MK 36

892 79 8
                                    

TANGAN yang baru saja hendak menarik pemegang pintu, terhenti. Berkerut mukanya melihat sebuah kotak bersaiz nipis diletak di atas cermin kereta bahagian depan. Tanpa teragak-agak Nuh mencapai kotak tersebut.

“Kotak apa ni?” Kotak itu digoncang. Tidak kedengaran sebarang bunyi.

Tanpa lengah, Nuh masuk ke dalam perut kereta. Rasa tidak sabar mahu tahu apa isi kandungan kotak misteri itu.

Sebaik saja dibuka, objek di dalamnya dibalut dengan bubble wrap. Laju tangannya bekerja mengoyak plastik tersebut. Namun, segala tingkah kalutnya tadi terhenti drastik. Matanya terpaku tatkala pandangannya menangkap 'hadiah' yang diterima.

“Kasih?” Nuh berbisik perlahan, darahnya mula berderau. Tak semena-mena tangannya turut terasa sejuk.

Sekeping gambar dicapai dan diteliti. Memang benar Kasih Amalin, isterinya. Bersama seorang lelaki yang membelakangi posisi lensa kamera.

Gambar kedua juga tidak menunjuk jelas paras rupa lelaki itu. Hanya sipi saja. Tidak mampu membuatkan dia meneka siapa gerangannya.

“Kau buat apa di belakang aku, Kasih? Disebabkan laki ni ke kau berubah?” Gambar-gambar itu direnyuk. Nafasnya mulai turun naik.

Tanpa buang masa, Nuh meluncurkan keretanya pulang ke rumah. Dia perlukan jawapan daripada Kasih. Sudah ditebak, segala perubahan Kasih bersebab.

Seperti kebiasaan, kepulangannya masih tak disambut Kasih. Hanya aroma masakan yang menyapa deria baunya. Tetapi, bukan itu keutamaannya. Aroma itu tidak mampu menyejukkan hatinya yang sedang membahang selagi tiada jawapan.

Melihat kelibat Kasih di dapur sedang menghidang makanan, Nuh terus menghampiri. Pernafasannya cuba ditenangkan, ditarik dalam dan dihembus perlahan. Dia tidak mahu mengasari Kasih. Dia tidak mahu hilang kawalan.

“Saya perlukan jawapan daripada awak, Kasih.” Sedaya upaya nada suaranya dikawal. Tingkah Kasih yang masih sibuk menghidang diperhati.

Kasih angkat muka, pandang riak tegang Nuh. Angin apa pula yang terkena Nuh hari ni? Tegang semacam.

“Jawapan apa lagi ni, Nuh?” Kasih bertanya. Malas sebenarnya mahu melayan sikap Nuh.

“Kenapa awak tiba-tiba berubah macam ni? Mana Kasih yang tergedik-gedik dengan saya dulu.” Nuh terus bertanya. Rasa hatinya masih cuba ditahan sebaik mungkin.

“Dah berapa kali awak tanya saya soalan yang sama ni, Nuh? Saya masih ada di sini. Awak dah tak kenal dengan isteri awak ke?” Kasih bersoal sinis. Tapi, memang ini sikap seorang Kasih Amalin. Takkan suaminya langsung tak kenal. Sememangnya dari dulu dia begini.

Nuh terus menggeleng. “Tak. Ni bukan Kasih yang saya kenal.”

“Awak kena terima hakikat yang sekarang ni, yang berdiri di hadapan awak ni adalah Kasih Amalin. Saya masih orang yang sama macam dulu. Tak pernah berubah pun. Apa yang awak tak puas hati lagi dengan saya? Dah kenapa pula awak nak ragu dengan saya sampai tanya soalan yang sama berkali-kali? Saya jemu dengar!” Suara Kasih menekan geram.

“Apa maksud awak tak pernah berubah, Kasih? Buktikan pada saya yang kata-kata awak tu betul belaka,” cabar Nuh, merenung Kasih tepat.

“Bukti saya masih di sini. Rasanya dah cukup kut. Dahlah saya nak rehat.” Kasih bertegas. Baru saja hendak mahu putar tubuh, Nuh lebih pantas memaut lengannya.

“Awak langsung tak sayangkan saya ke?”

Kasih terkedu. Tak menjangka itu yang ditanya Nuh. Dia kembali berpaling menghadap lelaki itu.

“Jawablah Kasih! Saya perlu tahu tentang isi hati awak tu,” desak Nuh apabila Kasih hanya mematungkan diri. Langsung tidak kelihatan mahu menjawab. Beku, sama persis dengan Kasih yang dulu. Yang buat dia seperti tunggul kayu.

Memori KasihWhere stories live. Discover now