Bab 14

6K 306 25
                                    

TERKADANG yang indah itu tersimpan gundah tenang seperti segara hancur seperti kaca. Dia lelah memendam segala rasa dan perkara yang dihadapinya seorang diri.

Seperti peribahasa yang berbunyi air mata jatuh ke dalam.

Asyraaf meraup wajahnya dalam cuba menahan tangisan dari terhambur. Baginya, Faqihah ialah cinta pertamanya kerana dia tidak pernah bercinta sejak sebelum dia bertemu dengan gadis itu.

"Kenapa sekarang, Qihah? Asy rindu Qihah. Asy rindu Cik Faqihah Asy." Sebak menggunung di jiwa. Namun dia harus terima.

"Anggap ajelah dia bukan untuk kau, Acap. Perempuan macam dia tu, pasti ada lagi yang lain untuk kau." Suara garau lain tiba-tiba datang mencelah.

Asyraaf memalingkan kepala ke arah insan yang duduk di sebelahnya.

Haydan.

"Kau senanglah cakap. Bukan tunang kau," ujar Asyraaf sambil menjeling Haydan.

Haydan hanya mencebik dan memutarkan bola matanya. Selama ini, yang terkejarkan Asyraaf tidak dipandang pula oleh jejaka itu.

"Hirsya kan ada?"

Berkerut ruas dahi Asyraaf sebaik mendengar sebaris nama itu terluncur dari ulas bibir Haydan. Sudah lama nama itu tidak menyapa ruang minda dan fikirannya. Apatah lagi wajah empunya nama tersebut mengisi ruas matanya.

"Apa kena mengena dengan dia pula?"

"Tak ada kena mengena. Tapi aku selalu perasan, dari dulu lagi kau selalu jumpa dia. Sebelum bertunang dengan arwah Faqihah. Tapi kenapa sekarang dah berpaling tadah?"

"Mana ada berpaling tadah. Aku dengan Hirsya tu tak lebih dari kawan pun. Aku jumpa dia pun dari online. Buat teman borak. Dia matang sebab dia boleh buat orang selesa nak berborak dengan dia."

Haydan mengangguk beberapa kali. Dijeling sekilas rakannya itu lewat ekor matanya.

"But she likes you, right?"

Asyraaf hanya menggumam.

"Then, why did you rejected her? Sebab terlalu muda?"

"Yah. Jauh beza sangat. 11 tahun kut." Asyraaf menggelengkan kepalanya.

Haydan mencebik. "But she looks mature, bro. Plus, age is just a number. Manalah tahu kalau dia boleh beri kau kebahagiaan yang lebih daripada yang kau dapat dengan arwah ke? You wouldn't know."

"Aku tak ada hati dengan dia."

"Tak perlu ada hati sekarang. Tapi kau cuba sewaktu dalam ikatan pernikahan. InshaaAllah perasaan tu tak akan berubah."

"Aku tak suka dia."

Haydan tertawa sinis. Ditepuk bahu kanan Asyraaf itu sambil mengherot senyum sengetnya.

"Yakin? Yang dulunya Kyle cerita pada aku yang kau demam sampai meracau nama dia tu apa? Kyle jaga kau masa itu, Acap. Dia beritahu aku. Aku tahulah."

Sengaja Haydan kembali mengungkit semula sewaktu Asyraaf jatuh sakit secara tiba-tiba hingga berlarutan agak lama. Ketika itu, hanya Kyle yang ada dengan lelaki itu. Kyle jugalah yang menjaga Asyraaf. Mujurlah tidak terlalu teruk hingga perlu dibawa ke hospital.

Ketika itu jugalah, hanya nama Hirsya saja yang meniti di bibir Asyraaf. Dia sendiri tidak tahu sebabnya. Makin digasak rasa pelik.

Asyraaf bungkam ditempatnya. Jujur dia kehilangan kosa kata.

"Hah! Diam? Kenapa nak kena nafikan lagi perasaan itu? Aku tak faham bagaimana kau boleh mencintai arwah sedangkan dalam hati kau sebenarnya ada nama perempuan lain. Atau sebenarnya, selama ini semua itu palsu saja untuk arwah Faqihah? Kau tipu hati dan diri kau sendiri, Acap."

Semudah itu saja Haydan meletakkan tebakan tentang perasaan Asyraaf buat arwah Faqihah. Beranggapan bahawa nama gadis yang berada di hati jejaka itu sebenarnya ialah Hirsya.

Asyraaf kekal jumud di tempatnya. Dalam diam, dia cuba mencerna segala kata-kata Haydan tadi. Memikirkan jikalau benar selama ini, segala yang dia berikan kepada Faqihah hanyalah palsu semata.

Dia menggeleng. Kepala ditundukkan sedikit.

"Aku tak tahu. Aku bahagia bila dengan Faqihah. Jantung aku berdetak laju waktu pertama kali kami berjumpa."

"Selepas itu? Masih rasakan detak jantung yang sama? Macam yang kau rasakan sewaktu berjumpa dengan Hirsya?" soal Haydan laju.

Asyraaf diam seketika untuk membaca diri dan hatinya sendiri sewaktu bersama dengan Faqihah.

"Tak. Tak sama. Hanya pertama kali aje jantung aku berdetak laju bila jumpa Faqihah. Iaitu di hari pertunangan kami."

Haydan memetik jarinya seraya mengangguk sekali.

"Sah! Sah kau cuma nervous waktu itu. Sebab aku pernah baca, dan aku sendiri pun rasa. Kalau betul kau cintakan seseorang, pasti jantung kau akan berdetak laju setiap kali bertemu dengannya. Walaupun, itu bukan kali pertama."

Ternganga kecil mulut Asyraaf sebelum memandang wajah Haydan di sebelah. Kepalanya disengetkan sedikit sambil kening dikerutkan.

"Mana kau belajar semua ni?"

Haydan hanya tersengih. "Adalah. Aku kan suka membaca. Terbaca perihal begitu, aku kongsilah pada kau. Eh, tapi memang fakta tau. Tak percaya, boleh cuba. " Serius saja riak wajahnya meyakinkan si rakan.

Asyraaf berdecak.

"Cuba eh?"

Kyle sekadar menjongketkan keningnya.

"Cuba. Kau datang di hari graduasi dia nanti. Gerenti dia terkelu, terkedu, terkaku semua. Aku yakin dia pun rindukan kau."

Tawa jantan Asyraaf terlepas jua akhirnya. Dia menggeleng lagi melayan telahan rakannya itu. Mengalahkan orang yang pernah bercinta memberi nasihat dan kata-kata.

"Lambat lagilah. Sekarang umur dia 23. Tahun depan baru graduate."

Terjongket kening Haydan tatkala menyedari bahawa Asyraaf masih mengingati umur gadis yang dibualkan mereka. Sangkalnya, Asyraaf sudah tidak ingat.

"Umur dia pun kau ingat lagi, ya? Entah banyak lagi benda tentang dia atau kenangan dengan dia yang kau masih ingat kan?"

Asyraaf mengemam bibirnya rapat. Tidak mahu membalas mahupun membidas. Benarlah bahawa dia masih ingat.

Haydan tertawa pendek. "Betul lah yang kau pun ada perasaan yang sama macam Hirsya rasa pada kau. Aku rasa memang betul kau cuma tipu diri kau sendiri, Acap. Dasar lelaki ego! Ish ish ish."

Haydan menggeleng sendiri sebelum mengangkat punggung dari situ. Ingin memberi ruang kepada rakannya itu untuk berfikir betul-betul tentang segala yang dibualkan dan dikatakan olehnya sebentar tadi.

Manakala Asyraaf setia di situ sambil cuba merenung dan memikirkan kata hatinya.

"Aku... suka Hirsya?"

Dia sendiri buntu. Sewaktu dia menerima Faqihah sebagai tunangnya pun, dia tiada melakukan solat sunat istikarah. Meminta petunjuk dari Tuhan andailah benar jika gadis itu buatnya. Jadi mungkin, kali ini dia boleh cuba.

Bingkas Asyraaf bangkit dari situ. Mungkin selama ini, segalanya hanya palsu saja. Barangkali, disebabkan itu Tuhan menarik Faqihah dari hidupnya.

Kerana mungkin hatinya bukan sepenuhnya untuk arwah.

Lagipun, hati manusia ini biasanya Allah saja yang dapat baca dan ketahui. Dia lebih mengenali isi hati hamba-Nya. Sebab itu kalau kita nak buat sesuatu dan tak tahu untuk membuat keputusan, minta petunjuk dari Allah.
















Notes : - Some of the scenes in this chapter are based on reality so don't ask or say if it is logical or not because it happened in reality - (tapi bukan hidup saya, ya. Hidup orang lain yang saya pernah temui)

Takdir Kita | E-BOOK Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz