A D Z R I E L | 27

5.4K 332 57
                                    

     WAJAH gadis yang lena itu direnung sekilas. Dadanya berombak perlahan dan tenang. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia akan terjaga dari lenanya. Adzriel hanya memerhati sambil memeluk tubuh. Raziq yang berada di sebelahnya hanya mendiamkan diri.

     Mata Adzriel terangkat, beralih pandang pula ke arah teg nama yang dilekatkan di atas kepala katil. Nur Hana Binti Halim.

     Keluhan dilepaskan. Doktor sendiri tidak pasti bila Hana akan bangun.  Luka di dahi dan celah bibir Hana meninggalkan parut. Terdapat juga kesan luka seperti garisan pada pipi kirinya. Seperti diheret kasar.

     Apa yang terjadi sebenarnya? Pelik. Kenapa saksi tidak dibunuh oleh suspek? Pertama kali kes mereka punyai saksi.

     Kata Raziq, pihak polis sempat sampai sebelum apa-apa yang lebih buruk bakal menimpa Hana. Hana menjadi mangsa. Apabila menerpa masuk ke dalam rumah, Hana sudah terbaring tak berdaya di atas lantai. Terus pihak polis bawa Hana ke hospital untuk rawatan segera.

     Syukurlah tiada kecederaan yang parah. Hanya sedikit luka dan lebam di wajahnya dek bergelut dengan suspek. Adzriel menyeluk saku seluarnya.

     Hana sangat penting dalam kes kali ini. Kerana dia satu-satunya saksi yang berada di tempat kejadian. Apabila Hana sedar, boleh dia mengacukan pelbagai soalan tentang suspek. Mana tahu Hana boleh kongsi maklumat yang berguna untuk bantu penyiasatan berjalan dengan cepat. Sudah berapa lama mereka buntu mencari petunjuk.

     Hanya Adzriel dan Raziq sahaja yang berada di dalam wad. Ditemani dengan dua orang anggota polis wanita di sisi katil. Masing-masing hanya memerhati Hana yang masih tidak sedarkan diri.

     Kedua-dua tangan, Adzriel jatuhkan ke sisi. Dia kemudian menoleh kepada Raziq dan dua orang anggota wanita tersebut. "Jaga saksi. Saya nak keluar sekejap. Kalau orang tanya tentang Hana, jangan cakap apa-apa. Kita tak boleh letak kepercayaan pada sesiapa."

     Ya, betul. Tak boleh percaya sesiapa sekarang. Hana, satu-satunya saksi masih hidup. Tak mustahil jika suspek akan datang sini untuk sasarkan Hana pula. Semuanya kerana tidak mahu Hana bongkarkan kepada pihak polis.

     "Baik, Tuan," ucap mereka bertiga serentak.

     Adzriel melangkah keluar dari wad. Telefon di dalam kocek dikeluarkan. Nombor seseorang didail sebelum skrin telefon dilekapkan pada telinga.

     "Helo, Lan. Macam mana?" bicara Adzriel saat panggilan di hujung sana dijawab.

     "Masih sama. Mati dalam keadaan yang sama. Yang lain pun dah ronda satu rumah ni. Tak jumpa apa-apa jugak," jawab Aqlan yang berada di hujung talian.

     Adzriel mengeluh. Lagi sekali gagal mencari bukti. Ya, Aqlan dan beberapa anggota lain ke rumah mangsa yang baru sahaja disahkan dibunuh. Dia pula diarahkan oleh Tuan Azwar untuk pantau saksi di hospital bersama Raziq.

     "Tapi, ada satu yang kita orang jumpa."

     Suara Aqlan mematikan lamunan Adzriel. Kedua-dua kening Adzriel ternaik mendengar kata-kata Aqlan itu.

     "Aku WhatsApp kau," ujar Aqlan sebelum dia mematikan talian.

     Telefon ditarik semula dari telinga. Empat saat berlalu sebelum bunyi notifikasi dari telefonnya berkumandang, menandakan Aqlan telah menghantar mesej.

     Ibu jari Adzriel naik menekan notifikasi itu. Satu imej yang dihantar oleh Aqlan. Tergamam sejenak Adzriel melihatnya.

     Huruf R. Yang diukir dengan darah pada dinding batu rumah itu.

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | CWhere stories live. Discover now