Bab 33

147 33 0
                                    

"Kalau bukan Eefa, Meen?"

Apabila aku diam seribu bahasa, tanpa sedar dia menjauhkan diri. Mahu lari dari realiti ini.

"Kau dah tak kenal aku lagi ke? Kau dah tak kenal kawan baik kau sendiri?"

"Kalau nak bergurau—"

"Bergurau?!" Tawaku bergema. "Aku janji dengan Eefa, sebelum dia balik Malaysia, aku takkan beritahu sesiapa pasal ni termasuklah kau sendiri tapi kau tahu tak setiap kali aku keluar dengan kau, aku rasa—aku rasa bersalah. Rasa bersalah sebab terpaksa tipu kau. Even though aku tahu aku sepatutnya marah sebab kau senang-senang lupakan aku, khianat aku, mungkir janji kau macam aku ni tak ada apa-apa makna kat kau. Aku rasa bersalah sebab aku masih anggap kau kawan aku."

Aku cuba mengatur nafas dalam esakan. Hujung blaus basah dengan air mata yang jatuh tanpa henti. Meski semua sudah terluah, luka di hati tak pernah terubati. Malahan semakin parah.

"Meen?"

"Dah ingat dah? Baguslah." Balasku sinis. "In case kau tak tahu, malam ni pun harijadi aku. Bila kau nak wish? Lepas hantar Eefa? Tengah malam nanti? Esok?"

"Meen, aku—"

"Tipulah kalau aku cakap aku tak sakit hati bila aku tahu kau dengan Eefa. Kau first love aku and you know that. Kalau pun kau suka kakak aku, the least you can do is to tell me first. I deserve at least that, Hailmie! Tapi pernah ke kau terfikir nak beritahu aku? Kalau bukan sebab permintaan Eefa, mungkin sampai bila-bila pun aku takkan tahu kau ada kat Malaysia."

Hailmie tertunduk malu. Perlahan-lahan menerima realiti yang membuatkan lidahnya kelu tak berkata apa.

"Alang-alang minggu depan Eefa balik sini, baik aku stop berlakon sekarangkan?"

Aku meletakkan polaroid Eefa ke atas meja, bersebelahan kek baldu merah yang Hailmie curahkan segala masa dan tenaganya. Hanya untuk memberi kejutan termanis buat gadis yang dia cintai sehingga sanggup dibutakan.

Langkah aku buka. Mahu meninggalkan tempat ini secepat mungkin tetapi terhenti apabila Hailmie meraih tanganku. Memaksaku untuk tinggal.

"Meen..." Panggilnya dan kali ini, menatapku untuk diriku yang sebenar. "Meen, aku—aku tak tahu. Aku betul-betul tak tahu—"

"Well now you know."

Aku merentap tanganku dan terus berlalu pergi. Dia membiarkanku.

Langkahku membawaku ke deretan kedai yang masih beroperasi. Tanpa mempedulikan lirikan mata mereka, esakanku berterusan. Langkah demi langkah. Tiba-tiba, bunyi telefon mematikan langkahku.

Baari sent you a video

Baari: Nah hadiah harijadi awak hehe

Baari: Pandai tak saya menari?

Butang mainkan video aku tekan. Video berdurasi 15 saat itu aku tonton. Baari betul-betul melakukan tarian yang aku suruh setelah menjaringkan gol. Dua minit sebelum wisel ditiup.

Baari: Hello? Ada orang tak?

Papan kekunci aku buka tetapi fikiranku kosong. Jari tak menyentuh mana-mana abjad.

Baari: Seronok sangat sambut birthdaylah tu

Baari: Tak apalah. Enjoy your day, Meen

Baari: Oh and I miss you :(

Skrin terpadam. Mata berkaca aku kesat berkali-kali tetapi pandangan tetap kabur dengan lampu jalan yang samar-samar kelihatan. Meluahkan segalanya kepada Hailmie bagaikan meragut separuh jiwaku dan membiarkan Baari hidup dalam kegelapan sedikit demi sedikit memakan sisa jiwa.

Aku rasa kosong.

"Eefa?"

Aku menoleh. Jejaka berbaju panas hitam putih dengan tangan berbalut kaku di tempatnya. Setelah melihat wajahku, bahunya yang tegang perlahan-lahan turun.

"Meen." Dia mengeluh perlahan.






Pek tisu yang dia beli dari kedai 24 jam berdekatan diletakkan ke atas ribaku. Pembungkus plastik aku koyakkan, menarik beberapa helai tisu untuk mengesat kotoran maskara yang kering di bahagian bawah mata dan pipiku.

Mateo merenyukkan plastik putih di tangannya sebelum diletakkan pada riba. Bunyinya membuatkan aku menoleh. Tertanya-tanya isi dalam plastik yang muncul serentak bersama Mateo.

"Kau buat apa kat sini?" Tanyaku apabila dia diam saja.

"Pergi farmasi kat depan tu."

Aku menatap wajahnya yang masih berbekas luka. Biru ungu bengkak semakin surut. Yang tinggal hanya kesan jahitan dan luka di tepi bibirnya.

"Sakit lagi ke?"

Tanpa teragak, Mateo mengangguk.

"Tapi aku lagi risau tangan aku ni." Dia mengangkat sedikit tangan kanannya yang berbalut. "Nampaknya seminggu ni aku tak dapat nak tolong mama aku berniaga. Harap-harap cepat sikit sembuh." Luahnya.

Tangannya aku renung lama. Teringatkan hari dia membawa perkakas dapur dari restoran keluarganya ke rumah kerana pernah ada kes kecurian. Dengan sebelah tangan terseliuh, macam manalah nasib mama dia?

"Eh, eh!" Mata sepetnya terbeliak. "Kenapa nangis lagi ni?" Dia panik.

"S-Sorry..."

Mateo mengetap bibir. Menoleh ke kiri dan kanan. Sangkaku, dia mahu melarikan diri kerana tak tahu cara menghentikan esakanku. Alih-alih, dia mencapai pek tisu. Menarik helaian terakhir.

"Tengok sini." Pintanya.

Permukaan kasar tisu menyentuh pipiku. Kesan cecair hitam yang jatuh berjuraian dia kesat dengan tenang.

"Tangan kau baru je sembuh tapi sebab aku, t-tangan kau sakit balik."

"Alah, bukan salah kau pun!" Getusnya, meyakinkanku. "Lagipun bagus juga tangan aku sakit. Bolehlah mama aku rehat kat rumah, tiap hari masakkan aku makanan kegemaran aku." Sambungnya, tertawa kecil.

Aku mengunci bibir. Apa-apa yang aku katakan, hanya akan memburukkan lagi keadaan. Baik memilih untuk diam.

"Kenapa kau nangis ni? Gaduh dengan boyfriend kau ke?"

Kepala aku geleng. "Hailmie."

Mateo berhenti mengesat. Tangan dia turunkan. Tak menjangka nama Hailmie untuk muncul dalam perbualan kami.

"Actually, aku kenal Hailmie dah lama. Lebih lama dari Eefa. Sebelum dia sambung belajar kat Peru, kitorang kawan baik." Aku menghela nafas. "He was my first love."

"First love?" Wajahnya berubah serius. "Eefa tak ta—"

"Eefa tahu." Cantasku. "Setiap hari aku cerita pasal Hailmie kat dia. Mustahil dia tak tahu."

Giliran Mateo untuk bungkam. Pasti sukar untuk dia terima kenyataan sebenar tentang gadis yang dia sukai. Jauh sekali dari gadis yang ada dalam fikirannya.

"Aku ingatkan malam ni aku boleh kawal emosi aku tapi aku salah. Setiap kali kitorang keluar, aku nampak macam mana bahagianya dia dengan Eefa. Hati aku sakit sangat. I don't deserve this."

Mateo bangun dan berdiri di hadapanku. Plastik putih berisi ubat-ubatan dari farmasi dia gantung pada jari telunjuk kirinya. Aku baru menyedari sepasang mata sepet jejaka itu bengkak dan bukan kerana dibelasah. Tapi kerana dia juga merasakan Eefa tak layak melayannya sama seperti aku.

"Dah lewat ni. Jom, aku hantar kau balik."

Aku mengangguk dan bangun. Sementara itu, Mateo sudah beberapa langkah di hadapan. Dari postur tubuhnya, ketara yang dia bukan dirinya yang gembira dan ceria. Cuma terpaksa mengukir senyuman untuk menghiburku.

"Minggu depan, Eefa balik Malaysia."

Langkah terhenti seketika. Aku turut menjeda, menanti reaksi daripadanya.

"Hm. Okay." Tuturnya perlahan dan meneruskan langkah seperti tiada apa-apa, tapi aku dapat melihat, bahunya semakin jatuh dan kepalanya semakin tertunduk.

Walaupun malam ini suatu tragedi, sekurang-kurangnya aku ada teman untuk berkongsi sedih.

Y/NTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang