14 - JUMPA

14 0 0
                                    

BATU nisan diusap lembut sejurus selepas tiba betul-betul di sebelah kubur. Hati tak berhenti memanjatkan doa kepada si arwah. Nama di batu nisan disebut perlahan.

"Said Yusuf Bin Ahmad Hazim."

"Assalamualaikum Syah, aku datang lagi." Dani berkata sambil mata melihat kubur sahabat baiknya itu. Yasin dibuka dan dibaca merdu, suara sedikit bergetar menahan tangis.

Walaupun sudah empat tahun Syah meninggalkannya dan Irfan, sedih dan derita masih bersisa di jiwa. Selama empat tahun itu jugalah rutinnya menziarahi kubur Syah paling minimum sebulan sekali tercipta. Syah merupakan insan yang banyak mengajarnya erti kehidupan, mengajarnya menjadi hamba yang sentiasa mengejar cinta sang Pencipta. Inilah cara dia membalas jasa seorang insan yang dia gelar sahabat.

Bacaan Dani diikuti perlahan oleh lelaki lingkungan umur bapanya. Lelaki itu mengambil tempat di sebelahnya dan terus mengikuti bacaannya. Dani hanya meneruskan bacaan dan memberi segaris senyuman kepada lelaki itu.

Setelah Yasin selesai dibaca, lelaki tadi menyiram kubur Syah perlahan. Batu nisan diusap dan mata dipejam seolah sedang berdoa kepada Tuhan. Dani hanya memerhati dalam diam.

"Kawan Yusuf, ya?" soal lelaki tadi memulakan bicara setelah habis memanjatkan doa.

Dani angguk perlahan.

"Oh, saya pakcik Yusuf. Panggil sahaja Cik Haziq. Kamu?" soal Haziq mesra. Fikirannya ligat mengingati pemuda di hadapannya. Rasanya anak saudaranya itu pernah menunjukkan gambar pemuda yang sama seperti pemuda di hadapannya ini.

"Saya Dani. Kawan sekolah Syah dulu." Tergamam seketika Haziq dibuatnya. Inilah dia sahabat baik Syah yang dicari selama ini. Tanpa berlengah dia menyoal untuk memastikan.

"Daniall Qays?"

Dani angguk perlahan. Mata terbuka sedikit luas apabila lelaki itu mengetahui nama penuhnya. Seingatnya dia tidak pernah berkenalan mahupun berjumpa dengan pakcik Syah.

"Yusuf banyak cerita fasal kamu. Dia kata kamu kawan baik dia." Gembira sahaja nada Haziq. Mana tidaknya, Tuhan telah memakbulkan doanya untuk bertemu insan yang membawa gembira dalam diri anak saudaranya yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Dani hanya senyum tersipu malu. Kalau Syah yang bercerita maka segala keburukan dirinya akan disorok sebaiknya tetapi kebaikkannya akan digahkan. Jadi dia tidak pelik yang pakcik Syah menegurnya dengan cara yang sangat lembut. Andai sahaja dia tahu apa yang Dani telah lakukan pada Syah pasti dia akan dibenci.

"Dani kenal Irfan jugalah, kan?"

"Kenal tapi saya dah lama tak dengar khabar dia," jelas Dani jujur.

Selepas mengambil keputusan SPM keluarga Irfan berpindah. Tidak lagi tinggal berhadapan dengan rumah datuk Dani. Sejak itu juga dia terputus hubungan dengan Irfan tanpa sebab. Nombor Irfan cuba dihubungi namun tiada jawapannya.

Aneh.

Satu-satunya berita tentang Irfan yang dia tahu ialah Irfan sedang koma. Dia tahu pun kerana pesanan ringkas yang dihantar oleh Zayden kira-kira tiga hingga empat tahun lalu.


HANNAH di sebelah ditepuk-tepuk tetapi menembusi dirinya. Perhatian Hannah beralih dari buku yang dibaca kepada Syah yang masih menepuk-nepuk dirinya. Wajah keliru diberikan, kening sebelah kiri terjongket sedikit.

"Dani. Dani. Dia datang!" ucap Syah teruja. Tangan menunjukkan ke arah Dani yang baru sahaja menjejakkan kaki ke dalam kafe. Syah terbang ke atas dan kebawah seperti sedang melompat-lompat.

Hampir sebulan lebih mereka menantikan kehadiran Dani ke kafe ini semula. Akhirnya penantian mereka bertemu noktah. Mata mengerling ke kaunter mencari kelibat Aidan. Kali ini Aidan perlu turut serta supaya Hannah tidak lupa untuk menanyakan soalan-soalan penting yang bakal membawa mereka ke misteri kewujudan Syah.

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Where stories live. Discover now