Bab 14

20 8 0
                                    

PEN yang kemas dipegang tiba-tiba ditarik seseorang. Akibat terkejut terus aku berdecit geram. Melihat gerangan itu lagi bertambah rasa geram di hati. Kerusi Amsyar di sebelah ditarik rapat ke mejaku lalu dia duduk.

"Bagi balik pen aku." Kataku senada.

Dia hulur kembali pen itu lalu tongkat dagu di atas meja. Matanya bergerak melihat tangan aku sedang menulis karangan bahasa Melayu. Tidak selesa dengan situasi ini, pen dihempas sedikit kuat di atas meja lalu tenung dia.

"Kenapa datang sini? Pergilah kantin." Halauku. Dia mencebik.

"Janganlah marah, Iris. Kita kan dah berbaik."

"Bila masa pula? Aku masih marahkan kau."

Dia pamer muka sedih lalu tunduk mengambil sesuatu di bawah. Makhluk berbulu lebat berwarna putih didakap erat olehnya.

"Sayang, tengoklah Iris ni. Dia marah saya. Cuba cakar dia, mana tahu dia lembut hati nak berbaik dengan saya?" Ujarnya sambil menggerakkan kaki makhluk itu. Kucing yang diberi nama Dara oleh aku itu aku pandang dan mata kami bertembung. Ketika ini juga aku senyum padanya. Dia seakan mengerti mula berbunyi.

"Meow!"

"Kan? Jahatlah dia ni, tak nak kawan dengan saya."

Manusia di sebelah aku jeling. Tidak betah melihat tingkah laku Khan yang menggelikan ini terus aku bersuara. Dara di pangkuannya aku ambil dan peluk.

"Sudahlah, Khan. Boleh tak kau pergi dari sini? Tinggalkan aku dengan Dara saja di sini." Pintaku.

"Oh. Kau bagi nama pada dia Dara, ya?"

Aku tak menjawab. Cukup hanya dengan jelingan sudah membuatkan Khan menutup mulut. Banyak soal pula. Dara di bawah aku belai manja. Kepalanya dilentok pada lenganku. Suka apabila dibelai begini.

"Kau buat apa?" Soalan tidak masuk akal itu ditanya padaku.

"Kau buta atau buat-buat tak nampak?"

"Yalah. Iris, aku minta maaflah. Sudah banyak kali aku minta maaf, tak akanlah kau masih marah pada aku?"

"Ya, aku masih marahkan kau dan aku tak akan berhenti marahkan kau. Sebab kau, Hasya dah tak bercakap dengan aku."

"Tapi.."

"Cukup. Aku tak nak dengar lagi. Tolong pergi dari sini. Masa rehat dah nak habis, lebih baik kau pergi kantin dan makan kalau tak mahu kebulur nanti."

Dia tunduk. Nampak seperti kecewa kerana gagal berbaik dengan aku sekali lagi tetapi aku tidak peduli. Kecewa kau tak sama dengan kecewa aku. Kalau ikut logik, aku lagi perit. Hilang satu-satunya kawan baik dari tingkatan satu.

"Okey. Aku minta maaf sekali lagi." Dia bangun lalu kedua belah tangan dihulur padaku. Muka tertanya-tanya aku tayang.

"Kau nak dukung aku ke apa?"

"Hesy! Aku nak sayang akulah. Bagi sini!" Terus dirampas Dara daripada aku. Membulat mata aku melihat dia selamba saja rampas Dara. Kalau ya pun nak 'sayang' kau tu, mintalah elok-elok.

Dara diletak atas bahunya lalu dia berjalan keluar daripada kelas. Mata melirik jam dinding di depan. Masih berbaki lima belas minit lagi waktu rehat. Mata dikalih melihat kerusi Amsyar pula lalu aku mengeluh.

"Dah duduk tak reti nak letak semula." Omelku lalu bangun meletak kerusi itu di meja Amsyar. Selalu sangat kerusi dan meja Amsyar yang menjadi mangsa Khan. Ditarik ke hulu ke hilir dan ditinggalkan begitu sahaja. Nasib baiklah Amsyar jenis yang santai dan tidak ambil hati dengan sikap Khan.

HETEROCHROMIA ✔️Where stories live. Discover now