A D Z R I E L | 46

4.7K 289 18
                                    

     TIK! TIK!

     Laju jari-jemari Zareef dilarikan pada papan kekunci komputer. Adzriel dan Aqlan setia berada di kiri dan kanannya. Masing-masing berkerut dahi melihat code code dan nombor yang pelik yang terpapar pada skrin komputer. Maklumlah, mereka bukan ambil bidang sains komputer. Hanya Zareef yang pernah ambil bidang ini dan sehingga sekarang kemahirannya dalam menggodam dan memahami code nombor tidak pernah terpadam.

     "Boleh tahu ni nombor siapa?" Jari Zareef yang giat melakukan kerja terhenti. Aqlan membongkokkan sedikit tubuh ke hadapan bagi melihat lebih jelas nombor di skrin. Sebelah tangannya memaut belakang kerusi yang diduduki Zareef bagi mengimbangkan tubuh.

     "018 327... ni nombor adik aku, Afina," jawab Aqlan. Semakin berkerut dahinya melihat isi skrin.

     Anggukan dibalas sekali oleh Zareef. Kemudian jari-jemarinya kembali bermain laju pada papan kekunci. Berkerut serius mukanya bersama mata yang tidak berkelip merenung skrin komputer. Sesekali dia menghirup teh ais di sebelahnya. Dia menyebak rambut yang terjurai di dahi ke belakang dengan sebelah tangannya.

     "016 578?" soal Zareef bersama mata yang langsung tidak dilarikan daripada skrin.

     "Naaila." Giliran Adzriel pula yang menjawab selepas sekian lama dia membisukan diri. Akibat lenguh berdiri, dia melabuhkan duduk di atas meja. Tubuh dipusingkan separuh ke sisi, menghadap skrin komputer Zareef. Kedua-dua tangan memeluk tubuh.

     "Sekejap. Kenapa ada tiga nombor kat sini?" Jari telunjuk Aqlan ditalakan ke arah satu nombor telefon di antara nombor Naaila dan Afina. Ada tiga nombor di situ. Apa yang Zareef ingin lakukan adalah untuk menjejaki keberadaan Naaila dan Afina. Jadi sudah pasti hanya nombor mereka berdua yang patut ada di situ. Kenapa harus ada tiga?

     "Ada orang lain ke dengan dia orang?" Adzriel mendekatkan sikit tubuh ke hadapan. Betul juga apa yang Aqlan kata.

     Zareef sekadar diam. Wajah tidak mempamerkan sebarang reaksi.

     "Ikut daripada nombor-nombor ni, ada orang lain yang jadi tahanan selain Naaila dan Afina. Tapi tak pasti siapa. Kita kena selamatkan mereka bertiga." Aqlan memusingkan tubuh ke belakang. Belakang tubuh dia sandarkan pada gigi meja. Kedua-dua tangan dibawa ke dada, memeluk tubuh sendiri.

      "Pulau Ribong." Zareef mencapai teh ais di sebelahnya lalu diteguk perlahan. Membasahkan tekak sekejap.

     "Pulau Ribong di kawasan terpencil sekali. Bahagian selatan yang tiada siapa pernah jejak. Dia orang kat sana." Zareef menyandarkan belakang tubuh pada kerusi. Dia meregangkan leher ke kiri kanan. Lenguh.

     Automatik Aqlan dan Adzriel menoleh ke arah komputer Zareef. Serentak kedua-duanya membongkokkan sedikit tubuh ke hadapan dengan mata fokus terhadap skrin. Jelas ada titik merah yang berkelip di atas peta yang memaparkan lautan yang luas. Titik merah itu bernyala pada sebuah pulau kecil yang terukir elok di atas peta.

     "Tuan Adzriel!"

     Serentak Zareef, Adzriel dan Aqlan menoleh ke sisi. Raziq yang tergopoh-gapah dengan telefon di tangan berhenti di hadapan Adzriel. Telefon disuakan ke arah Adzriel. Muka kelihatan cemas.

     Laju Adzriel mencapai huluran Raziq. Skrin telefon ditekapkan pada telinga.

     "Adzriel Rafiq Syahputra. Rindunya abang Reel dengan kau." Kedengaran suara sinis Zareel di hujung talian.

     Terdiam Adzriel yang mendengarnya. Riak wajahnya berubah tegang. Genggaman pada telefon semakin erat.

     "Kenapa diam? Tak sangka selama ni kau buru abang sendiri? Abang yang dah berpuluh tahun tak jumpa tiba-tiba jadi suspek yang dikehendaki pihak kau sendiri?"

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | CWhere stories live. Discover now