MK 16

572 60 4
                                    

HOODIE dinaikkan menutup kepala. Earphone yang disumbat di telinganya ditanggal. Matanya terpejam dan kepala sedikit tunduk. Semuanya kerana ingin memberi fokus dengan apa yang sedang dia dengari tika ini.

Walaupun hanya sipi-sipi, tetapi telinganya masih mampu menangkap setiap butir patah perkataan dengan cukup jelas. Apatah lagi suasana di dalam bas itu yang agak sepi kerana tidak begitu ramai penumpang.

“Kalau jantan tak guna tu ada tempoh hari, mesti dendam kita pada Kasih dah terbalas. Peluang kita dah ada di depan mata. Lagi-lagi si Kasih tu hilang ingatan,” ujar satu suara yang jelas-jelas kesal dan geram dengan apa yang terjadi.

“Tulah pasal. Aku ingatkan tak ada siapa kenal si Kasih tu. Eh, datang pula malaun entah dari mana. Tak sangka eh, perempuan biadap macam Kasih tu ramai lelaki yang suka.” Jelas kesinisan yang terbit dari mulut seorang lagi wanita kali ini.

“Tak hairan pun semua tu. Kasih tu kan perempuan murah. Dengan lelaki hot mana aje yang dia tak rapat, boleh dikatakan hampir semua yang kita berkenan, dia rembat. Perasan dia tu terpaling cantik. Berlagak macam model antarabangsa.”

Seorang lagi hanya ketawa geli hati. Memang Kasih kuat perasan. Malah bangga diri dengan kecantikan yang dimiliki. Tetapi, sayangnya peribadi Kasih tak seindah itu. Peribadi Kasih jauh lebih teruk dari apa yang orang sekeliling fikir.

“Kau percaya ke si Kasih tu hilang ingatan? Entah-entah dia berlakon aje. Dia tu kan bekas pelakon teater sekolah kita dulu.”

“Aku tak pastilah, Laila. Tapi, apa yang aku nampak, rasanya memang betul perempuan tu hilang ingatan. Kau ingat tak, muka Kasih pucat gila masa kita tarik rambut dia.”

“A'ah, betul jugak kata kau. Memang nampak pucat. Tapi, baguslah. Bolehlah kita atur perancangan kita.” Gadis bernama Laila berbicara yakin.

Keningnya berkerut. Rupanya bukan dia seorang saja yang berdendam dengan Kasih. Ternyata ramai lagi. Bibirnya mulai mengukir senyuman lebar.

Kasih, Kasih. Hidup kau takkan seindah apa yang kau bayang dan angankan lagi selepas ini. Aku akan ciptakan karma untuk kau. Dulu kau berani sangat bermain dengan api. Sekarang dah tiba masanya kita main bersama-sama.

Dulu kaulah juara. Kau jugalah paling berkuasa. Ejekan dan hina sudah menjadi makanan harian. Terlalu angkuh mendongak ke langit sehingga kau lupa untuk menunduk ke bawah dan hormati orang lain. Jadi, akanku ajar bagaimana caranya hidup bermasyarakat dan saling menghormati.

Kelibat dua wanita tadi yang sudah berdiri untuk turun di stesen itu diperhatikan lama. Lantas dia turut berdiri dan membuntuti sehingga selamat turun.

“Laila.” Dia memanggil.

Dua wanita itu serta-merta berhenti dan berpaling. Masing-masing berpandangan aneh.

“Ya, saya Laila.”

“Kau?” Dia menyoal pula sambil merenung dalam wajah wanita bersebelahan Laila.

“Arina.” Walaupun aneh, tetapi tetap dijawab juga oleh Arina.

“Korang kawan Kasih Amalin ke?”

Makin berkerut dahi Arina dan Laila. Arina sudah berpeluk tubuh. Panasaran mengapa mereka ditegur dan ditanya.

“Kau kawan Kasih ke?” Soalan dikembalikan semula.

“Lebih kurang macam tulah.”

“Kau siapa? Apa nama kau?”

_____

“HAI, KASIH.” Edris menjengukkan kepala terlebih dahulu sebaik saja dia membuka pintu bilik wad yang dihuni Kasih.

Memori KasihWhere stories live. Discover now