MK 23

650 64 8
                                    


HAMPIR lewat malam baru Nuh pulang ke rumah. Dia melihat sekeliling. Tiada kelibat Kasih. Hanya suasana malap dan sunyi sepi yang menyambut kepulangannya.

Nuh melangkah ke dapur. Niatnya hanya ingin melegakan tekak yang haus. Namun, matanya tertangkap tudung saji di atas meja. Selalunya, tudung saji itu dia akan gantung di dinding jika tiada makanan. Tapi, bagaimana tudung saji ini boleh terletak di atas meja. Kasih ke yang letak?

Lantas, tudung saji itu diangkat. Alangkah terkejutnya dia melihat hidangan lauk pauk yang sudah sejuk terletak di bawah tudung saji. Siapa pula yang masak ni?

Kuah asam pedas itu dicuit sedikit sebelum dirasa. Sedikit masin, tapi masih boleh ditelan. Dengan lidahnya saja dia dah tahu bahawa Kasih yang memasaknya.

“Tapi, lauk banyak-banyak ni untuk siapa?” soalnya sendirian.

Asam pedas ikan, tempe dicampur bersama sayur goreng dan ayam goreng. Sangat menyelerakan di matanya, namun tidak bagi lidahnya. Cukuplah dia rasa kuah asam pedas masakan Kasih tadi.

Nuh menggeleng perlahan. “Kasih, Kasih. Yang makan kau sorang aje, tapi masak macam untuk 10 orang.”

Dia tidak tahu apa yang Kasih dah belajar, tapi dia sedikit terharu. Dia fikir Kasih langsung tak reti memasak. Walaupun hasilnya tidak berapa nak baik, tetapi dia nampak Kasih sudah berusaha.

Baru saja hendak mengangkat pinggan mangkuk untuk disimpan dalam peti sejuk, ekor matanya terlihat sekeping kertas memo yang terletak di bawah mangkuk asam pedas tadi.

Pantas kertas memo itu dicapai sebelum isinya dibaca.

‘Selamat malam, suamiku. Hari ni saya masak lauk pertama yang saya belajar daripada ibu dan mama. Mama kata lauk ni lauk favourite awak. Tapi, ni kali pertama saya masaknya sendiri. Saya harap awak boleh makan dengan tenang walaupun saya tahu sedapnya tak seberapa. Saya cuba nak jadi isteri yang baik untuk awak walaupun awak kata tak perlu.

Love, your sweetkasih.’

Nuh ketawa kecil. Sedikit terhibur dengan nota kiriman Kasih. Entah apa yang lucunya, tapi Kasih benar-benar kelihatan bersungguh. Tanpa berlengah, lauk-lauk tadi terus disimpan dalam peti sejuk. Esok hari boleh dipanaskan dan ditambah baik olehnya.

Siap mengemas, dia mengatur langkah ke kamarnya. Baru saja tombol pintu ingin dipulas, tidak semena matanya mengerling ke arah sesuatu.

Pintu bilik Kasih yang tertutup rapat itu menggamit perhatiannya secara tiba-tiba. Hatinya sedikit tergerak untuk melihat Kasih.

Pintu bilik Kasih dihampiri. Telinganya tidak menangkap sebarang bunyi. Mungkin Kasih sudah dijemput lena. Perlahan-lahan tombol pintu dipulas. Tak berkunci. Dengan sedikit tolakan, kepalanya menjengah ke dalam. Gelap, namun biasan cahaya dari lampu kamar mandi menerangkan penglihatan Nuh.

Benar telahannya, Kasih kelihatan lena di atas katil. Gebar yang menyelimuti tubuh kecil itu terlucut sehingga paras betis. Menggeleng kepala Nuh. Baru dia tahu isterinya itu tidurnya lasak.

Dengan helaan nafas, dia mendekati katil. Semakin dia menghampiri, semakin jelas penglihatannya.

Matanya terus membulat besar. Liur ditelan kelat. Terkebil-kebil dia melihat baju tidur yang dipakai Kasih. Jarinya naik memicit dahi. Mentang-mentang Kasih tidur seorang diri, boleh pula isterinya memakai baju tidur yang kurang sopan. Hampir gugur imannya.

Cepat hatinya beristighfar. Niat utama diingatkan semula. Tidak mahu terleka. Sudahnya nanti risau pula Kasih yang menjadi mangsa.

“Awak ni Kasih... Nasib baik iman saya ni kuat tau.” omelnya perlahan. Gebar yang terlucut tadi pantas dinaikkan semula menutup seluruh tubuh Kasih kecuali muka.

Memori KasihWhere stories live. Discover now