Bab 33: Runtuh [EDITED]

547 75 64
                                    

RUDY menghelakan nafas berat. Syukur!

Hampir meletup jantungnya daripada sangkar melihat Iman yang terambang di beranda tadi. Mujur dia pantas melemparkan wristbandnya.

Kini Iman selamat dipapah Rudy. Tangannya yang melingkari pinggang Iman tadi segera dialih ke bahu dan lengan gadis itu.

"Ru... Rudy..." Iman tercari lengan Rudy.

Rudy yang memahami pantas memberi Iman memegang lengannya. Sementara sebelah tangannya lagi tidak berhenti mengusap bahu gadis itu.

Pucat sungguh muka Iman. Jelas sekali masih takut. Dapat dia rasakan lengannya digenggam kuat dengan gigilan.

"C*onǐmā!"

Rudy mengangkat kepalanya demi saja carutan Coda bergema. Dilihat sepucuk diacu ke arah mereka berdua, laju refleksnya berpusing dan menarik Iman ke belakang.

 
BANG!

 
Rudy terhenti.  Nafasnya tersekat. Spontan meleraikan pegangannya pada Iman. Matanya dibawa tunduk ke bawah. Melihat dada sendiri yang berlubang dengan darah. Tidak menjerit mahupun mengerang. Lebih kepada terkejut.

Impak daripada letupan tembakan itu membuatkan tubuh Rudy terdorong ke hadapan sebelum terjatuh. Biji mata Iman terbuntang terkejut. Dapat dia lihat asap halus dari belakang tubuh Rudy.

Dengan bahu yang berdarah, Coda melangkah mendekati mereka. Namun Iman sedikit pun tidak berganjak. Dia melihat Coda mula mengangkat tangan yang dipegang pistol. Lantas mata Iman dipejam. Kepala dibawa tunduk ke bawah.

 
BANG!
 

Iman terjerit kecil. Makin rapat matanya dipejam.

Tiada apa-apa.

Iman teragak-agak hendak membuka mata. Dalam gigil, kepalanya diangkat. Alangkah terkejutnya dia, apabila kedua-dua pancainderanya disajikan dengan tangan Coda yang berlubang. Tembus.

P2000 Coda terlepas dari tangan.

Sangka Iman itulah penamat. Namun tidak, kerana itu hanyalah permulaan. Tubuh Coda ditembak lagi. Bertalu-talu.

Luruh jantung Iman melihat, mendengar, menjadi saksi tubuh Coda diberi lubangan kecil yang menggerunkan. Terus matanya dipejam kembali. Tak mahu melihat. Tangannya sekali lagi menekup telinga sendiri. Tak mahu mendengar.

Ini sungguh mengerikan bagi gadis belasan sepertinya.

Tubuh Coda terlajak dengan kasar akibat letupan tembakan tersebut. Secara tak langsung membuatkan kakinya turut melangkah ke belakang.

Kira-kira 10 yang tembakan bertubi yang dilepaskan, akhirnya ia berhenti.

Coda kini berada di ambang. Mulutnya memuntahkan darah sendiri. Mengotorkan lagi pakaiannya yang sudah bercorakkan cecair merah. Kaki Coda tergelincir di hujung beranda tersebut.

Akibat tiada penghadang, hukum fizik berkuasa ke atas tubuhnya. Graviti Bumi mengambil alih segala kerja. Memberi pengakhiran kekal pada lelaki itu.

Terjerit halus Iman tatkala didengarkan dentuman pada palang besi dan seterusnya objek yang jatuh di atas tanah. Sehingga kini matanya masih tertutup.

Sesaat. Dua saat. Tiga saat.

Sehinggalah hening bertandang. Sepi kedengaran.

Iman melucutkan tangannya perlahan-lahan. Memberanikan dirinya membuka mata dan langsung air matanya tumpah.

"Rudy!" Iman teringatkan lelaki itu.

Seluruh anggota sendi Iman menggeletar bagai nak gila. Nafasnya tak teratur.

ιиgαткαи ∂ια [яυdyмαη] - REWRITE PROCESSWhere stories live. Discover now