MK - 3

704 67 10
                                    


KIRI kanan Kasih pandang bagi memastikan tiada sesiapa di situ sambil kakinya diatur ke arah Mak Inang yang sedang menghidangkan minum petang di gazebo. Bahu wanita tua itu dicuit sebelum dia menyilang tangan ke dada.

“Mak Inang.”

“Kenapa, Kasih?” tanya Mak Inang terus menoleh hairan.

“Aku nak kau tutup mulut kalau daddy aku tanya apa-apa kat kau nanti. Kalau kau bocorkan apa yang aku buat pada perempuan tu, nahas kau!” ungkap Kasih berbaur amaran. Matanya dijengil tanda dia tidak bergurau dengan kata-katanya.

Teguk liur Mak Inang mendengar. Gerun dengan kata-kata amaran Kasih. Ditambah lagi dengan renungan Kasih yang memanah tepat ke dalam matanya seperti boleh membaca apa yang tersirat dalam kepalanya tika ini.

“Kau faham ke tak apa yang aku cakap tadi?” Kasih semakin membulatkan matanya bersama kata-kata tegas.

“Mak Inang faham, Kasih. Mak Inang takkan bagitahu Tuan Syed apa-apa.” Mak Inang terus menunduk. Tak betah lagi terus dipanah renungan tajam Kasih.

“Bagus!” Kasih tersenyum puas. Bahu Mak Inang ditepuk-tepuk.

“Kasih,” tegur Syed Tajuddin yang sedang melangkah ke gazebo.

Kasih hanya mengerling sebelum punggungnya dilabuh di kerusi. Hidangan minum petang mulai dinikmati tanpa mempedulikan kehadiran Syed Tajuddin. Hatinya masih berbekas dengan rasa sakit hati.

Sementelah Syed Tajuddin terus mengambil tempat di hadapan Kasih. Wajah tenang anaknya direnung sejenak dan penuh kasih sayang. Inilah permata yang ditinggalkan arwah isterinya 12 tahun lalu, ketika usia Kasih berginjak awal belasan tahun. Kasihlah yang menjadi pengubat rindunya pada arwah isteri pertamanya sehingga kini.

“Kasih, daddy minta maaf. Daddy tak sengaja tertampar kamu. Daddy betul-betul minta maaf.” ucap Syed Tajuddin benar-benar rasa bersalah dengan apa yang telah terjadi. Dia sendiri tidak menyangka tangannya begitu ringan menampar wajah mulus anaknya itu. Segalanya berlaku hanya dalam sekelip mata.

“Daddy memang dah tak sayangkan Kasih. Daddy selalu lebihkan isteri daddy tu. Daddy dah lupakan mommy.” balas Kasih terus bersandar. Raut wajah Syed Tajuddin yang masih tampan ditatap dengan perasaan berbaur. Ada rasa kecewa, ada rasa sakit hati dan juga ada rasa rindu.

“Kalau Kasih rasa macam tu, daddy minta maaf. Sungguh daddy tak pernah sisihkan Kasih. Daddy juga tak pernah lupakan mommy Kasih sebab mommy tetap cinta pertama daddy. Pengorbanan mommy yang hadiahkan Kasih pada daddy juga tak mampu daddy lupakan sampai bila-bila. Tapi, Kasih kena faham kita yang hidup ni kena teruskan kehidupan. Kasih juga tahu kenapa daddy kahwin dengan Mak Cik Aliyah. Semua tu kerana amanat mommy Kasih. Kasih dah lupa ke?” Lembut Syed Tajuddin bertutur. Cuba melembutkan semula sekeping hati Kasih yang semakin keras dan degil.

Kasih tersenyum sinis.

“Dulu Kasih memang boleh terima Mak Cik Aliyah tapi tu semua dulu sebelum dia jadi isteri baru daddy. Bagi Kasih, perempuan tu tak layak jadi ibu Kasih sampai bila-bila jadi daddy jangan berharap sangat yang Kasih akan terima dia dalam hidup Kasih.” tegas Kasih tanpa kompromi.

“Sampai bila, Kasih? Daddy dan Mak Cik Aliyah dah sepuluh tahun bersama. Kasih pun dah besar panjang, dah 23 tahun. Mesti Kasih faham kan perasaan daddy dan Mak Cik Aliyah?” Syed Tajuddin cuba merayu pula.

“Kasih malas nak faham dan ambil tahu apa perasaan daddy dengan perempuan tu kalau daddy sendiri pun tak faham perasaan anak sendiri.” getus Kasih meluah rasa tak puas hatinya yang masih bersisa.

Syed Tajuddin terus meraup wajah. Buntu setiap kali perkara ini menjadi topik perbualan mereka. Tidak tahu lagi bagaimana harus dia lakukan untuk mendamaikan Kasih dengan Aliyah.

Memori KasihWhere stories live. Discover now