BABAD 34

66 14 9
                                    

Matahari belum terbit ketika seorang tentera memacu kuda tungganggannya laju menyusuri jalan setapak menuju ke ibu kota.Para pedagang yang bangun lebih awal untuk membersihkan halaman kedai masing-masing sebelum memulakan perniagaan mereka segera menepi lalu tercangak-cangak hairan.

Tidak biasa bagi mereka untuk melihat tentera berkuda melintasi pekan dalam keadaan tergesa-gesa begitu melainkan telah berlaku sesuatu.

Pengawal yang bersiaga tegak mengapit pintu utama membuka pintu dengan pantas kerana mengenali panji kecil hitam-kuning yang diselitkan di belakangnya itu.Utusan kecemasan dari sempadan ! Berkibar ketika kuda dipacu pantas. Balai Temenggung menjadi tujuan utama.

Tidak sampai beberapa minit,kelihatan Panglima Madeia separuh berlari anak menuju ke arah kamar peraduan diraja untuk menyembahkan perkhabaran yang baru dibawa oleh utusan dari sempadan tersebut.

Batalion pertama yang mengawal sempadan utara lumpuh mendadak dengan serangan tiba-tiba daripada orang-orang Gasar ketika tentera yang berada disitu masih tidur nyenyak.

Nampaknya apa yang ditakuti oleh Panglima Madeia telah pun menjadi kenyataan.Ketiadaan Raja Metheus dan suasana pergolakan politik istana yang kelam-kabut dengan pengumuman Putera Amadeus untuk melantik seorang pemangku raja yang menyandang gelaran Bapa Negara dianggap oleh kaum Gasar sebagai peluang terbaik untuk mereka menyerang ibu kota.Tempoh peralihan kuasa yang sangat rentan dan kritikal.

Kaum Gasar dari padang rumput di sebelah utara itu telah lama menjadi duri dalam daging kepada pemerintahan Kerajaan Darmenta.Mereka merupakan saki-baki keluarga Tsur yang pernah ditewaskan oleh tentera kerajaan kerana cuba melakukan pemberontakan belasan tahun yang silam.

Raja Metheus yang ketika itu baru dilantik sebagai pemerintah Darmenta menjatuhkan hukuman buang negeri kepada kumpulan pemberontak tersebut lalu hiduplah mereka sebagai orang buangan yang tidak beridentiti.Dibuang oleh negeri sendiri menjadikan kaum Gasar sebagai satu kaum pendendam.

Mereka menjarah dan merompak para pedagang yang melalui padang rumput utara dan lebih malang kerana padang rumput tersebut menjadi satu-satunya laluan perdagangan untuk ke kawasan utara.

Walaupun jumlah mereka kecil namun kaum Gasar terkenal dengan kemahiran dan taktik peperangan mereka yang selalu berjaya mengalahkan pihak lawan.Mereka juga terkenal dengan tukang-tukang besi yang hebat.Kelebihan dari segi taktik,teknik peperangan dan senjata membuatkan mereka mampu melumpuhkan Kerajaan Cambara hanya dalam masa tiga minggu.

Lalu kemenangan ke atas Kerajaan Cambara menaikkan semangat mereka untuk menyerang pula kerajaan Darmenta sekaligus membalas dendam atas apa yang telah menimpa mereka lama dulu.

Pengawal diraja membukakan daun pintu kepadanya dan Panglima Madeia tahu sangat tidak sopan untuk sesiapa sahaja mengganggu putera Amadeus yang pasti sedang tidur .Namun,Putera Amadeus dan Panglima Agean dilihatnya sedang duduk menghadap sebuah meja yang hanya diterangi samar cahaya lilin.Meja yang kebiasaannya menadah pelbagai jenis makanan dan minuman itu bertukar wajah.Sehelai kertas terbentang dengan blok-blok kayu terletak sebarangan arah.

" Tuanku.." Panglima Madeia tunduk " Batalion yang mengawal sempadan utara lumpuh sepenuhnya dan Kaum Gasar sedang bergerak ke ibu kota."

Putera Amadeus mengangkat wajahnya dan serta-merta ada kelibat sinar mata aneh yang membuatkan Panglima Madeia terkesima.Raut wajah sang putera tidak seperti kebiasaannya.Rambutnya sudah ditata rapi di tengah kepala dan pakaian sutera yang selalu membaluti tubuhnya juga telah tiada digantikan dengan persalinan serba hitam.Sebilah pedang dan busur panah tergeletak di atas meja.

" Tidak sangka mereka akan bertindak secepat ini."

Panglima Madeia tersentak.Nada aneh yang tidak pernah didengarinya sebelum ini daripada Putera Amadeus.Tidak ada lagi suara takut-takut dan tidak yakin.Pakaiannya,raut wajahnya malahan caranya berbicara benar-benar berlainan sekali. Penuh dengan karisma seorang raja.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now