25 - MR. BOO

21 0 0
                                    

PINTU bilik Hakeem ditolak dan mata terus melihat ke dalam. Pintu itu diketuk sebelum masuk tapi tiada jawapan. Patutlah, Hakeem masih terbongkang di atas katil. Matahari dah tinggi pun Hakeem masih memproses air liur basi.

Pintu bilik ditutup dan kaki terus menapak ke ruang tamu. Sampai sahaja ke ruang tamu, Inara terus melabuhkan diri di atas sofa empuk menghadap televisyen. Punat alat kawalan jauh ditekan-tekan.

"Tak ada cerita best ke?" Inara menyoal diri sendiri sambil alat kawalan jauh itu diletak ke lantai. Kini dia sudah terbaring di atas sofa. Siling ruang tamu ditenung bagai nak tembus.

Tangan kanan dibawa ke muka manakala tangan kiri pula dibiarkan seakan tergantung di atas sofa. Cuti sekolah sangat membosankan jika tak ke mana-mana. Mak Ila dan ibubapanya tiada di rumah. Hanya Hakeem dan Inara yang mengisi ruang rumah.

"Kalau kau ada mesti best. Tak ada lah aku bosan macam ini," kata Inara seorang diri.

Kata-kata itu ditujukan pada Irfan yang sudah sebulan lebih tidak kembali. Loket yang terletak dileher diambil dan dibelek. Loket itu dibuka untuk melihat gambar di dalamnya. Gambar di sebelah kiri secara spesifiknya.

Telefon bimbitnya dicapai. Nombor Puan Syazwin didail laju. Tak sampai lima belas saat panggilan itu diangkat.

"Assalamualaikum, umi," ucap Inara sambil bermain dengan loketnya.

"Waalaikumsalam. Kenapa Hannah call umi? Ada apa-apa jadi di rumah ke?" soal Puan Syazwin. Cemas nadanya.

Baru dua jam dia meninggalkan rumah tak akan sudah huru-hara keadaannya. Puan Syazwin yakin kalau Hannah dan Hakeem bergaduh sekali pun bukan sekarang waktunya kerana Hakeem mesti belum bangun.

"Tak ada apa jadi. Hannah bosan. Nak pergi hospital boleh? Lawat abang Irfan," jelas Inara. Lagipun sudah dua minggu dia tidak ke hospital, biasanya kalau ke sana dia pergi dengan Dani atau keluarga angkatnya.

Inara masih tidak tinggal dengan Datin Afeeya kerana dia mahu luangkan masa dengan Puan Syazwin. Katanya tak puas lagi. Minggu hadapan baru dia akan tinggal dengan Datin Afeeya, ibu kandungnya.

Segala urusan hak penjagaan dan hal-hal lain semua sudah diselesaikan oleh Datin Afeeya. Ujian DNA juga telah dilakukan untuk memastikan yang Inara betul-betul anak kandungya. Ujian itu mendapat keputusan yang positif, menandakan Inara ialah bayi yang Datin Afeeya tinggalkan di tepi surau rumah lamanya.

"Hannah nak naik apa sayang? Grab? Umi izinkan. Nanti nak gerak inform umi dulu. Life360 jangan off ya. Senang umi cari nanti kalau apa-apa jadi," pesan Puan Syazwin.

"Okay. Hannah nak siap. Nanti apa-apa Hannah call umi balik. Sorry kacau umi dengan abi tengah dating," usik Inara. Puan Syazwin hanya tergelak kecil dengan usikan anak gadisnya itu sebelum talian dimatikan.

Inara terus bangkit dari sofa menuju ke biliknya untuk bersiap. Dalam perjalanan ke bilik, Inara terlihat Hakeem yang baru bangun dan berjalan keluar dari bilik. Hakeem memandang Inara dengan kepala disengetkan ke kanan sambil mengosok mata. Masih mamai.

"Tengah hari baru nak tengok dunia, dik? Akak nak pergi lawat abang Irfan. Hakeem kalau lapar order Grab. Mak Ila tak ada. Demam umi kata. Umi dengan abi pergi dating," jelas Inara. Hakeem hanya mengangguk faham dan menuju ke dapur.


TELEFON dimatikan dan dimasukkan ke dalam beg. Baru selesai menelefon Puan Syazwin untuk memberitahu yang dia sudah sampai di hospital. Mesej Datin Afeeya yang mengatakan dia tak dapat ikut melawat Irfan juga sudah dibaca dan dibalas.

Nampaknya hanya Inara seorang yang melawat Irfan hari ini. Lagi Inara suka. Dia boleh bersembang dengan Irfan lama-lama. Rindu sudah hatinya ini. Laju langkah kaki menuju ke bilik Irfan.

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Where stories live. Discover now