BAB 3

14.9K 1.2K 123
                                    

Okay, Mia. Apa yang kau cuba buat ni?

Semasa aku sibuk bertanya pada diri sendiri, kaki aku dah pun berada atas dahan pokok.

Ya, aku tengah panjat pokok.

Sampai sahaja di dahan yang paling atas, aku terus memeluk salah satu dahan yang ada di situ. Aku harap dahan ni cukup kuat untuk menampung berat aku yang 45 kg ni.

Aku sedar perbuatan ni memang salah. Tapi niat aku cuma nak tengok sekejap je.

Aku memandang sekeliling. Memang tidak dinafikan sekolah ni memang cantik. Besar dia tak payah ceritalah. Dua kali ganda besarnya dari sekolah lama aku tu.

Sekolah ni dikelilingi dengan rumput hijau yang sangat luas. Dan di tengah-tengah bangunan sekolah pula ada sebuah kolam renang.

Macam mana aku tahu? Sebab aku pernah datang sini dengan mama dan papa masa umur aku tujuh tahun. Tapi masa tu aku belum berjumpa dengan putera aku tu jadi aku tak pernah ambil kisah sekolah ni wujud atau tak.

Mata aku melilau melihat sekeliling. Mana agaknya putera aku tu berada? Aku pun sebenarnya tak pasti sama ada putera aku tu masih bersekolah di sini atau tak. Umurnya pun aku tak tahu. Aku cuma berharap yang aku dapat berjumpa dengannya sekali lagi. Atau sekurang-kurangnya dapat petunjuk tentangnya pun dah cukup bagus.

Oh tuhanku.. berikanlah petunjuk untuk cari putera aku tu!

Sekali lagi satu hajat keluar dari hati sanubari aku. Agaknya kalau hajat-hajat aku ni dikumpul dalam satu bekas, mesti dah terlampau padat. Dah boleh kebabom meletup.

Tiba-tiba aku rasa pokok ni bergoyang. Tangan aku makin kuat memeluk dahan, takut-takut tergolek ke bawah. Oh jangan lah masin pulak mulut ni. Hati aku dah mula memaki diri sendiri. Tu lah buat lagi kerja gila panjat-panjat pokok. Siapa ajar? Kucing tadi lah siapa lagi.

Tengah-tengah kepala aku mengarut macam-macam, mata aku tertancap pada seekor lelaki.. eh salah. Seorang lelaki. Ni la padahnya dari tadi asyik mengarut sampai otak pun dah jadi mereng.

Okay back to the point, mata aku tak lepas memandang seorang lelaki yang sedang berjalan ke arah pokok yang aku panjat ni. Agak kacak pada pandangan aku. Rambutnya berwarna perang. Aku agak dia ni mesti pelajar dari luar negara. Muka pun macam orang putih sikit.

Tapi apa yang buat aku lebih teruja ialah baju yang dipakainya. Berbeza dengan pelajar-pelajar yang lain yang memakai uniform berwarna putih, dia pula memakai uniform berwarna hitam.

Leka aku menganugerahkan berbakul-bakul pujian kepada lelaki yang aku tak kenal pun siapa tu, tiba-tiba terdengar bunyi daun-daun bergerak di atas aku. Aku memandang ke atas. Dalam kepala aku dah muncul benda yang bukan-bukan. Macamana kalau ular? Aku dah kecut perut. Baru sekarang nak rasa menyesal sebab buat kerja gila ni.

Baru je aku nak mulakan misi turun dari pokok, tiba-tiba seekor tupai keluar dari celah-celah daun yang bergerak tadi. Aku mengeluh lega. Rupanya haiwan kecil ni yang buat bunyi tadi. Aku dah rasa selamat semula.

Tapi aku tersilap.

Silap kerana tiba-tiba tupai itu meluru ke arah dahan yang aku tengah peluk sekarang ni.

"Ehhhh jangan datang dekat!!"

Tangan aku yang tadinya tengah memeluk dahan, terus cuba menghalau tupai tu dari berlari ke arah aku.

Dan itu adalah satu kesilapan besar.

Tiga saat selepas aku melepaskan pelukan aku dari dahan, badan aku mula hilang keseimbangan dan

Buk!!

"Aduh..."

Aku menggosok-gosok kepala aku. Nasib baik pokok tu takdelah tinggi sangat. Tapi kenapa rasa macam lembut je eh?

Maid MaidenWhere stories live. Discover now