8 - JANJI

17 0 0
                                    

"SIAPA itu?" soal rakan Dani. Gadis yang masih merenung itik-itik di tasik itu dipandang sekilas. Renungannya ditemani sedikit kerutan. Entah apa yang difikirkan gadis itu. Cantik juga dia, tapi tak akan Dani minat budak sekolah pula. Nampak jelas wajah gadis itu seperti masih di sekolah menengah.

"Tiada siapalah. Budak itu tercicir Airpod dia. Aku perasan so aku pun kejar untuk pulangkan." Balas Dani bersahaja.

Jari telunjuk mengetuk dagu beberapa kali. Kerutan terukir di muka Dani buat beberapa ketika, sedang memikirkan sesuatu. Dani merenung langit pula sambil kaki mengorak langkah kembali ke keretanya.

"Kau fikir apa dari tadi?" Rakan di tempat duduk penumpang di sebelah Dani pandang. Dani kembali ke realiti dan mula menghidupkan enjin keretanya.

"Muka budak perempuan tadi, macam biasa nampak. Tapi aku tak ingat siapa. Salah orang mungkin." Dani memakai tali pinggang keledar. Pedal minyak dipijak untuk memulakan pemanduan.

"BERAPA juta kali lagi kau nak faham apa aku pesan, Syah!" Tengkingan Irfan bergema di seluruh pelusuk ruang tamu rumahnya. Datin Afeeya dan Dato Luthfi, umi dan abi Irfan tiada di rumah kerana perlu menguruskan hal perniagaan mereka di luar negara. Syah dipandang bengis. Hatinya remuk dengan sahabat yang seorang ini. Degil!

"Aku sudah kata jangan libatkan diri kau dengan Dani. Jangan berkawan lagi dengan dia. Aku tidak kisah kau mahu berkawan dengan siapa. Tapi tolong bukan Dani. Daniall Qays itu bahaya! Dia bukan Daniall Qays yang kau kenal dulu, Syah." Kedua-dua tangan menggengam erat bahu Syah. Mata merenung tepat ke dalam mata Syah dengan harapan sahabat baik dia yang seorang ini akan mendengar kata-katanya. Boleh naik gila Irfan dibuatnya.

"Tapi manusia mampu berubah kalau kita beri dia peluang. Aku yakin aku boleh tolong dia kembali, Irfan. Dani tak jahat. Aku yakin. Aku kenal Daniall Qays itu siapa."

"Haah, iya! Kau kenal sangat dia sampai lebam satu tubuh. Pada aku, Dani itu belum tentu akan berubah pun kalau satu hari kau mati dalam tangan dia. Banyak sangat kepercayaan kau pada dia. Buat sesuatu itu biar guna akal, Said Yusuf. Sudahlah Syah. Aku malas nak nasihat kau lagi. Kau buatlah apa kau nak. Dah lunyai nanti baru cari aku. Tengok siapa yang betul fasal Dani."

Kit pertolongan cemas dicampak perlahan pada Syah. Muka masih bengis menahan geram. Rambut diselak kebelakang kasar. Tubuh dijatuhkan pada sofa sebelah sofa yang Syah duduki. Telefon diambil dan fokus dialihkan pada telefon ditangan.

"Sorry. Aku banyak menyusahkan kau." Nadanya rendah dan ikhlas, mata memandang Irfan yang sudah tidak mahu memberi perhatian kepadanya. Rasa bersalah menyelubungi diri. Syah ambil kit pertolongan cemas di atas pehanya. Luka-lukanya dirawat sendiri tanpa bantuan Irfan seperti sebelum ini.

Irfan mencuri pandang Syah yang mengerang kesakitan. Terseksa pula aku tengok dia ini. Syah, Syah...

"Sini aku tolong." Senada sahaja Irfan menutur kata. Telefon diletakkan kembali di atas meja. Kapas ditangan Syah dirampas kasar dan mula merawat luka-luka di muka Syah. Tak sanggup tengok kawannya melawat luka sendiri.


SETELAH beberapa minit masing-masing berdiam diri. Irfan mula bersuara memecah gema bisu antara mereka.

"Ini kau nak cakap apa pada bonda kau nanti? Jatuh basikal lagi?" Tangan masih ralit merawat luka sahabatnya. Sudah masak benar dengan Syah. Syah hanya tersengih kecil.

"Kau ingat bonda kau nak percaya ke? Asyik jatuh basikal. Kau itu sudah remaja bukan budak tadika lagi." Mata memandang Syah tajam dan inginkan jawapan.

"Tahulah aku, bonda aku. Dia mesti percaya punya aku jatuh basikal." Syah membalas dan masih tersengih kecil. Memang sudah menjadi tabiat, jika itu jelas memang kesalahannya akan terukir sengihan kecil di wajahnya. Kadang tidak jadi mahu marah lebih-lebih disebabkan sengihan kecil itu. Sengihan itu bagai satu magis untuk melembutkan hati sesiapa yang melihatnya. Manis dan tenang.

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Where stories live. Discover now