Bab 8

61 6 0
                                    


"Lain kali nak kerja tu buat cara nak kerja! Layan pelanggan elok-elok! Pelanggan ni lah yang bayar gaji kau tahu!" jerit satu suara nyaring.

Embun diam. Dimalukan begitu sudah terbiasa bila kakinya mula melangkah masuk kerja di sini. Beku saja riak wajahnya seakan tidak terkesan.

"Saya minta maaf," ucapnya senada.

"Maaf! Maaf! Dah jatuhkan makanan aku lepastu senang-senang aje kau nak minta maaf. Dengan muka tak bersalah kau lagi buat aku tahu kau tak ikhlas nak minta maaf!"

"Saya boleh ganti balik makanan puan."

"Tak payahlah! Menyampah aku tengok muka kau! Tak hormat langsung dengan orang tua. Ni ambil duit ni, aku bayar semua makanan aku." Satu not wang dua puluh ringgit dilemparkan ke wajah Embun.

"Siapa mak ayah kau? Kenapa tak ajar cara beradab dengan orang. Kalau aku jumpa mereka memang aku bagi nasihat percuma tentang cara penjagaan anak. Huh!" bentaknya geram lalu melangkah keluar.

Hati masih mendidih panas. Memang akan diberi bintang satu kedai makanan ini.

Embun kutip duit itu dengan wajah kosong. Lalu dia berjalan ke arah kaunter. Duit itu dihulurkan kepada pekerja yang bertugas dengannya. Tanpa sepatah kata, kakinya menapak ke tandas.

Pintu tandas dikunci rapat, Embun pulas air kuat-kuat. Dia renung air yang mengalir itu bersamaan dengan air mata yang mula mengalir. Bibir digigit kuat menahan esakan yang keluar. Lantas tanpa dapat ditahan, akhirnya esakan sayu keluar juga.

Sakit...

Berapa lama lagi dia perlu kuat menahan cemuhan orang sekeliling? Jijik sangatkah kelahiran dia sehingga Tuhan juga seolah-olah mengujinya dengan sesuatu yang makin dia tidak mampu untuk tanggung.

"Kenapa buang Embun..."

Kejadian petang tadi seringkali diingati. Meskipun dia ingin melupuskan ingatan itu. Namun siapalah dia ingin berbuat begitu.

Nafasnya dihela perlahan.

Stok maggi yang berada di dalam kotak dilihat. Terbit keluhan halus tatkala matanya dapat menangkap cuma ada tiga bungkus sahaja maggi yang tinggal. Tangannya mencapai juga satu maggi untuk mengisi perut yang seharian cuma menerima beberapa teguk air.

Plastik dibuka. Dia melihat maggi itu beberapa saat sebelum maggi itu dipatahkan dua. Selebihnya, dia simpan kembali untuk menjamahnya pada keesokan hari. Perencah juga digunakan sedikit. Setelah itu, dia tuang air panas yang diambil dari dapur. Selesai, Embun tutup mangkuk dengan pinggan.

Badannya mengesot untuk menyandar ke kaki katil. Kedua lututnya dipeluk erat ke dada.

Sepi. Kesunyian yang berterusan menghimpit jiwanya. Embun terkapai-kapai sendiri untuk berjuang di dunia ini bersendirian. Puas memberontak dengan takdir hidupnya tetapi tiada apa yang berubah.

Bodohkah Embun jika dia pernah bermimpi semoga, apabila dia bangun dari tidur, ibu bapanya datang ingin mengambilnya. Membawanya tinggal
bersama mereka.

Mangkuk berisi maggi dicapai setelah beberapa minit berlalu, pinggan diletakkan atas lantai. Maggi di suap ke mulut tanpa ditiup dahulu. Tatkala lidahnya terasa melecur, laju dia memuntahkan kembali.

Bibir terketap dengan birai mata yang sudah bergenang.

"Mak cik tak pernah cakap dengan Embun, pahitnya hidup sendiri dalam dunia ni." Bawah bibir bergetar mengungkapkan ayat itu.

Perlahan air mata mengalir di pipi.

Biarlah kali ini, Embun tidak mahu menyeka air mata ini. "Dunia ni kejam untuk Embun..."

Penawar Untuk EmbunWhere stories live. Discover now