BABAD 17

133 17 7
                                    

Selayaknya golongan hamba yang tunduk merendahkan diri di hadapan sang baginda raja,lelaki itu-Marius-tunduk menekur lantai di hadapan Tuan Ares yang buat kali pertama menatapnya dengan pandangan yang bersinar-sinar.Dia tidak perduli hujung hidung dan dahinya melekap ke atas permukaan lantai gua yang lembap dan berbau begitu.

Bahkan Tuan Ares yang mendapat pesanan tersebut melalui orang suruhannya yang ditugaskan untuk memberikan makanan kepada penghuni penjara gelap di bawah tanah itu hampir tidak boleh menunggu hari menjelang siang untuk bertemu sendiri dengan lelaki tersebut.Maka,hari belum terlalu cerah Tuan Ares sudah memacu kudanya tergesa-gesa menuju ke gua terpencil tempat penjara bawah tanah itu berada.

" Katakan dengan segera !" Tuan Ares memandangi seluruh tubuh lelaki dari Suku Marais tersebut yang sedang tunduk meromok di hadapannya." Kau tahu bukan kau bukan sedang berada dalam keadaan untuk membohongi aku? "

Marius memejamkan matanya dengan genggaman tangan yang menggeletar.Sejujurnya,jika diberikan pilihan –dia tidak mahu sama sekali memiliki kemampuan tersebut hatta ia merupakan gelaran tertinggi yang diberikan kepadanya kerana anugerah itulah penyebab seluruh kaum dan keluarganya dibantai habis-habisan oleh Kerajaan Darmenta.Perkampungan mereka dimusnahkan dan mereka yang tersisa hidup dalam pelarian sepanjang hayat.

Memiliki kemampuan untuk meramal masa hadapan tiba-tiba sahaja menjadi satu dosa yang tidak kepalang tanggung natijahnya.Tetapi dia juga menyedari bahawa kemampuan dan gelaran tersebut jugalah yang menyelamatkan nyawanya sehingga kini walaupun layanan yang diterimanya lebih teruk daripada layanan yang diberikan terhadap binatang.

Tuan Ares tidak terkejut langsung ketika lelaki tersebut dengan tidak semena-mena mengangkat wajahnya bagaikan dicucuh nyala obor dan melalui jalur cahaya yang menembusi lubang gua di atas sana,jelas kelihatan pandangan lelaki tersebut mendadak kosong sementara kedua-dua bola matanya terangkat ke atas .Entah dari mana,belasan ekor rama-rama putih berterbangan mengelilingi lelaki tersebut malahan ada pula yang hinggap ke tubuhnya.Mengepak-ngepakkan sayap bagai membisikkan khabar.

Keadaan bersawai yang dialami oleh Marius berlangsung buat beberapa detik sebelum tubuh renta lelaki itu kembali lembik dengan kedua-dua matanya terpejam erat sementara rama-rama putih yang terbang mengitarinya sebentar tadi juga kembali mengepakkan sayap lalu terbang keluar melalui lubang pada langit-langit gua.Lalu dengan jari-jemari yang menggeletar,Marius menggerus permukaan lantai gua dengan serpihan batu membentuk beberapa imej dan ia benar-benar membuatkan Tuan Ares hendak tumbang ke belakang.

Matahari yang diapit oleh bulan pada kedua-dua belahnya sementara gerusan hujung tumpul batu pada tangan Marius jelas membentuk aksara perkataan yang amat dikenalinya.

SI PENGISAH

"Si Pengisah akan membawa bulan untuk menutupi matahari,tuan !"

Jika tidak memikirkan bahawa lelaki dari Suku Marais itu barangkali akan berguna kepadanya pada masa akan datang,sama sekali Tuan Ares tidak teragak-agak untuk memancung leher Marius di situ juga.

Bagaimana mungkin ramalan dari Suku Marais itu muncul kembali setelah puluhan tahun berlalu? Dia cukup tahu apa makna kata-kata tersebut.Sesiapa pun tahu Raja Metheus sinonim dengan perlambangan matahari sedangkan putera mahkota pula kerap disamakan dengan bulan.

Lalu,jika ramalan tersebut jelas menyebutkan bahawa bulan akan menutupi matahari-bukankah ia membawa maksud bahawa putera mahkota akan 'menutupi' maharaja?

Di tengah tunduk Marius,Tuan Ares sudah mundar-mandir seperti cacing kepanasan.Ramalan tersebut jika suatu ketika dahulu berjaya membawa Keluarga Ares ke puncak kuasa seperti yang mereka miliki sekarang dan perlu disebarkan ke segenap pelusuk negara, sebaliknya kini ramalan tersebut perlu dikubur sedalam-dalamnya daripada sampai ke pengetahuan sesiapa pun terutama sekali Tuan Hemera .Sampai ke pengetahuan Tuan Hemera bermakna ramalan tersebut akan sampai juga kepada Keluarga Nyima.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now