MK 11

546 57 9
                                    

KASIH setia menolak troli pasaraya dengan bibir yang tersebik. Hatinya bagai jatuh terhempas ke lantai apabila rancangannya pagi ini tidak berjalan dengan lancar.

Awal pagi Kasih keluar rumah untuk berjumpa kekasih hati di hospital. Malangnya, jejaka kacak itu mengambil cuti pula pada hari ini. Pudar semangatnya apabila tidak dapat bertemu dengan Nuh. Nuh bagaikan penyeri kehidupannya. Kalau boleh, setiap masa dia mahu menatap wajah itu.

Setelah itu, Kasih pulang ke rumah dengan semangat yang hilang entah ke mana. Tiba sahaja di rumah, Aliyah menarik tangannya untuk menemani wanita itu membeli barang dapur di pasaraya.

Akhir cerita, di sinilah Kasih berada dengan perasaan yang hiba. Hanya membuntuti ibunya dengan troli di tangan.

Kasih mengeluh berat. Bosan betul. Nak tolong Aliyah beli barang, tapi dia bukan reti nak pilih mana yang sesuai. Jadi, terpaksalah dia menjadi 'model patung' di tengah-tengah pasaraya ni.

“Lama lagi ke, ibu? Kasih dah bosan ni...” soal Kasih kepada Aliyah yang sedang memilih ikan.

“Kasih, kita masuk tak sampai 10 minit lagi. Awal lagi nak baliknya pun,” balas Aliyah tanpa menghiraukan Kasih yang sudah gelisah kerana bosan seperti anak kecil.

“Kasih bosanlah ibu. Sudahlah tak dapat jumpa Nuh hari ni,” keluh Kasih.

“Oh... sebab tak jumpa Dr. Nuh lah jadi monyok macam ni. Kesian anak ibu ni. Dr. Nuh pergi mana?” tanya Aliyah.

“Entah. Nurse tu kata Nuh ambil cuti sehari sebab hal peribadi.”

Aliyah mengangguk faham. “Biasalah tu. Dr. Nuh pun manusia juga. Dia pun perlukan rehat bukan kena kerja setiap masa. Mungkin sebab tulah dia cuti.”

“Tapi, kalau Nuh cuti sebab kahwin macam mana...?” soal Kasih sendiri dengan nada perlahan.

Aliyah yang terdengar itu menggeleng kecil.

“Kalau macam tu anggaplah tiada jodoh antara kamu berdua,” gurau Aliyah dengan tawa kecil.

“Ibu!”

“Dah jangan nak sedih sangat. Kalau ada jodoh, ada lah. Sekarang ni tolong ibu cari ni.” Sehelai kertas kecil diserahkan pada Kasih. Kasih menyambut dengan kerutan di dahi.

“Tolong ibu cari barang-barang yang ibu dah listkan dalam ni.”

Sejurus itu, kerjanya tadi disambung. Selepas memilih ikan, sayur-sayuran pula dicari. Sedang khusyuk memilih, ekor matanya terpandang Kasih yang berdiri tegak di sebelahnya.

“Kenapa tak pergi lagi?” tanyanya hairan.

“Ibu suruh Kasih cari sorang-sorang ke?” Soalan dibalas dengan soalan.

“Iyelah. Kasih kata Kasih bosan ikut ibu. Ni ibu dah bagi kerja. Tak bosan lagi kan?”

Kasih mencebik bibir dan mengeluh kecil. Apa pula suruh dia cari barang dapur semua ni. Dia bukan reti nak pilih mana yang sesuai.

“Macam manalah nak kahwin dengan Dr. Nuh kalau beli barang dapur pun tak reti.” Sengaja Aliyah menyindir. Mana tahu sebut saja nama doctor kacak itu, Kasih terus sedar ke dunia realiti.

“Huh, fine. Kasih buat demi Dr. Nuh.”

“Bagus. Macam nilah anak ibu. Nah, bawak troli ni sekali. Kang berterabur barang tu nanti. Satu hal nak kena uruskan awak pula.”

Hilang sahaja kelibat Kasih, Aliyah bergerak ke bahagian lain. Bila dah lama tak keluar banyak barang yang dah habis di rumah. Inilah saja peluangnya untuk memenuhkan semula ruangan-ruangan di rumahnya.

Memori KasihWhere stories live. Discover now