EPILOG

24 0 0
                                    

TINGKAP bilik dibuka luas membenarkan bayu pagi menyinggah biliknya. Inara masih terpegun dengan keluasan bilik ini. Sangat besar!

Rasa membazir pula ruang-ruang kosong di dalam bilik ini. Dia sudah meminta izin Datin Afeeya menambah rak buku di ruang-ruang kosong itu. Datin Afeeya membenarkan, suka dengan minat Inara yang cinta akan membaca itu.

Sudah dua minggu Irfan meninggalkan mereka. Sedih masih bersisa malah tak akan hilang rasanya. Insan yang tidak pernah dia luangkan masa bersama secara realitinya pergi buat selamanya.

Dato' Lutfhi dan Datin Afeeya tidak ada di rumah. Pagi-pagi lagi sudah keluar bersama. Ada hal kerja yang tak dapat dielakkan. Pembantu rumah di rumah ini biasanya datang dalam pukul sepuluh pagi. Ada berbaki tiga jam lagi.

Inara membuat keputusan untuk berpindah masuk dan tinggal bersama ibu kandungnya sejurus selepas Irfan meninggalkan mereka. Dia tak mahu uminya terus bersedih. Jadi dia ambil keputusan untuk menggantikan kesunyian baru itu.

Sekolah masih di sekolah yang sama. Inara tak sanggup meninggalkan rakan-rakannya. Mahu bertarung dengan SPM sebaris dengan mereka. Lagipun setahun sahaja lagi dia perlu ke sekolah sebelum menyambung pelajaran di menara gading.

Walaupun sudah dua minggu dia di situ dia masih belum jejak ke seluruh pelusuk rumah. Umi kata masuk aje semua bilik yang ada janji tak buat sepah sahaja.

Kini Inara berdiri di hadapan pintu sebuah bilik. Nama yang terukir di papan kayu tergantung di pintu itu dibaca.

Irfan Faleeq.

"Bilik abang," kata Inara seorang diri.

Bilik ini satu-satunya bilik yang umi tunjuk kepadanya tetapi sehingga hari ini dia tak sanggup masuk ke dalam bilik itu. Hatinya masih berat menerima kenyataan yang Irfan sudah tiada.

Nafas ditarik panjang sebelum dilepas kasar. Mencari kekuatan.

Tombol pintu dipegang buat beberapa saat sebelum menolaknya ke bawah.

"Kuatkan hati kau Inara," kata Inara kepada diri sendiri. Pintu ditolak perlahan.

Bilik itu agak gelap kerana lampu dan langsir tidak dibuka. Tema bilik itu pula hitam semuanya. Memang gelap habis dibuatnya.

Inara mendekati langsir dan menyelak langsir membenarkan cahaya masuk. Bilik ini sudah lama tak berpenghuni. Kadang-kadang sahaja akan didatangi tetamu jika saudara mereka datang melawat.

Setiap inci bilik dipandang. Di siling bilik terdapat lukisan bintang-bintang. Bagaikan bintang yang sentiasa menghias angkasa. Sebab itulah Irfan selalu melihat bintang, dia memang cintakan bintang.

Terdapat satu lukisan bewarna hitam putih menghias bilik. Inara mendekati lukisan itu. Lukisan langit yang dipenuhi burung dan awan di langit siang. Terdapat huruf I dan F di bucu kiri lukisan itu. Inara meneka yang itu hasil lukisan Irfan sendiri.

Kini rak buku yang dipenuhi pelbagai jenis buku didekati. Kebanyakkan buku yang Irfan ada Inara tiada. Minat mereka terhadap buku sangat berbeza, itulah sebabnya.

Inara kini tertarik dengan satu bahagian rak kecil yang dipenuhi buku nota dan buku lukisan. Di setiap satu dan diselak setiap muka suratnya. Kebanyakkan nota itu hanya nota sewaktu zaman sekolahnya.

Buku lukisannya pula banyak lukisan langit, burung dan dua orang lelaki. Satu Syah dan satu Dani. Ada juga beberapa lukisan Datin Afeeya dan Dato' Luthfi. Cantik. Andai Irfan masih hidup pasti wajahnya juga akan memenuhi ruang buku lukisan Irfan.

Tangan mencapai satu buku lain. Ada tajuk ditampal di atas kulit buku yang kosong bewarna hitam itu.

"Three idiots? Pelik-pelik aje abang ini," kata Inara sendirian. Buku itu diselak laju. Penuh setiap muka suratnya.

Thanks, Mr. Boo [COMPLETED]Where stories live. Discover now