20. SETH & SERA

57 6 0
                                    

Apabila Sang Matahari mengundur diri, malam mula mengambil alih melakukan tugasnya. Gelap dan semakin memekat hitam. Hadirnya cahaya bintang menemani setia Sang Bulan di sisi menemani sepanjang malam.

Sungguhpun begitu, larutnya malam tidak pernah menghalang Kota Republik untuk terus rancak dengan syurga duniawi. Hiburan musik sentiasa hidup sepanjang jalan, ramai penghuni Republik melepak melepaskan tekanan kerja sebelum pulang ke rumah.

Kota Republik tidak pernah merasa tua malah masih lagi muda di waktu begini. Pub dan kelab malam tumbuh seperti cendawan. Pelanggan tidak putus-putus keluar dan masuk. Kota ini bagaikan tidak pernah lelah pada waktu malam.

Malah, semakin malam semakin rancak!

Dalam keriuhan, tersembunyi kesepian.  Diam sepi kadangkala membawa bahaya yang tidak dijangka. Seperti manusia, diam-diam ubi berisi!

Ketika semua orang sedang leka dengan hiburan tengah malam, dan ketika semua orang sedang diulit mimpi indah, ada bayangan belakang sedang melakukan kerja.

Aktiviti gelap sedang berlangsung secara senyap dan terancang. Penjenayah semakin bijak melakukan kegiatan mencuri, menjual senjata haram, menjual dadah dan menjual barang seludup. Waktu begini juga, para Hacker menggodam pelbagai sistem untuk membuahkan hasil berjuta-juta!

Angin malam menampar pipi mulus. Dia berjalan seorang diri, mahu mengambil angin malam untuk menyegarkan diri. Tenang dia menelusuri tepi jalan yang sibuk. Seharian duduk di rumah membuatkan dia rimas dan terlalu bosan.

Sejak rancangan lari gagal berkali-kali, Aldean mengetatkan kawalan rumah dengan meletak pengawal keselamatan keliling rumah.

Kali terakhir dia keluar bila pergi ke rumah Maria, itu pun dengan Aldean. Sejak mereka kena halau dengan anak-anak Maria, dia tidak dapat keluar rumah lagi. Hazel dapat keluar bila Aldean ajak sahaja. Rasa macam perempuan simpanan pun ada.

Tapi masalahnya sejak-sejak ini lelaki itu sibuk kalah perdana menteri!

Bagaikan duduk di penjara seumur hidup, dan keadaan menjadi lebih neraka lagi bila tiada ruang pun untuk dia melepaskan diri! Ada sahaja rancangan untuk keluar dari rumah itu dipatahkan mudah oleh Aldean!

Dia pun tak tahulah, ilmu apa yang dipakai lelaki itu. Setelah berhari-hari Hazel merana dan terseksa tanpa kebebasan, akhirnya dia berjaya mencari jalan keluar tanpa ditangkap lagi.

Dia sudah tahu kelemahan semua pengawal keselamatan dan jalan tikus yang berada dalam rumah itu. Kebetulan hari ini Aldean bermalam di pejabat. Jadi dapatlah dia lepas dengan hati senang.

Langkahnya terhenti di stesen bas lalu merenung mesin air di situ. Air liur diteguk melepasi kerongkong, membasahkan anak tekak yang kian kering.

Dahaga dan terliur dengan air-air dalam mesin itu. Tangan kanan menyeluk poket. Kad dikeluarkan dari poket seluar lalu dia meletakkan kad tersebut pada gambar air tin berkarbonat anggur.

Beep!

Setelah air tin keluar, Hazel mengambil laju dengan wajah teruja. Pertama kali dia cuba menggunakan kad identiti yang boleh digunakan sebagai kad kredit.

Aldean kata boleh guna sebagai duit. Macam mana kad ini berfungsi dia pun tak tahu. Yang penting senang! Tidak perlu dia risau lagi sebab Aldean pernah beru tahu duit tidak pernah kering dalam kad itu.

Jadi nikmat ini tidak boleh dilepaskan, dia akan gunakan tanpa had selagi ada kesempatan!

Tiba-tiba hidungnya yang tajam dapat menangkap bau yang tidak menyenangkan. Pada awalnya dia cuba buat tidak tahu tetapi, telinganya yang peka dapat mendengar satu suara yang sangat mengganggu akal fikirannya ketika ini!

ANOTHER SIDEWhere stories live. Discover now