A D Z R I E L | 35

4.7K 299 24
                                    

     BUK!

     Adzriel tertoleh ke kanan. Rahangnya terasa sengal penangan tumbukan yang menyapa. Tidak mahu melawan, dia sekadar memejamkan mata pasrah. Rambutnya yang kusut itu dipersetankan.

     "Aku dah cakap Riel, sekali kau sakitkan adik aku, aku yang bantai kau," tegas Aqlan tanpa senyuman di wajah. Dadanya berombak menahan bengang. Baru sekali buku limanya singgah di wajah Adzriel. Nasib baik kawan sendiri. Kalau tak mungkin sudah dijemput ke hospital.

     Adzriel terdiam lama. Hanya kedengaran bunyi desahan nafas yang keluar dari mulut. Perlahan-lahan, dia membawa wajah ke hadapan.

     "Misunderstand. Dengar dulu apa aku nak cakap, Lan. Bukan macam apa yang kau orang fikir," ujar Adzriel. Ada nada penat dalam suaranya. Kenapa semua orang harus salah faham? Kenapa tiada seorang pun yang sudi tadah telinga untuk dengar dahulu penjelasannya? Susah sangat ke?

     Melihatkan Adzriel yang kelihatan kuyu itu, terselit juga rasa kesal dalam diri Aqlan. Dia menarik nafas sebelum menghembus perlahan.

     Bukannya dia ingin menghadiahkan buku lima pada wajah kawannya itu. Tetapi semalam boleh pula dia nampak Naaila menangis dalam bilik mak. Mak pun pujuk ajelah, nak buat apa lagi? Bukan niat dia ingin mencuri dengar tetapi kebetulan dia lalu di depan pintu bilik.

     Berderau betul darah Aqlan bila Naaila mengatakan Adzriel menduakan dirinya. Dengan Anggerik? Abang mana yang tidak naik baran bila lihat adik sendiri diduakan oleh suami? Itu adik dia. Abang mana yang tidak naik darah?

     Tetapi, dia lebih kenal Adzriel macam mana. Lebih kenal berbanding Naaila. Kerana dia sudah lama berkawan dengan Adzriel dan dia tahu Adzriel tak akan bertindak sedemikian rupa. Dia yang tidak dapat kasih sayang dari keluarga, mana mungkin akan khianati sayangnya terhadap isteri sendiri? Cuma penumbuk itu, sekadar balasan sebab buat Naaila menangis. Ahaks!

     Aqlan melabuhkan duduk di atas sofa. Dia mengurut pelipisnya perlahan. Hanya membisukan diri dan memberi ruang kepada Adzriel untuk jelaskan segalanya.

     "Anggerik tak sengaja pegang aku masa tu." Adzriel memulakan penceritaannya. Kerusi kosong di sebelah Aqlan diduduki. Dia menundukkan wajah sebelum kedua-dua jari-jemari digenggam antara satu sama lain.

     "Dia ada perkara penting nak tanya aku. Aku sendiri dah warning dia untuk jumpa aku bila ada perkara yang penting je. Aku sendiri tak sangka dia tiba-tiba pegang aku. Aku dah bagi amaran dekat dia. Cuma Naaila salah faham. Aku nak terangkan dia tak nak dengar," keluh Adzriel lalu menyandarkan belakang tubuhnya pada kerusi. Sepasang mata itu sekadar termenung ke hadapan.

     Sudah dapat diagak oleh Aqlan sendiri memang itu yang terjadi. Kerana dia kenal Adzriel macam mana. Takkanlah Adzriel nak curang belakang Naaila?

     Aqlan meraup wajah. Adui, kau ni pun Naaila... cubalah dengar dulu penjelasan daripada suami berbanding buat kesimpulan sendiri. Apa-apa pun, komunikasi itu penting.

     "Apa-apa pun yang jadi, aku tak nak minta maaf atas penumbuk aku. Tu hadiah sebab buat Naaila menangis," tebak Aqlan tiba-tiba.

     Adzriel tergelak kecil. Tak apa. Dia tak terasa pun dengan tindakan Aqlan. Kerana dia tahu Aqlan itu seorang abang yang penyayang, yang sangat menyayangi keluarganya. Kalau perkara ini timpa ke atas Afina, tentu juga naya orang tu Aqlan kerjakan.

     "Habis sekarang, kau nak buat apa?" Aqlan menoleh ke arah Adzriel di sisi.

     Adzriel menghelakan nafas panjang. "Buat masa sekarang, biar Naaila tenangkan diri dulu. Sebab aku pun tak boleh terima bila dia tuduh aku duakan dia. Kenapa dia tak percayakan aku, Lan? Dia lagi percaya ego dia berbanding aku ni, suami dia."

𝐈𝐧𝐬𝐩𝐞𝐤𝐭𝐨𝐫 𝐀𝐝𝐳𝐫𝐢𝐞𝐥 | CWhere stories live. Discover now