal, dia masih sedar diri.

Orang seperti dia mana padan nak berdiri sama tinggi dengan Tania. Mana boleh.

Tak setaraf!

Malikh kemudian tersenyum kelat.

Milik Mutlak Malikh [completed]Where stories live. Discover now