BAB 51

20 2 0
                                    


Ada ketikanya penyesalan datang dalam keadaan terlambat,

Sehingga pada akhirnya kita akan kehilangan insan berharga.


Kaif p.o.v.

Aku hanya kaku melihat isteri serta abang iparku melangkah meninggalkan aku sendirian di sini. Aku terdiam melihat sirna matanya yang penuh kelukaan. Aku akui, hatiku sedikit terguris dengan penolakannya tadi.

Tanganku ditekap ke arah di mana terletaknya jantungku. Ianya sangat menyakitkan! Dia seakan-akan sudah tidak ingin melihat dan dekat denganku. Aku tak pernah dilayan sebegini oleh dia.

Jikalau dulu, apa sahaja layanan diterima, dia akan terus cuba meraih perhatianku. Aku menjadi takut. Takut seandainya dia betul-betul ingin menjauh. Sesungguhnya, aku baru sedar kekhilafan diri. Aku lupa! Aku alpa!.

'Ara, maafkan Kaif. Kaif tahu bahawa Kaif bukan suami yang baik untuk Ara. Tapi, Kaif harap sangat, masih ada secebis rasa cinta untuk Kaif dalam hati Ara. Abang takut dan sangat takut, abang akan hilang peluang itu'. Aku cuba untuk menguatkan hati. Air mata ku kesat dan aku bangun meninggalkan bilik itu.

Kereta ku parkir dan aku turun dari kereta. Saat pintu rumah dibuka, aku melihat keadaan rumah yang agak berselerak. Aku memandang sekeliling. Aku terus terpaku melihat beg kepunyaan Ara berada di satu sudut.

Aku meraup wajahku. Setiap perbuatan aku, tindakan dan kata-kata yang aku keluarkan padanya, bermain-main di telinga. Kejamnya aku sebagai suami. Isteri yang pernah aku lafazkan kata cinta, begitu teruk aku perlakukan. Tanpa belas kasihan.

Tanpa aku sedar, kaki aku tiba di hadapan bilik yang didiami Ara. Buat pertama kalinya, aku cuba menjenguk ke dalam ini. Aku menggeletar saat memegang tombol pintu. Entah apa yang cuba aku buktikan.

Aku terus terjelopok jatuh di depan bilik bila melihat keadaan bilik itu. Sangat kosong. Tanpa katil mahupun aircond. Bilik ini sangat sempit dan panas. Barang-barang lama di sudut dinding membuatkan tidak banyak ruang untuk diduduki.

Peluh di dahi ku kesat. Macam mana dia bertahan tidur dan duduk dalam bilik ni. Seharian bekerja, penat ditambah dengan keadaan bilik. Dia bahkan tidak pernah mengeluh. Hanya menerima segala arahanku tanpa bantahan.

'Ya Allah! Apa yang telah aku buat padanya. Kenapa aku kehilangan akal yang waras. Kenapa aku tergamak mencampak isteri di bilik stor sedangkan waktu itu, dia mengandungkan zuriatku. Ya Allah, ampunkan aku Ya Allah. Sayang! Maafkan abang!'.

Aku menyandarkan diri di dinding. Segala tangisan yang ku simpan, akhirnya terhambur. Penyesalan! Itu yang menghimpit diriku. Ucapan maaf bermain-main di bibirku. Semuanya dah terlambat. Aku penyebab ini berlaku. Tanpa sedar, aku terlelap.

Sudah hampir sebulan, aku berada di sini tanpa kehadiran Ara. Aku sangat rindukan dia. Memang aku akui, kalau dulu rasa meluat dengan keprihatinan serta kehadiran dia di sisi. Namun sekarang, hatiku terasa kosong bila dia tiada di sisi.

Aku menunggu panggilannya setiap masa. Rindu? Siapa kata aku tak rindu. Kalau dulu, aku langsung tidak mengendahkan dia, sekarang rasa itu berbalik. Aku ingin mendengar suaranya, melihat wajahnya. Tetapi, aku takut jika aku terus mendesaknya, dia akan semakin jauh meninggalkan diriku.

Masih terbayang di mindaku raut wajahnya ketika kali terakhir kami bertemu sebelum dia kembali ke pangkuan keluarganya. Dia seolah-olah langsung tidak terkesan dengan kewujudanku. Wajahnya kosong malah dia langsung tidak menoleh walau sedikit kepadaku.

Aku menarik rambutku bila terlintas perkara yang bukan-bukan di minda. Selalu aku bertanya pada diri, 'adakah Ara akan meninggalkan aku? Apakah dia sudah tidak mempunyai walau sedikit rasa cinta kepadaku?'. Aku menjadi takut.

Badanku terasa tidak bermaya sejak beberapa hari lepas. Seleraku turut hilang. Aku cuba menggagahkan diri untuk turun ke dapur. Namun, kepala yang mencucuk pedih membuatkan aku tidak dapat menstabilkan diri. Dan akhirnya, aku rebah.

Aku membuka mata tatkala terasa ada sesuatu diletakkan atas dahiku. Badanku lemah dan aku terus bangun bila ada seseorang sedang menyentuh rambut. Aku berharap itu adalah isteriku, Ara. Hanya dia yang selalu memperlakukan aku sedemikian walaupun acapkali aku melarang dia menyentuhku.

Namun, hampa. Dia tiada di sisiku. Menyedari keadaan aku, mummy terus mendekatiku. 'Kenapa Ez macam ni, nak? Ez demam ni. Mummy nak Ez rehat'. Mummy cuba mententeramkanku.

Emosiku masih tidak stabil mungkin demam ini yang menjadi salah satu punca. Aku masih dalam tangis. 'Ez rindu Ara, Mummy. Sini, sakit sangat. Ez, banyak buat salah dengan dia'. Mummy hanya diam sebelum tubuhku dipeluk menenangkan aku kembali. Belakang tubuhku digosok dan sekali lagi aku kembali memejamkan mata.

Bila badanku terasa kebah, aku bangun. Aku mencari kelibat Mummy. Aku menuruni tangga. Bila melihat Mummy, aku terus mendekatinya secara perlahan. Dia seakan mengelamun jauh. Mana taknya, kewujudan aku di sebelahnya langsung tidak dia sedari.

Aku terus menyentuh lembut bahunya. Benar sangkaanku. Dia seakan terkejut. Wajahnya yang seakan suram, dia cuba tutup dengan senyuman. Aku mengerutkan dahi. 'Apa yang tak kena dengan Mummy. Aku jarang melihat dia begini'. Aku bermonolog sendirian.

'Ez dah okay? Demam Ez dah kebah?'. Melihat anggukanku, dia terus berkata lagi.

'Tadi mummy datang, tengok Ez demam. Dahi Ez panas'. Aku hanya tersenyum kecil. Tidak ingin merisaukan dia.

'Mummy, kenapa Ez tengok Mummy termenung tadi. Apa yang mummy fikirkan?'. Aku tidak boleh melihat kerisauan Mummy. Aku akan turut terganggu. Mummy pula ku lihat teragak-agak untuk mengeluarkan suara.

Mendengar keluhan dari bibirnya, turut membuktikan mummy seakan memang dilanda masalah.

'Mummy cuma terfikir tentang isteri Ez.'. Aku masih tidak faham.

'K..k..kenapa dengan isteri Ez. And isteri Ez yang mana satu. Kalau pasal Leya mummy tak payah fikir dah. Perempuan tu..'

Mummy menepuk bahuku. 'B..bukan ...bukan Leya tapi Ara'.

'A..A..ra'. Bibirku seakan menggeletar mendengar sebaris nama yang disebut oleh Mummy. Mataku memanas.

'Ara menantu yang baik tapi mummy tak pernah nampak dia. Mummy kejam dengan dia. Tapi dia baik sangat dengan mummy. Ez nak tahu tak, beberapa bulan lepas mummy hampir kena ragut tapi Ara yang selamatkan mummy. Dia tolong mummy sehingga dia yang terluka. Tapi, masa tu hati mummy keras. Mummy tak nampak keikhlasan dia'.

' Bukan tak nampak tapi mummy butakan hati. Mummy tetap menolak dan menafikan dia sebagai menantu mummy. Tapi dia langsung tak kisah. Dia masih cuba buat baik dengan mummy'.

Mataku sedikit terbuka luas bila Mummy membuka cerita. Aku tidak menyangka sebegitu sekali pengorbanan dia pada kami walaupun dia tidak pernah dihargai.

'Mummy, Ez betul-betul menyesal. Kalau boleh diputarkan masa, Ez takkan pernah biarkan hati Ez jatuh pada orang lain. Semuanya silap Ez! Ez yang bodoh, mummy'. Aku melepaskan tangisanku di hadapan mummy.

'Ez! Tolong jangan macam ni, nak. Ez kena kuat kalau nak raih cinta dan perhatian Ara balik. Ez nak ke Ara tengok suami dia lemah macam ni? Mummy menggosok lembut belakang tubuhku cuba untuk menenangkanku. Aku hanya menggeleng lemah

Aku mengangkat muka memandang Mummy. 'M..mummy rasa dia akan terima Ez balik ke? Macam mana kalau dia bencikan Ez sangat-sangat mummy. Ez tak sanggup nak hadap kebencian dia. Ez.. tak boleh. Dan macammana kalau dia minta Ez lepaskan dia. Ez tak sanggup mummy..Ez tak sanggup'. Takut bercampur risau membuatkan aku menjadi semakin sedih.

'Hey! Hey! Dengar sini. Mummy tahu Ara bukan kejam. Mummy tahu tu! Kita berdua banyak salah dengan dia, tapi dia langsung tak berdendam dengan kita. Mummy juga yakin, dia masih cintakan Ez. Tolong jangan menangis macam ni, nak. Apa kata Ez pergi jumpa Ara. Bincang elok-elok dengan dia. And Mummy nak, Ez bawa menantu mummy balik. Mummy banyak buat dia terluka'.

'Tapi macam mana Mummy?'. Dahiku berkerut mendengar bicara mummy.

'Esok kita pergi ke rumah Ara. Mummy tahu, menantu mummy pun tunggu kita datang jemput dia. Dah hampir sebulan, khabar darinya langsung tidak didengari. Mummy takut, jadi apa-apa dekat dia. Laju aku mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan mummy.

'Ara tunggu Kaif tau. Nanti Kaif datang jemput Ara. Lepas ni Kaif janji, takkan pernah sakiti Ara lagi'.

CINTA SEORANG  NUR ATEA ALDABELLA ZAHARA ~HIATUS~Where stories live. Discover now