Part 22

14.1K 630 17
                                    

Kafe.

"Ulya, tolong tengokkan kaunter kejap. Aku nak solat," pinta Warda sewaktu aku sedang menatang dulang berisi air minuman untuk dihantar ke meja pelanggan.

"Kejap, aku hantar order ni dulu..". Warda mengangguk. 

"Jemput minum," ujarku sebaik sahaja gelas minuman beralih dari dulang ke meja. Pasangan pelanggan itu mengucapkan terima kasih sebelum aku berlalu mendapatkan Warda. Gadis itu kemudiannya menanggalkan apron dan berlalu ke belakang.

Kebiasaannya aku bergilir dengan Warda menunaikan solat tetapi hari ini aku 'cuti'. Hehe. 

Beberapa orang pelanggan masuk ke dalam kafe. Melihat raut wajah seorang gadis, aku cuba mengingati di mana kami bertemu. Oh, ya! Damia!

Damia sepertinya tidak menyedari kewujudanku. Dia melangkah ke arah sebuah meja di tepi tingkap. Gadis itu datang bersama tiga orang lagi kawannya. Aku menggamit Aiman, menyuruhnya menjaga kaunter seketika sementara aku mengambil order dari Damia.

Aku berdehem. Sebaik sahaja Damia mendongak, matanya bundar. Senyumannya terukir di bibir.

"Eh! Awak Ulya kan? Anak angkat Aunty Ruby?" Sapanya mesra.

"Hai, Damia. Ye, saya Ulya.."

"Awak kerja kat sini ke?" Soalnya melirik kepada apron dan uniform yang tersarung di tubuhku. Aku mengangguk. Ipad di tangan aku angkat separas dada. 

"Okay, boleh saya ambil order sekarang?"

Sejurus selepas aku berpusing untuk pergi, terdengar rakan-rakan Damia bertanya tentang siapa aku. Sempat juga telingaku menangkap nama Anaqi meniti di bibir Damia. Namun aku abaikan sahaja.

Usai makan, Damia ke kaunter untuk membuat pembayaran. 

"Ulya, boleh tak saya nak tanya sesuatu?" Soalnya selepas aku menyerahkan resit pembayaran.

"Nak tanya apa?"

"Err..macam mana nak cakap ye?" Ujarnya, ragu-ragu. Aku hanya diam menunggu Damia menyambung bicara. Sepertinya aku sudah mengagak apa yang bakal dikatakannya. Pasti berkaitan dengan Anaqi.

"Okaylah. Saya straight to the point je ye? Anaqi tu dah ada girlfriend ke?"

Kan betul?

"Anaqi? Takda kot. Rasanya dia single. Kenapa awak tanya?" Sengaja aku menduga. Damia tersenyum malu. 

"Err..takda apa-apa. Just asking. Thanks ya Ulya? Saya balik dulu..," pamit Damia. Aku tersenyum seraya mengangguk.

Aku juga perempuan. Aku tahu kenapa gadis itu bertanya tentang Anaqi. Siapa yang tidak pernah tertarik dengan lelaki itu? Aku juga tidak terkecuali. Dia punya auranya yang tersendiri. Bisa memaku setiap pandangan gadis padanya. Cemburukah aku?

                                       ****

Jam sudah menunjukkan angka sebelas malam ketika aku tiba di rumah mama. Sejak semalam aku sudah mula berpindah ke sini. Jadi mulai semalam, aku berulang dari kafe ke banglo ini setiap hari. Keluar sahaja dari grab, aku menapak masuk. 

Kunci pendua sudah diberikan awal kepadaku oleh mama. Sempat aku menjenguk ke garaj, kereta mama dan papa kelihatan di situ tetapi kereta milik Anaqi tiada. Ah, mungkin dia keluar dengan kawan-kawannya. Atau mungkin dia bermalam di luar. 

Dengan langkah perlahan, aku memijak anak tangga satu persatu ke tingkat atas. Suasana rumah yang sunyi sepi menandakan mama dan papa sudah pun tidur. Mak Jah juga tidak kelihatan. Mungkin juga sudah lena dibuai mimpi.

ULYA MIKAYLA ©️Wo Geschichten leben. Entdecke jetzt