Bab 26

162 32 2
                                    

Sebotol air mineral dengan penutup yang telah dilonggarkan Mateo berikan kepadaku. Menyuruhku untuk minum sementara dia tak putus memerhatikanku. Pada mulanya, aku menyangka perasaan yang dia tunjukkan ialah kerisauan. Namun semakin lama aku memandangnya, semakin aku menyedari perasaan yang sebenarnya dia rasakan; sakit dan rindu.

"Terima kasih." Ucapku, berpura tak melihat kekecewaan di sebalik sepasang mata yang menatapku itu.

Mungkin dia melihat Eefa dalam diriku. Siapalah aku untuk menidakkannya? Eefa dan aku berkongsi wajah yang sama. Kerinduan yang dia pamerkan sudah tentu untuk Eefa. Dengan berat hati, pandangan dia kalih ke arah lain.

"Aku ingatkan kau nak pengsan tadi." Dia memaksa tawa.

"Samalah." Balasku.

Kerana ketakutan yang berlebihan untuk tubuh kecilku, kepala terasa berat dan mata berpinar. Sebelum aku terjatuh ke dalam pancuran air, Mateo menyambutku dan untuk hampir sepuluh minit kemudian, dia membiarkan aku bersandar pada bahunya dan menghabiskan sisa esakanku.

"Sakit ke?"

"Hah?"

Mateo memandang pergelangan tanganku yang merah kerana genggaman kuatnya. Kesakitan yang terasa tidaklah seteruk rupanya. Lantas aku menggeleng.

"Sorry."

"Kenapa?"

"Iyalah sebab—sebab tak minta izin untuk pegang tangan kau." Katanya lalu mengetap bibir. Gementar, mungkin.

"Oh." Aku menarik lengan panjang t-shirt yang aku kenakan agar menutup pergelangan tangan sepenuhnya. "Tak apa. Aku faham." Sambungku.

Perbualan kami sampai di situ sahaja. Dua-dua mengunci mulut. Berbual dengan Mateo terasa lebih mudah bila aku menghadirkan diri sebagai Eefa kerana kepada Mateo, Meen tetap orang tak dikenali kendatipun aku bergelar adik kembar kepada gadis yang dia puja.

"Kau—"

Aku dan Mateo saling berpandangan apabila kami serentak bersuara. Sengihanku terlepas dan Mateo mengemam bibir, menahan senyum. Janggal. Situasi ini sangat janggal.

"Kau apa khabar?" Tanya Mateo.

"Hm... okay. I guess. Kau?"

Mateo sekadar membalas dengan senyuman nipis. Aku tak mahu meneka secara rawak erti di sebalik jawapan tanpa suaranya itu, tetapi kalau aku dalam posisinya, tak mungkin untuk aku merasa baik-baik saja.

"Cantik rambut kau." Aku mendongak lebih tinggi, tertawa melihat rambut biru gelapnya. "Macam artis K-Pop."

Tangannya naik. Meraup rambut ke belakang. Dia turut tertawa.

"Selalunya, perempuan kalau nak move on, kitorang potong atau warnakan rambut. Lelaki pun macam tu ke?"

Mateo berfikir sejenak. "Hm... yang itu aku tak tahu tapi aku warnakan rambut sebab kerja. Tak ada maksud lain pun."

"Kerja?"

"Modeling."

"Oh." Aku terangguk-angguk, hampir terlupa akan pekerjaannya yang satu itu.

"Eefa..." Riak wajahnya berubah. "Eefa belum balik lagi ke?"

Aku menggeleng.

"Eefa pergi mana?"

"Sweden."

"Oh." Mateo tertunduk. "Dia... buat apa kat sana?"

"Dia tak nak beritahu."

"Tak nak beritahu aku atau..."

"Tak nak beritahu semua orang. Termasuk aku."

"Oh."

"Kau tak nak tanya dia ke? Aku boleh bagi nombor telefon—"

"Tak apa." Tolak Mateo. "Aku kenal Eefa. Mesti ada sebab kenapa dia tak boleh beritahu sesiapa."

"Kau nak percayakan dia bulat-bulat?"

Jejaka Cina itu mengangguk.

"Kenapa?"

"Sebab aku suka dia."

Aku kenal alasan itu. Alasan yang sering aku dengar daripada Baari. Bolehlah aku katakan 'lelaki semua sama' tapi kali ini, dengan nada positif.

"Kenapa kau gelak?" Tanya Mateo.

"Tak adalah. You remind me of someone."

"Oh."

Mateo diam lagi. Melayan perasaan sendiri sambil memerhatikan orang yang lalu-lalang di hadapan kami. Anehnya, orang yang lalu-lalang turut mencuri pandang ke arahnya. Lebih-lebih para gadis. Langsung tak terlepas dari mengamati wajahnya walau hanya untuk sesaat. Untunglah jadi kacak. Ramai yang pandang.

"Meen."

"Hah?"

"Apa nama penuh kau?"

"Ameena."

Mateo tertawa. Kedengaran ikhlas. Jawapanku benar-benar menggeletek hatinya.

"Lateefa jadi Eefa. Ameena pula jadi Meen."

"Kenapa? Kau nak panggil aku 'Minah'?"

Tawanya semakin kuat. Aku tak dapat menahan senyum dari melihatnya yang tak lagi berwajah sugul dan murung.

"Nama aku Mateo Tan." Dia tiba-tiba memperkenalkan diri.

"Boleh panggil 'Mat'?" Usikku.

"Mat dan Minah?" Balasnya, lagi-lagi tertawa. "Boleh juga."

Aku mengangguk. Kalau tuan punya badan sudi dipanggil 'Mat', saya okay je.

"Mat."

"Hah?"

"Macam mana kau... jumpa kakak aku? Aku bukanlah apa tapi kau tak nampak macam—lelaki yang dia suka."

Macam yang aku pernah cakap. Kawan-kawan Kak Eefa yang pernah aku jumpa, semuanya memegang jawatan yang tinggi. Jutawan, doktor pakar, hakim dan sebagainya. Mateo pula memanglah ramai peminat tapi... pekerjaannya sangat jauh dari gaulan Kak Eefa.

"Kitorang jumpa kat hospital. Masa tu company dia anjurkan kerja sukarelawan untuk budak-budak yang sakit kanser kat hospital. Eefa ketua dan aku pula salah seorang sukarelawan." Mateo tersenyum kecil mengingati memori manis itu. "Awal-awal, aku pun takut tengok dia. Jarang senyum, garang pula tu. Tapi bila dia dengan budak-budak, personaliti dia berubah. Selalu senyum, suka buat lawak. I guess I fell for that."

"Kak Eefa memang suka budak-budak."

Mateo tersenyum kelat. Rasa bersalah kerana membuka topik sensitif itu menyerangku. Otakku ligat mencari topik lain yang boleh dibicarakan tanpa mengusik lukanya.

"By the way, bukan kau kata kau belajar martial art ke? Kenapa kau tak lawan je lelaki-lelaki tadi tu?"

Mateo menoleh ke arahku. Sebelah keningnya dijongketkan. Menghakimi soalan yang aku ajukan.

"Kau gila ke apa? Diorang bertiga, aku seorang je tau? Sah-sahlah aku kena belasah teruk nanti. Kalau muka handsome aku ni hancur, siapa nak ganti?"

Amboi, angkut bakul sendiri nampak!

Mateo bangun dan menoleh ke belakang, tunduk memandangku. Aku terkebil-kebil. Dia nak pergi mana?

"Jom. Aku hantar kau." Katanya, tersenyum manis seperti kali pertama kami bertemu.

Y/NWhere stories live. Discover now