2 0 1 3 | satu

16.4K 381 63
                                    

Tettt!

Kad EZLink bertemakan Harry Potter Dana Dian tekapkan di mesin pengimbas sebelum menyelitkan diri dalam lautan manusia. Dia kira, jika diterima bekerja di sini, beginilah rutin paginya sehari-harian di dalam bas.

Tak mengapa. Demi adik dan ibu.

Tak lama, bas kelabu itu berhenti di pondok bas berdepan dengan sebuah kilang. Dia perasan sekumpulan warga asing masuk dan bersesak-sesak, lalu dia terasak hingga ke satu penjuru di tengah bas; fail berisi resume dan sijil terperonyok ke tepi. Dana Dian tak mampu berganjak. Lautan manusia ini melemaskan.

Tiba-tiba, lelaki pendek di hadapannya berpaling. Ralit bermain telefon, langsung tidak dia hiraukan Dana Dian yang mula gelisah tak selesa dengan jarak dekatnya. Telefon bimbitnya betul-betul dimain di paras dada Dana Dian.

Jika dia bersuara, pasti orang sekeliling akan terdengar dan memandang. Fobia sosialnya tak sukakan perhatian sebegitu. Tapi dia juga tiada ruang untuk menjauh.

Bas tak lama kemudian berhenti lagi dan beberapa orang penumpang turun. Ruang di belakang lelaki pendek itu sedikit lengang; dia kira ini kesempatan terbaik untuk meminta lelaki pendek itu ke belakang sedikit?

"Move back." Satu suara lain – perlahan tapi tegas – memintas niat Dana Dian sebelum anak tekaknya sempat memilih sama ada patut diucap 'excuse me' atau 'sorry' kepada lelaki pendek itu.

Ada seorang lelaki tinggi yang entah bila muncul di tepi mereka. Dana Dian mahu mendongak melihat wajahnya tapi segan.

"Hello?" ujarnya lagi apabila lelaki pendek membuat tak endah, malah semakin cuba ke depan pula merapat, walaupun tiada siapa menghimpitnya dari belakang. Apa dia fikir ada orang mahu lalu di belakang dia ke?

Dana Dian dengar jelas lelaki tinggi itu mendengus sebelum melakukan perkara yang tak terjangka; dia menolak bahu lelaki pendek itu agar ke belakang sedikit lalu berdiri menyelit antara mereka, membelakangkan Dana Dian.

Dia terdiam di sudut bas, menjeling beberapa saat susuk bidang belakang lelaki itu. Rambutnya hitam dan sedikit berombak. Belakang lehernya kuning langsat, ada sebentuk tahi lalat unik di tengah-tengahnya, seakan-akan berbentuk hati. Tak pasti dia orang apa, kerana di Singapura ini, orang Melayu pun boleh nampak macam Cina.

Sedar perlakuannya sumbang, terus Dana Dian buang pandang ke luar tingkap bas dan berjanji takkan mencuri pandang lagi.

Dan terlihatlah satu bangunan kelabu; pejabat untuk temuduga kerjanya pada hari ini.

Bas perlahan-lahan berhenti. Dana Dian bisikkan 'sorry, excuse me' lalu lelaki tinggi itu berganjak sedikit ke tepi untuk memberikan laluan. Dia mahu mendongak, melihat wajah lelaki itu tapi segan. Dia tekapkan kad di mesin pengimbas lalu turun dari pintu tengah bas. Ini peluang terakhir untuk menoleh ke belakang.

Tapi dia lepaskan peluang itu.

Mungkin lebih baik begini, supaya dia fokus dengan matlamatnya di kota Singa; membiayai belanja perubatan ibu dan pendidikan adik.

Dana Dian tak perlukan lelaki. Selama 23 tahun dia hidup, cinta tak pernah singgah di hati. Tumpuannya hanya pada adik, ibu dan kehidupan mereka setelah ayah menghilangkan diri.

Dalam pada dia termenung memandang nasi campur yang dibungkus di mamak sejurus pulang petang tadi, satu emel diterima. Senyuman lebar terus terukir dan memori lelaki tinggi tidak signifikan lagi. Cepat-cepat Dana Dian mendail nombor telefon adik.

"Rania! Kakak dapat kerja! Rania sambung belajar ya?"

Suara tangisan kegembiraan adik di hujung telefon menggenangkan air matanya. Kemudian, suara ibu kesyukuran pula sayup-sayup kedengaran di corong telefon. Senyuman Dana Dian semakin lebar terukir sebelum ibu mengambil telefon Rania.

PREVIU || Pemuja HerogaWhere stories live. Discover now