12 - DOSA

13 0 0
                                    

MALAM itu cuaca sedikit dingin cukup untuk menyebabkan bulu romanya tegak berdiri. Wajah Zayden dipandang sekilas kemudian wajah-wajah yang lain ditatap. Ramai juga malam ini, semuanya wajah yang Dani tidak kenali. Mana tidaknya dia memang berkepit dengan Zayden sahaja apabila melakukan kerja-kerja begini.

Ada yang memegang kayu besbol, pisau lipat dan beberapa lagi peralatan lain. Sangat lengkap untuk 'melunyaikan' sasaran mereka malam ini. Lumrah kebiasaan seorang Dani, dia memang tidak ambil tahu siapa sasarannya yang penting dia dapat turut serta. Dia mahukan rasa puas melihat darah yang mengalir keluar dari tubuh mangsa, mendengar esakan tangisan dan rayuan mangsa apabila dibelasah teruk oleh dirinya.

Kepuasan itu sahaja yang dia mahukan malam ini. Kebetulan pula ayahnya tiada dirumah sejak hari pertama SPM berlangsung. Makin bebas Dani mahu lakukan apa sahaja tanpa pantauan sesiapa. Abang Asyraff memang akan berdiam diri sahaja dan tidak akan memecah lubang kepada bapanya.

"Target on the way sini," jelas seorang lelaki bertubuh sasa, tinggi dan botak. Dani dapat rasakan lelaki itu ketua untuk malam ini. Memang kebiasaannya satu ketua akan dilantik untuk meneruskan misi mereka dan memastikan misi berjalan dengan sempurna. Ketua-ketua ini dilantik oleh pembantu bos. Itu apa yang diberitahu oleh Zayden kepadanya, dia hanya percaya dan turutkan sahaja.

"Zayden, kau dengan budak itu sergah dulu," arah si ketua tadi. Zayden mengangguk teruja. Ahh tak sabarnya nak pukul orang. Girang sungguh.

Dani hanya mengekori langkah Zayden yang makin menghampiri sasaran. Pelitup muka yang dipakai dibetulkan betul-betul menutup wajahnya daripada dilihat oleh sesiapa.

Lorong yang mereka lalui itu gelap-gelita, betul-betul memudahkan mereka untuk merahsiakan identiti masing-masing. Lorong itu bergantung cahaya sepenuhnya daripada lampu jalan yang terlelak agak jauh dari kedudukan mereka sekarang ini. Kira-kira 200 meter, Dani menganggar.

"Berani betul target itu guna jalan macam ini, Zayden. Gila betul," bisik Dani perlahan takut sasaran menyedari kehadiran mereka.

"Botak kata ini jalan dia selalu guna. Kira shortcut dia nak balik rumah. Katanya lah. Aku tak tahu," balas Zayden berbisik juga. Mata Zayden tidak lari daripada memerhati setiap langkah sasaran mereka.

Kotak kayu yang dicari Zayden sejak tadi dijumpai. Itu merupakan tanda yang mereka boleh memulakan misi.

"Gerak."

Zayden berlari ke arah hadapan sasaran manakala Dani pula menghalang belakang sasaran. Senyuman halus terukir di sebalik pelitup muka. Kepuasan akan dirasai sekejap sahaja lagi.

Sasaran itu sedar yang dia dalam ancaman. Buku-buku yang dipeluk tadi jatuh ke jalan. Mata memandang lelaki dihapadannya. Tubuh memusing ke belakang cuba melepas diri. Malang, belakangnya juga sudah dikepong. Jalan mati!

Mata bertemu dengan sasaran yang sudah dalam ketakutan. Jelas kelihatan matanya yang bergetar seperti sedang merayu untuk dilepaskan. Lama Dani merenung wajah itu kerana itu wajah yang sangat dia kenali.

Syah.


WAJAH hari ini tidak banyak kesan lebam seperti selalu. Sakit yang masih berbisa diabaikan. Dani yang mencangkung menghadap padang sekolah didekati. Syah juga turut mencangkung di sebelahnya.

"Dani, aku nak kau tahu. Apapun yang kau buat pada aku semua aku dah maafkan." Senyuman ikhlas diberikan pada Dani sebelum mata terarah pada langit.

"Aku tak mahu kalau aku tak maafkan kau nanti kau terpaksa mungkir janji kita bertiga. Kawan sampai syurga. Kau ingat?" Lembut sahaja tutur katanya. Mata masih lihat awan putih tebal yang berarak di bentangan biru.

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Where stories live. Discover now