Bab 41

191 35 6
                                    

Peta pada skrin GPS aku renung lama. Lokasi kereta yang dipandu oleh Kak Eefa semakin menghampiri destinasi. 4KM lagi, rumah banglo tempat kami membesar dan bermain akan memperlihatkan dirinya.

Anak mataku naik sedikit ke atas. Buku jari Kak Eefa sedikit pucat tanpa warna. Genggamannya pada stereng kereta lebih kuat berbanding jam 10 pagi tadi ketika kami bertolak dari pangsapurinya untuk pulang ke rumah mama dan papa.

Hujung bibirku ternaik ke atas. Sisi manusia Kak Eefa semakin kelihatan. Dia juga mampu bersedih, gembira dan gugup sama seperti manusia lain. Sama seperti aku.

Tiba-tiba nafas yang dia hembus terketar. Kereta diperlahankan dan membelok ke kiri. Setelah aku mendongak, barulah aku faham mengapa dia bereaksi demikian. Jarak 4KM telah ditutup dan pintu pagar silver dan emas yang berdiri gagah di depan mata terbuka dengan sendirinya.

Kami saling berpandangan dan berkongsi senyuman. Memberi kekuatan untuk satu sama lain. Pedal minyak dipijak dan kereta meluncur perlahan ke dalam perkarangan rumah. Pengawal kediaman mengangkat tangan, menyambut kedatangan kami.

Tali pinggang keledar aku dan pintu aku buka. Melangkah keluar dari dalam perut kereta dan menghirup udara segar yang menyapa. Tak lama kemudian, Kak Eefa berdiri di sampingku. Tanpa berfikir dua kali, dia meraih tanganku. Alisnya ternaik, mungkin kerana tapak tanganku yang dingin.

"Nervous ke?" Soalnya.

Aku mengangguk.

"Samalah." Balasnya, tertawa gugup. "But at least we have each other." Sambungnya, separa berbisik.

Aku membalas genggaman tangannya. Sebenarnya, aku jauh lebih gementar berbanding luaranku tapi macam Eefa cakaplah. Sekurang-kurangnya kami ada satu sama lain.

"Jom?"

Aku mengulum senyum. "Jom."







Cengkerik bersahutan, menceritakan hari mereka kepada satu sama lain. Jarang sekali aku mendengarnya di Kuala Lumpur, kota yang dingin dan sunyi. Kesempatan untuk mendengar melodi mereka di sini, boleh dikatakan menyembuhkan kelelahan.

Kaki aku bawa naik ke atas sofa, merapatkan lutut ke dada seraya mencerap langit. Tanpa jerebu dan pencemaran, bintang bersinar jelas di atas sana. Dengan pokok-pokok yang belum ditebang oleh manusia tamak, suhu juga dingin saja.

Skrin telefon aku nyalakan. Pesanan ringkas terakhir daripada Baari aku tatap. Tiga perkataan itu, tiga perkataan yang dia sering sebut meski aku berdiri di depan mata; aku rindu tiga perkataan itu.

Kalau rindu, kenapa tak pernah lawat dia? Kalau rindu, kenapa tak mesej, tanya khabar dia? Kalau rindu, kenapa tak cuba hubungi dia?

Aku mahu salahkan ego tapi jauh dalam sudut hati, aku tahu ini bukan sekadar ego. Lepas apa yang aku dah buat, tak mungkin Baari nak maafkan aku dan kalau itulah kenyataannya, lebih baik aku berhenti menghubunginya. Sepanjang kami bersama, dia tak habis menderita. Biarlah pengakhiran kami lebih mudah untuk dia.

Aroma coklat panas meragutku dari lamunan sendiri. Kak Eefa muncul dalam baju tidurnya dengan dua cawan putih. Cawan berisi coklat panas untukku dan cawan berisi kopi hitam pekat untuk dia. Setelah coklat panas bertukar tangan, dia duduk di sebelahku dengan kaki disilangkan.

"Mama dengan papa... masih marah lagi ke?" Tanyaku kepadanya.

Setelah insiden aku hampir dikejar mengelilingi rumah dengan penyapu, aku terus mengurung diri dalam bilik. Bukan takut tapi ego. Dah tahu diri sendiri yang buat hal, masih sibuk nak merajuk lepas kena marah. Kak Eefa pula sebaliknya. Menerima omelan mereka dengan matang.

"Hm."

"Marah dengan Meen ke Kak Eefa?"

"Dua-dua." Jawabnya lalu berfikir sejenak sebelum menyambung, "Tapi rasanya lebih marah kat Meen kut sebab Meen mengelak selipar mama."

Oh, ha'ahlah. Terlupa pula nak cerita pasal mama baling selipar Fipper dia tapi tak kena sebab aku tunduk. Sepatutnya aku berdiri macam tunggul kayu je tadi. Biar mendarat terus kat muka. Tapi nak buat macam mana? Dah refleks aku laju.

"Mama dengan papa... cakap apa pasal Kak Eefa?"

"Nothing much. Actually, diorang tak cakap apa-apa pun." Dia tersenyum kelat. "They just hugged me."

"HAH?! Mama dengan papa peluk Kak Eefa?!" Aku meletakkan cawan ke atas meja. "Eh, ini tak aci ni! Kenapa Meen kena baling selipar, kena kejar pakai penyapu tapi Kak Eefa kena peluk? Tak bolehlah macam tu! Kenalah adil!"

"Lain kali, jangan nak menipu pasal bab-bab sambung belajar. Cuba dari dulu lagi Meen duduk, berbincang dengan mama, papa. Mesti benda ni tak jadi." Omelnya.

Eleh, nak berleter padahal dia pun dua kali lima je! Cuba dari dulu lagi dia duduk berbincang dengan mama, papa pasal nak kahwin, mesti benda ni tak jadi.

"So, how's my brother-in-law?"

"Baari?"

"Iyalah. Adik ipar Kak Eefa. How is he? Dengar cerita diorang menang..." Kak Eefa menjeda selepas melihat reaksiku. "Kenapa... muka Meen macam tu? Korang dah putus ke?"

"No—I mean, yes—I mean, I don't know. Maybe?"

Keningnya bercantum. "What do you mean 'maybe'?"

"Hm... hari Kak Eefa balik Malaysia, Baari accident."

Kak Eefa menekup mulutnya. Terkejut mendengar berita itu.

"But he's okay now." Sambungku. "Sehari sebelum tu, Meen beritahu pasal perjanjian kita dan kitorang bergaduh. Dia accident waktu nak balik KL. Sepanjang dia koma, Meen tak pernah datang lawat dia. Meen... tak berani nak tunjukkan muka depan dia lagi."

"Meen..." Dia menarikku ke dalam pelukan hangatnya. "Meen, it's not your fault." Bisiknya di telingaku sambil menepuk perlahan belakangku.

"It is." Aku menolaknya perlahan. "Kalau Meen kejar dia malam tu, mungkin semua ni takkan jadi tapi Meen tengah belajar untuk terima. Like Mateo said, semua ni Qada dan Qadr'. Meen tak boleh buat apa-apa lagi selain terima dan... belajar dari kesilapan, I guess?"

"Mateo cakap macam tu?"

Aku mengangguk. Tertawa kecil teringatkan cara dia menyebut 'Qada' dan Qadr' dengan pelat Cinanya.

"Meen suka Mateo ke?"

"Isy, ke situ pula!"

"Kak Eefa tengok, korang macam makin rapat je."

"Rapat tu memanglah rapat tapi tak lebih dari kawan pun. Lagipun dia dah ada orang lain."

"What if he doesn't? Meen nak kat dia ke?"

Kalau Mateo tak ada Dita?

"Meen..." Perbualan kami tergantung dek panggilan yang masuk. "Mateo?"

Y/NWhere stories live. Discover now