Bab 10

62 4 0
                                    


Suasana bising dari pengunjung- pengunjung lain di taman funfair ini menjengah deria telinganya. Embun lihat sahaja Faid sedang membeli tiket untuk masuk. Kemudian matanya beralih memandang Euro Wheel yang gah berputar.

"Jom masuk." Ajak Faid dengan semangat. Dia berjalan dulu ke depan.

Langkah lelaki itu dilihat. Nafas ditarik dalam sebelum mengekori Faid. Melihat ramai orang membuatkan dirinya diterpa rasa takut. Pandangan-pandangan yang ditala ke arahnya seakan itu adalah pandangan sinis. Tangannya mula menggeletar.

Kaki mendadak berhenti. Mulutnya seakan payah ingin memanggil Faid. Akhirnya, dia berdiri bagai patung cendana dengan nafas yang mula sesak.

Pada mula, Faid langsung tidak sedar dengan situasi yang dihadapi gadis itu. Dia berjalan laju ke depan dengan melihat permainan-permainan yang tersedia. Tidak sabar rasanya ingin mencuba.

"Embun, kita main kuda pusing ni dulu nak lepas tu kita cuba main euro wheel ni..."

"Kau nak main yang mana satu?" soalnya tanpa berpaling ke belakang.

Tiada balasan.

Dahinya berkerut. Lantas kepala menoleh ke belakang. Kosong. Bagai nak luruh jatung apabila tiada kelibat Embun padahal sebentar tadi gadis itu ada dibelakangnya. Laju saja kaki berpatah balik. Suasana sesak sedikit payah untuknya mencari.

Sudahlah Embun berbadan kecil.

"Tolong beri saya laluan," ucapnya dengan menolak selamba orang di depan yang menghalang laluan.

Mata mula menangkap sekujur tubuh Embun. Terlepas nafas kelegaan, namun pelik pula melihat tubuh itu hanya berdiri kaku. Kepala pula menunduk ke bawah. Langkahnya makin dilajukan untuk mendapatkan gadis itu.

"Embun..."

Faid selar lengan berlapik gadis itu. Kebiasaan memang selalu Embun memakai baju berlengan panjang.

Kepala Embun mendongak. Dada yang sempit sebentar tadi hilang begitu sahaja selepas melihat Faid. Spontan kedua tangannya memegang erat hujung fabrik baju t-shirt lelaki itu.

"Kenapa jalan laju sangat? Kenapa tinggalkan aku," tuturnya lemah.

"Aku tak biasa berjalan dekat tempat ramai orang..." sambungnya lagi. Pegangan ke baju Faid makin dieratkan seakan tidak mahu lepas.

Jeda. Matanya merenung wajah bersih Embun. Bibirnya menarik senyuman manis. Di dalam hati, sudah memuji -muji kecomelan Embun. Tidak tahu kenapa tapi pada pandangannya, gadis ini terlihat seperti anak kecil kehilangan mak ayah.

"Sorry, aku lupa kaki kau pendek. Jom pegang tangan—''

Aduh. Kata-katanya terus terhenti.

Dia seakan teragak-agak. Sedar diri dosa bersentuhan dengan Embun tapi kadangkala tangannya seolah-olah bergerak sendiri apabila berada berdekatan dengan gadis ini. Dia tidaklah baik mana tetapi jika boleh elak, sebaik mungkin dia mahu elak.

"Takpe pegang aje baju aku macam ni dari belakang. Ingat jangan terlepas sikit pun," arah Faid serius. Tubuhnya dipaling semula ke depan.

"Pegang cepat."

Laju tangan memegang hujung baju Faid. Jika lelaki itu tidak mengarah sekali pun, memang dia akan tetap juga pegang. Kakinya melangkah apabila lelaki itu mula bergerak.

Belakang Faid ditenung. Sedetik rasa selamat menyinggah ke hati. Lelaki ini mempunyai pelbagai cara untuk membuatkan dia merasa selasa.

"Aku nak main kuda pusing dulu. Atau kau nak main permainan lain?" tanya Faid sesekali menoleh ke belakang memastikan Embun tidak ketinggalan.
Langkahnya berhenti di depan permainan kuda pusing.

Penawar Untuk EmbunOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz