Bab 29

66 5 0
                                    

Kelopak matanya terbuka perlahan-lahan. Lantas tubuhnya yang mengiring diubah menelentang. Sekitar bilik yang gelap dipandang kosong. Kepala yang sedikit pening diabaikan. Embun merenung syiling lama. Kosong. Tiada perasaan. Matanya kepala dipejam.

Tok! Tok! Tok!

"Embun... Embun tidur lagi ke tu?"

"Umi ada tinggalkan sarapan untuk kamu, jangan lupa makan."

Tiada jawapan dari dalam bilik. Hajah Yasmin terus menjatuhkan tangannya yang ingin mengetuk pintu sekali lagi.

"Tak bangun lagi?"

Lekas-lekas kepalanya menoleh ke tepi memandang suaminya yang berada di tangga. Lantas dia menggeleng bersama keluhan.

"Tak apalah biarkan dia berehat dulu. Bagi dia tenang dulu..." ucap Bayu Haidi setelah mengetahui keseluruhan cerita dari isterinya.

"Meen cuma risau aje."

Sayup-sayup kedengaran perbualan mereka dari luar. Namun, tubuh badannya tiada daya untuk bangun. Seperti ada sesuatu yang memaksanya untuk terus lena.

BUNYI orang lalu lalang tidak diendahkannya. Fikiran Faid buntu lantas sudu yang berada dalam air dikacau.

"Aku pun tak sangka Kayla macam tu. Muka nampak baik. So sekarang dia dekat mana?"

Kedua bahu diangkat tinggi lalu Faid menghirup air perlahan.

"Kau dah cuba call dia?" soal Izz. Dia menatap dalam wajah bersahaja rakannya. Seperti tiada masalah padahal saat ini dia yakin, Faid tertekan.

"Dah. Bukan setakat telefon, aku dah e-mail manager dia sekali. Satu pun tak ada petunjuk dekat mana dia sekarang ni," ujar Faid datar. Rahang bergerak -gerak.

"Kau nak aku cari dia tak? Aku boleh tolong track telefon dia." Izz menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Mata-mata kaum wanita yang memerhati mereka dihiraukan. Lebih tepat mata itu melihat Faid.

Tidak dapat disangkal, lelaki itu mempunyai wajah yang tampan.

"Tak payahlah. Tak ke mana pun Kayla lari. Sini kan tempat dia bekerja. Lambat laun jumpa juga dengan dia," kata Faid bersahaja.

Izz mengangguk faham. "Kalau kau dah jumpa Kayla, kau nak buat apa dengan dia?" soalnya berbasa-basi.

"Nak buat apa? Aku cuma nak tanya aje kenapa dia sanggup bocorkan rahsia ni. Tu aje." Telefon di atas meja, diambil.

Faid melihat ruangan mesej jika ada uminya menghantar mesej berkenaan Embun. Namun hampa, tiada langsung. Mesej-mesej dari nombor tidak dikenali hanya dilihat kosong. Tidak berminat ingin membalas.

Entah macam mana mereka boleh mendapat nombor peribadinya. Jika soal kerja, dia memang ada nombor bisnes khas kalau mereka bertanyakan tentang tempahan.

Izz mengeluarkan keluhan. "Embun macam mana? Dia okey tak? Dia dah jumpa aunty Melly kan. Apa jadi?"

Faid meletakkan kembali telefon ke tepi. Tumpuannya difokuskan semula ke arah Izz. "Dia tak okey. Ni silap aku. Mungkin aku terlalu terburu-buru nak jumpa ibu bapa kandung dia sampai tak cari lebih dalam lagi kenapa mereka sanggup buang Embun."

"Kenapa pula?" berkerut dahi Izz. Tidak faham.

"Aunty Melly tak nak terima Embun. Aku tak boleh cerita lebih. Nanti kalau dah selesai semua hal ni, aku cerita dekat kau."

Izz meraup mukanya. Bibirnya tersengih.

"Fuh. Dengan aku sekali stres," ujarnya sekadar menceriakan suasana.

Faid menjeling tajam. "Air ni siapa nak bayar?"

"Kau lah. Aku tahu tempahan kau banyak masuk sekarang ni. Mesti duit dalam bank kau pun makin banyak. Apa salahnya belanja air aku setakat dua tiga ringgit," balas Izz selamba sebelum badannya bingkas bangun.

Faid menahan diri dari mencarut. Kecil besar dia melihat belakang tubuh lelaki itu.








DUA HARI BERLALU...

Dua hari yang cukup sibuk untuknya menyiapkan kerja. Banyak benda yang terjadi dalam bulan ni menyebabkan dia acap kali menangguhkan kerja. Dalam dua hari ni juga Faid tiada kesempatan ingin menjenguk Embun. Hanya sekadar bertanya keadaan gadis itu dengan uminya di telefon pintar.

"Umi, Embun masih tidur ke?" soal Faid. Hari ini dapat juga dia ke sini. Ini pun kerana ada klien yang membatalkan perjumpaan mereka. Katanya ada masalah sikit jadi bolehlah dia melencong ke rumah ini.

Hajah Yasmin yang sedang ralit menyiram pokok bunganya hanya mengangguk sekilas.

"Sejak dua menjak ni Embun banyak tidur. Penat kut," ujarnya tanpa mengalihkan pandangan. Dia hanya melihat bunganya sahaja.

Faid sedang meneleku di gazebo memandang batang tubuh wanita itu. Dahinya berkerut . "Umi tak bagitahu pun dekat Juna pasal hal ni."

"Bukan ada benda buruk pun yang berlaku. Embun cuma tidur aje takkan tu pun nak bagitahu Juna," ucap Hajah Yasmin bersahaja.

"Umi ada borak dengan dia ke? Keadaan dia makin okey atau sama saja?

Hajah Yasmin mematikan paip air lantas dia menghampiri anaknya.

"Tak ada. Embun tak banyak cakap pun. Cuma umi perasan, dia macam tak tenaga nak buat apa-apa. Makan pun sikit. Kadang tu cuma tenung aje nasi dekat depan. Nak pegang sudu masa ambil lauk pun macam tak larat. Kalau umi yang tak tolong letakkan lauk dalam pinggan memang umi rasa dia takkan makan."

Faid tekun sahaja mendengar. Hatinya dilanda risau dengan keadaan gadis itu. Ingin melihat, namun empunya badan tidak keluar bilik. Takkan mahu terjah masuk? Naya kena pelangkung dengan umi.

"Risau pula Juna dengar. Juna nak pergi tengok dia sekejap." Pintanya sopan. Bibirnya tersengih merenung wanita di sebelahnya.

"Tak payah! Embun baru aje tidur. Jangan kacau dia." Hajah Yasmin pantas menegah. Matanya dijengilkan.

Faid terpaksa mematikan niatnya. Dia hanya patuh mendengar bercakap walhal dalam hati berkobar-kobar ingin melihat keadaan Embun.

"Cuba Juna cakap dekat umi, Juna ada hati ke dengan Embun?"

Terbatuk kuat Faid mendengar soalan cepumas itu. Berterus terang sangat uminya ini. Tengkuk diusap kekok. Matanya dilarikan.

"Nak kata ada tu, memang ada. Nak kata tak ada tu sebenarnya memang ada pun." Faid tersenyum simpul.

Hajah Yasmin berkerut. Lalu bahu anaknya ditepuk kuat. "Jangan nak main-main ya. Jawab betul-betul!"

Faid mengadu sakit. Bahu yang terasa kebas digosok-gosok. "Ya syurga Juna, Juna memang ada hati dengan Embun. Dah lama sebenarnya Juna terjatuh suka dengan dia. So umi restu ke tak?" soal Faid dengan nada meleret.

"Juna tahukan kahwin bukan perkara yang main-main?" tunak mata menatap mata Faid.

"Tahu umi..."

"Untuk menjadi seorang suami yang baik, Juna perlu bersedia dengan lebih awal kerana tanggungjawab lelaki akan lebih besar sesudah berkahwin." Nasihat Hajah Yasmin lembut.

Faid terpegun. Telinganya ditadahkan untuk mendengar. Dia tidak berniat ingin menyampuk.

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan

pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka." (Surah an-Nisa', ayat 34)

"Belajar lagi dengan abah fasal hal

perkahwinan sebelum Juna halalkan Embun."

Sejurus itu, wanita itu bangun.

"Hah? So kira restu lah ni?!"

Girang hatinya. Terasa ingin melompat bintang sahaja. Namun ditahan. Dalam fikirannya sudah terbayang ingin membeli sebuah cincin.

Bila agaknya dia dapat melamar Embun?

Penawar Untuk EmbunWhere stories live. Discover now