BABAD 44

82 11 4
                                    

Mengejapkan ikatan perca kain hitam yang menyembunyikan bingkai wajahnya,Kaii tersenyum diam-diam sebelum melompat ke atas permukaaan tanah.Kerana dia menghafal setiap lorong dan pintu yang boleh digunakan untuk keluar dari istana tanpa dikesan oleh para pengawal yang melakukan rondaan setiap jam,dengan mudah sahaja dia dapat melepaskan diri daripada jangkauan penglihatan pengawal-pengawal tersebut.

Sudah beberapa hari Kaii cuba untuk keluar daripada istana namun ada sahaja yang menghalang niatnya.Ditambah pula dengan empat orang dayang yang sentiasa mengekorinya kemana-mana dan jangan lupa Athreyu yang mengawasinya seperti seekor helang bahkan pedang tidak pula lekang dari tangannya.

Kaii tahu ada yang tidak kena dengan semua ini.Ketika diperihalkan kepadanya hal yang sebenar-bahawa dia-Kaiiara dari Keluarga Eleius merupakan saudara kembar kepada Putera Amadeus-perutnya mendadak mual dan nafasnya seakan-akan tersangkut di pangkal leher.Akalnya terlalu dangkal untuk menerima hal tersebut dengan mudah.

Bagaimana mungkin keadaan berubah terlalu drastik? Baru beberapa hari yang sudah dia terlibat dalam peperangan berdarah dengan para pemberontak yang ingin menguasai istana Darmenta,dan kini tidak ada angin tidak ada ribut dia pula diistiharkan kepada setiap pelusuk istana bahawa dia merupakan puteri mahkota tunggal kepada Raja Metheus.

Tidak! Dia bukanlah sesiapa.Dia cuma seseorang yang berada pada tempat yang sangat salah pada waktu yang tidak tepat pula.

Berada di istana,tidak ada yang kurang tentang layanan para dayang pembantu lebih-lebih lagi Permaisuri Adhreya yang memperlakukannya seperti menatang minyak penuh dalam pinggan  emas.Kemana-mana ditemani dayang dan pengawal,makan minum disediakan ,pakaian disiapkan sehinggakan kepada air mandian dan air membasuh muka pada waktu pagi.Langsung tidak ada yang kurang sehingga pada satu tahap Kaii rimas dengan layanan sedemikian.Dia rasa sesak dengan keadaan tiba-tiba begitu.

Belum lagi mengira pakaian yang menyarungi tubuhnya panjang meleret.Labuh di bahagian tangan dan panjang menutupi mata kaki tetapi sedang muat pada pinggang.Lalu rambutnya yang ditata kemas dengan hiasan-hiasan mewah daripada batu permata.Hendak melangkah lebar,Dayang Erna menegah sambil tertunduk-tunduk hormat.Duduk sedikit membongkok dia ditegur.Makan perlu mengunyah dengan senyap dan tertawa juga tidak boleh lepas begitu sahaja.

Terlalu banyak tata karama yang perlu diikuti dan itu bukanlah sesuatu yang biasa buat Kaii! Itu bukan dia.Segala sesuatu tentang istana dan kemewahan juga adat istiadat rasmi Darmenta sangat tidak sesuai dengan dirinya.

Malam itu tekadnya padu.Mencari lelaki tua yang merupakan satu-satunya orang yang mengetahui hal sebenar tentang dirinya dan yang paling penting-bagaimana dia hendak keluar dari dunia Babad Saribu Bhyangkara itu.

Rasanya dia tidak lagi diperlukan dalam jalan cerita tersebut.Segalanya telah kembali kepada tempat yang sepatutnya.Raja Metheus tidak apa-apa,Permaisuri Adhreya juga kembali ke tempatnya sebagai permaisuri dan begitu pula dengan Putera Amadeus.Pakatan jahat yang diketuai oleh Keluarga Ares telah berjaya ditumpaskan dan perlahan-lahan istana tenang lagi seperti keadaan yang asal.

Hendak meloncati tembok tinggi yang menjad benteng akhir kepada istana,tentulah amat mustahil melainkan jika di belakangnya mendadak muncul sepasang sayap.Dan pilihan terakhir yang Kaii ada ialah merangkak keluar daripada  lubang tembok yang tersembunyi disebalik semak-samun itu.

Setakat semak-samun begitu dan merangkak seperti seekor biawak bukan apa-apanya kepada Kaii.Dia pernah melalui sesuatu yang lebih teruk daripada itu.Lantaran itu,dia pantas merendahkan tubuh dan merangkak keluar dengan pantas namun ketika dia mengangkat wajah setelah bersusah payah begitu,pandangannya terpaku kepada hujung kasut seseorang.Hitam mendakap pergelangan betis dan dikejapkan dengan jerutan tali yang diikat bersilang pangkah.Ke atas lagi.Ke atas lagi ada sepasang tangan yang tercekak pada sisi pinggang dan akhirnya bingkai wajah yang menatapnya dengan mata mengecil.

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now