Bab 15

156 32 1
                                    

"Nah!"

Jus buah tembikai segar yang baru dikisar Kimi letakkan pada meja sebelum dia menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Penyapu dia sandarkan ke dinding. Duduk menghadapku.

"Apa ni? Untuk aku ke?" Tanyaku.

Pipi montelnya naik ke atas tatkala dia mengukir senyuman.

"Kenapa tiba-tiba belanja orang ni? Nak minta tolong apa?" Sambungku, curiga.

"Tak adalah. Aku tengok kau macam ada masalah je."

"Oh."

Aku tertunduk apabila terkenangkan insiden yang berlaku sepanjang hari di kafe tempat kami bekerja paruh masa. Pelanggan pesan Espresso, aku buatkan coklat panas. Pelanggan bayar, aku lupa nak beri baki duit. Bos suruh bersihkan meja, aku terbuang pinggan porselin sekali. Macam-macamlah.

Aku rasa aku takkan terkejut kalau bos aku pecat aku hari ni juga. Dengan prestasi kerja macam ni, memang layaklah kena pecat.

"Haa, orang baru je cakap! Dah termenung lagi!" Tegur Kimi.

Aku menggaru kepala, tersengih.

"Kau okay ke?"

"Okay jelah." Bohongku.

"Kalau tak okay, apa kata... kita pergi bercuti? Kau, aku, Dita."

"Bercuti?" Alisku ternaik, teruja. "Pergi mana?"

"Hm... kita pergi—"

"Er," Aku melepaskan keluhan.

"Kenapa?"

Seronoknya kalau dapat pergi bercuti. Lagipun sekarang tengah cuti semester. Bolehlah lepaskan tekanan. Tapi tak semudah itu bila aku bukan Meen.

"Aku rasa aku tak dapat nak pergi mana-manalah cuti ni."

"Pulak?"

"Aku... dah janji nak tolong kakak aku."

"Sepanjang cuti semester ni?"

"Hm."

"Iya ke?" Mulut Kimi muncung sedepa. "Tak apalah kalau macam tu."

Kimi bangun dari kerusi dan mencapai semula sebatang penyapu yang digunakan untuk membersihkan kafe setelah waktu beroperasi sampai ke penghujungnya. Aku menghadiahkan senyuman kecil buatnya, rasa bersalah kerana terpaksa mengecewakannnya.

Setelah membersihkan kafe, kami berdua melangkah keluar. Cahaya dalam kafe dimatikan dan pintu dikunci. Dek kerana kafe terletak dalam bangunan utama pusat membeli-belah, kami berdua tergesa-gesa untuk meninggalkan kawasan bangunan sebelum pintu dikunci oleh pengawal keselamatan.

"Kau terus balik ke?" Tanyaku kepada Kimi.

"Ha'ah. Mak aku suruh balik awal sebab esok mak cik aku nak datang. So aku kena bersihkan bilik aku." Dia mengeluh kuat. "Aku gerak dululah. Take care."

"Okay. Hati-hati!"

Kami saling berlambaian sebelum berpisah mengikut haluan masing-masing.

Hari semakin lewat dan bilangan buah kenderaan yang meluncur laju di jalan raya juga semakin berkurang. Sebagai langkah berjaga-jaga, aku memegang erat telefon di tangan. Kalau ada apa-apa, senanglah nak buat panggilan kecemasan.

Y/NTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang