A D Z R I E L | 28

5.8K 323 24
                                    

     KELIRU. Ya, jiwanya dihentak dengan kekeliruan setinggi Gunung Everest. Dan bagaimana untuk dia hancurkan gunung itu dan mencari jawapannya?

     Pulang sahaja dari hospital yang sudah dalam keadaan yang kucar-kacir akibat tragedi tembak-menembak dan serangan, Adzriel terus merehatkan diri di dalam bilik. Dengan kaki yang melunjur di atas katil dan belakang tubuh disandarkan pada kepala katil, dia memeluk tubuh sendiri. Kening berkerut sedikit mengingati semula insiden tadi.

     Masih terkejut dengan suspek bertopi kelabu yang munculkan diri secara tiba-tiba di situ. Sudah dia agak pembunuh kes ini bukannya seorang dua!

     Tetapi apabila difikirkan semula, figura misteri berhud itu ditembak oleh figura bertopi kelabu. Maksudnya, mereka bukan lah rakan subahat dan figura bertopi kelabu itu bukan juga menyebelahi di pihak suspek.

     Tetapi kenapa? Apa tujuannya?

     Tuan Azwar dan beberapa anggota polis yang lain turut keliru dengan apa yang diceritakan oleh Aqlan dan dia. Si misteri bertopi kelabu menembak si misteri berhud, seolah-olah cuba membantu mereka.

     Itulah apa yang diperah otak sedari tadi. Menurut Tuan Azwar, mungkin itu sekadar helah oleh kedua-duanya untuk mengaburi mata polis. Boleh jadi suspek bertopi kelabu itu berkait rapat dengan suspek berhud dan sengaja menembaknya untuk mengelirukan pihak polis.

     Tetapi kenapa Adzriel tak rasa begitu? Adzriel mengeluh sebelum mendongakkan wajah merenung siling. Fikirannya kusut bila memikirkan banyak kemungkinan. Sekarang ini, sasaran mereka punya tiga. Si bertopi kelabu, si lelaki dan perempuan yang berhud.

     Bila difikirkan masak-masak, tidak pernah sekalipun kes pembunuhan berkait dengan suspek bertopi kelabu. Namun, kenapa dia pernah culik Naaila? Mengapa isterinya itu diekori senyap-senyap? Siapa dia yang sebenarnya?

     Bunyi pintu dikuak mematikan fikiran Adzriel. Melihat Naaila yang mengatup pintu sambil melangkah ke arahnya membuatkan dia tersenyum simpul.

     Mug yang berisi milo panas di dalam pegangan, Naaila serahkan kepada Adzriel. "Abang okey?"

     Kesian suaminya. Baru balik dari kerja sudah kelihatan kusut. Agaknya bebanan kerja terlalu banyak? Entahlah. Naaila agak saja.

     Adzriel menegakkan tubuh. Huluran Naaila dicapai sebelum dia menghirup berhati-hati milo itu. Panas.

     "Nampak Naaila terus abang okey," jawab Adzriel sebelum mug di tangan diletakkan di atas meja bersebelahan katil.

     Mendengarkan itu, Naaila mencebik.

     "Sweet talker! Mesti dulu abang buaya darat."

     Aih? Adzriel menjongket kening sebelah.

     "Mana ada. Ni kali pertama abang membuaya. Dengan Naaila je lah."

     Naaila memuncungkan bibir.

     Tawa Adzriel terlepas. Baru sahaja Naaila ingin berlalu, tangan Adzriel laju mencapai jari-jemari isterinya, menghalang Naaila. Naaila menoleh. Terangkat keningnya.

     "Nak ke mana?" soal Adzriel.

     "Nak mandi la. Naaila baru lepas tolong mak kat kebun tadi. Hapak bau ni," jawab Naaila sebelum dia kembali memusingkan tubuh.

     Tindakannya terbantut lagi apabila sekali lagi Adzriel menarik tangannya. Sekali lagi juga Naaila menoleh. Dah kenapa suami dia ni?

     Belum sempat Naaila ingin membuka mulut, dia terjerit kecil apabila tubuhnya ditarik Adzriel untuk baring di sebelah suaminya. Belakang tubuh Naaila bercumbu dengan dada bidang milik Adzriel. Pinggangnya dipeluk erat dari belakang.

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | CWhere stories live. Discover now