Bab 10

32 7 1
                                    

Sedikit sebanyak hatiku berasa sedikit lega mendengar janji Khan kelmarin. Mungkin kali ini aku perlu percaya dia. Lagipun lihat pada perwatakannya macam boleh dipercayai. Tapi tidak tahulah jika dia sejenis yang menikam aku dari belakang dan bertanya mengapa aku berdarah. Hati manusia berbolak-balik. Aku hanya manusia biasa yang tak mampu halang benda jahat yang akan terjadi pada aku.

Mood aku hari ini lebih baik dari semalam tetapi apabila teringatkan tentang ketegangan aku dengan Hasya, aku kembali muram. Kasihan gadis itu kerana menjadi tempat aku lepaskan kemarahan. Mungkin apabila sampai di kelas nanti, aku perlu meminta maaf dan berbaik semula dengannya. Bertahun-tahun kami berkawan baik takkanlah hanya kerana ego, aku dan dia sudah tidak bercakap. Sayanglah.

Tangan kasar Darwisy aku salam lalu turun dari kereta. Hari ini baba perlu ke sekolah awal kerana ada majlis, jadi yang hantar aku sekolah hari ini ialah Darwisy. Alang-alang dia mahu belikan sarapan pagi juga untuk Daffa yang menyambung tidur selepas selesai solat subuh tadi. Selepas memastikan aku masuk ke dalam kawasan sekolah dengan selamat, Darwisy memecut pergi. Aku senyum segaris berharap supaya hari ini lebih baik dari semalam.

Sampai di kelas, semua mata memandang aku. Aku tidak berfikiran pelik. Aku hanya ukir senyum kepada mereka. Namun senyuman aku tidak dibalas. Mereka memandang aku seperti aku seorang banduan yang baru sahaja keluar dari penjara. Kening diangkat bagi bertanya mengapa melihat aku sebegitu.

Tiba-tiba Khan yang berada di belakang kelas datang ke arah aku. Mukanya yang risau itu aku pandang pelik. Pelik dengan situasi yang sedang berlaku. Kenapa mereka semua seakan terkejut dengan aku?

"Iris?" Khan berhenti di depan aku.

"Ya? Apa yang dah jadi ni?" Aku sengetkan sedikit kepala ke sisi ingin melihat rakan-rakan di belakang. Khan geleng laju.

"Tak ada apa. Ikut aku, kita kena pergi dari sini." Bahu aku ditarik rapat dengannya. Aku agak terkejut apabila tangan kasarnya mendarat di bahu aku. Aku mahu bersuara tetapi Khan menyuruhku diam. Tangannya bergerak memegang lenganku pula.

"Diam dulu, Iris. Kita kena lari."

Otak aku seakan tidak berfungsi. Aku tertanya-tanya apa yang sudah terjadi di dalam kelas STEM itu. Namun soalan-soalan itu hilang dari otak apabila bahu aku merempuh dinding sekolah kerana berjalan tergesa-gesa mengikut langkah Khan.

"Aduh! Sakitlah, Khan." Aduku. Kenapa jejaka ini mengajak aku lari dari kelas pula?

"Sorry. Tapi kita kena menyorok."

Makin pelik aku dibuatnya. Bahu sebelah kanan ingin aku gosok tetapi terhalang kerana Khan. Aku berdecit geram. Aku goncangkan tanganku kerana ingin melepaskan diri.

"Khan, bahu aku sakitlah. Lepas dulu."

Serta merta lengan aku dilepaskan dan langkah kaki kami pun terhenti juga. Mukanya aku pandang sambil gosok bahu. Aku perhati sekeliling. Kini kami berada di belakang bangunan sekolah di mana ini adalah salah satu tempat larangan bagi para pelajar.

"Kenapa ni?"

Aku kalih mata merenungnya namun dia pula yang melarikan matanya. Sah, ada sesuatu yang dah jadi dan dia tidak mahu aku tahu tentang itu.

"Khan. Bagitahulah aku, apa dah jadi? Kelas dah nak mula, kita patut ada dalam kelas sekarang ni." Desakku.

"Lagipun aku baru saja sampai sekolah, tiba-tiba kau ajak marathon pula. Lenguh tahu?"

Halkumnya bergerak menandakan dia menelan air liur. Tidak pasti kerana apa. Muka cuba dilembutkan. Tidak mahu Khan terus berasa kurang senang dengan aku.

"Bagi tahu.."

"Maya?" Potong seseorang.

Terus aku menoleh ke belakang dan Hasya dengan muka terkejutnya sedang pandang kami berdua. Aku senyum padanya. Tidak mahu terus bermasam muka lagi, aku sudah berjanji pada diri sendiri bahawa hari ini aku ingin berbaik dengannya.

HETEROCHROMIA ✔️Where stories live. Discover now