Bab 39

178 36 4
                                    

Kerusi tinggi aku panjat, menghenyakkan punggung. Kotak bijirin aku capai, menuangnya ke dalam mangkuk. Kak Eefa yang sedang menyapu jem strawberi dan mentega pada roti menyorong karton susu untuk aku tuang ke dalam mangkuk berisi bijirin untuk sarapan pagiku hari ini.

Satu suapan selamat mendarat dalam mulut. Kak Eefa yang memerhatikanku menggelengkan kepalanya, tertawa kecil. Pisau jem diletakkan ke atas pinggan dan roti dia lipat. Mengisi perut sendiri. Giliranku pula untuk memerhatikannya.

Rambut panjangnya diikat ketat menjadi sanggul. Mata berbentuk almondnya berkerdip perlahan saat dia menikmati sarapan paginya. Kolar baju yang luas pula mendedahkan tulang selangkanya yang jelas kelihatan.

Ramai yang tak tahu tapi waktu sekolah dulu, Kak Eefa sebenarnya ratu gimnast sekolah. Walau apa pun yang sedang dia lakukan, sentiasa kelihatan elegan dan feminin dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tengoklah sekarang. Makan roti pun macam tengah rakam iklan Gardenia. Kadang-kadang aku pun tertanya, betulkah kami ni kembar?

Dari dulu lagi, proporsi tubuhnya memang sesuai untuk suka gimnastik. Sesuai dengan badannya yang tinggi, berat badannya juga ideal. Dia juga berbakat tapi kerana kurang suka dengan jadual latihan yang padat, selepas tamat sekolah, dia berhenti begitu saja. Tak pernah menoleh ke belakang dan menyesali keputusannya.

"Kenapa tengok orang macam tu?" Dia mengesat serbuk roti di hujung bibir.

Aku menggeleng laju. Cepat-cepat menyambung makan bijirinku.

"Breakfast sama-sama macam ni, Kak Eefa jadi rindu zaman sekolahlah pula. Tiap hari kita breakfast sama-sama. Mama, papa, Meen dengan Kak Eefa. Rasa rindulah pula." Ujarnya.

Aku mengangguk. Sukar untuk berbicara dengan mulut yang penuh.

"Mama ada call Meen tak?"

Aku menggeleng. Ha'ahlah. Dah lama mama dengan papa tak telefon. Mesej pun jarang-jarang.

"Hari tu, Kak Eefa beritahu mama yang Meen tengah sibuk dengan exam. Mungkin sebab itu kut."

"Oh."

"Speaking of which, sampai bila Meen nak rahsiakan pasal Meen ada kat Malaysia?"

Sampai bila... aku pun tertanya. Bila agaknya waktu yang sesuai untuk memberitahu mereka? Patutkah aku memberitahu melalui panggilan telefon atau patutkah aku pulang ke rumah?

"Kak Eefa ingat hujung minggu ni nak balik. I think I should tell them... about my marriage and—" Dia menjeda dan mengeluh sinis. "—my divorce."

Perlahan-lahan, aku mengangguk faham. Tak membantah, tak juga menyokong.

"Boleh tak kalau Meen ikut sekali?"

Sudu di tangan jatuh ke dalam mangkuk. Susu yang tersisa terpercik ke luar dari dalam mangkuk ke permukaan kaunter bar dapur. Kak Eefa mengoyakkan tisu dan mengelap kesan percikan susu itu.

"Kak Eefa bukan nak paksa Meen beritahu mama dengan papa pasal... rahsia Meen. I just... need you to be there with me tapi kalau—"

"Okay." Cantasku.

Kedua alisnya terangkat dan bibir perlahan-lahan melakar senyuman. Lega mendengar jawapanku. Dia mengambil sekeping lagi roti dan menyapu salutan coklat di atasnya lalu diberikan kepadaku, tanda terima kasih. Aku menerimanya dengan senyuman.

Sebenarnya, aku takut. Aku takut kecewakan lebih ramai orang tetapi berdiam diri tiada bezanya dengan menyuap dusta ke mulut ke mereka. Kalau ada waktu yang sesuai untuk aku berhenti berahsia, inilah waktu yang tepat. Sama seperti Eefa memerlukan aku, aku juga memerlukannya.

Y/NWhere stories live. Discover now