A D Z R I E L | 52

5K 311 27
                                    

     KERUSI yang tersedia di hadapan, Naaila perhati lama. Salah seorang anggota polis yang setia berdiri di sisinya hanya berdiri tegak umpama patung cendana. Tak patung cendana, mesti tugu negara. Dia punya tegak tu kalah garis lurus. Mungkin boleh buat kecerunan terus.

     Naaila melepaskan nafas berat. Dia kemudian menarik kerusi itu dan melabuhkan duduk di atasnya. Wajah diangkat, sepasang matanya menembus ke arah seraut wajah yang pucat di sebalik cermin kaca yang memisahkan mereka.

     Dia akui, dia rindu.

     Gagang telefon yang disediakan di atas meja, Naaila capai. Gagang itu diletakkan pada telinganya yang dilapisi tudung. Mata tidak berkelip ke arah raut wajah itu.

     "Assalamualaikum Fina," ujar Naaila perlahan. Senyuman kecil terbit di bibirnya.

     Afina mengangkat wajah yang sedari tadi menunduk. Rambut yang kusut masai dibiarkan begitu sahaja. Bibirnya kering merekah. Alis matanya turut punya kesan bengkak. Akibat menangis tidak henti gamaknya.

     Polis yang berdiri di sebelah Afina meletakkan gagang telefon pada telinga Afina. Afina hanya duduk sambil matanya tidak berkelip ke arah Naaila. Kedua-dua tangannya digari.

     "Fina sihat? Dah makan?" soal Naaila sebak. Terpaksa menahan rasa melihat keadaan adiknya yang kelihatan tidak terurus itu. Tak sanggup dia melihat Afina sebegini rupa.

     Kurus. Sangat kurus seperti tidak makan setahun.

     Serta-merta tubir mata Afina bergenang. Cepat-cepat Afina menundukkan wajah, membiarkan setitis air matanya jatuh atas pahanya. Dia mengangguk-anggukkan kepala sebagai jawapan untuk soalan kakaknya.

     Kini giliran Naaila pula yang menitiskan air mata. Naaila mengemam bibir sendiri. Cuba menahan rasa sebak yang bergelumang dalam diri.

     "Kenapa tak nak angkat muka? Tak rindu kakak ke?" Naaila menyoal dalam nada lembut.

      Mendengar kata-kata Naaila membuatkan Afina angkat muka. Jelas matanya yang mula memerah dengan air mata yang sudah bercucuran membasahi pipi. Bibirnya kelihatan menggeletar. Pucat.

     "Ka... kakak..." Afina bersuara serak. Tekaknya terasa haus namun dia persetankan.

     Naaila melukis senyuman menerima reaksi daripada adiknya. Dia mengangguk kepala sekali.

     "Ya Fina. Kakak ni. Fina nak cakap apa?" balas Naaila kembali.

     Afina serta-merta melepaskan esaknya. Dia menunduk sekejap.

     "Fi.. Fina minta maaf..." Afina teresak lagi.

     "Maafkan Fina, kakak..." Afina merintih perlahan. Masih menunduk dan tidak berani mengangkat muka untuk memandang Naaila.

     Hati Naaila dirudum rasa sayu. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Air matanya sekali lagi menitis.

     "Kakak dah lama maafkan Fina. Kakak maafkan adik kakak." Naaila menjawab dengan esaknya. Dia rindu segala memori dengan Afina. Walaupun sudah terbongkar bahawa Afina bukanlah darah dagingnya, tetapi rasa sayangnya kepada Afina tidak pernah berubah.

     Setahun. Sudah setahun Afina dan Zareel dipenjarakan atas perbuatan mereka. Macam mana? Mereka sendiri yang secara sukarela menyerahkan diri kepada pihak polis. Mereka dihukum penjara sebelum dihukum gantung mati.

     Betapa beratnya jenayah membunuh. Lebih-lebih lagi kesalahan mereka telah membunuh beribu nyawa. Naaila, Aqlan, Zareef dan mak terpaksa terima dengan hati yang berat.

     "Kenapa kakak baik sangat dengan Fina? Lepas apa yang Fina dah buat, kakak maafkan Fina? Semudah itu?" Afina mengangkat muka. Pandangannya yang kabur akibat air mata ditalakan ke arah kakaknya.

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | CWhere stories live. Discover now