BABAD 2

417 29 5
                                    

PERMUKIMAN LEMURIA

Sementara itu,di celah hentaman guruh yang tidak kunjung berhenti satu susuk tubuh berjalan perlahan-lahan dengan sekujur tubuhnya sudah basah kuyup.Jubah pengembara yang membaluti tubuhnya melekap berat sementara topi lebar daripada anyaman jerami itu hanya mampu menepis butir-butir hujan yang jatuh menimpa wajah tetapi tetap tidak mampu menampan rasa sejuk yang mulai merambati segenap tubuhnya.

Di hujung jeti yang hanya diperbuat daripada batang-batang kayu yang disusun rapat antara satu sama lain dengan dua tiga buah sampan yang teroleng-oleng dibadai ombak,sebuah sampan kecil dengan satu cahaya malap dari obor yang hampir padam kelihatan.

Satu susuk tubuh yang basah menyonsongnya separuh berlari anak.Sebaik sahaja susuk tubuh itu memperlihatkan satu plat kayu kecil yang berukir tanda berupa sehelai daun,dia segera mengerti bahawa lelaki itu adalah orang yang diutuskan oleh Tuan Hemera dari istana untuk menjemputnya.

" Bersegeralah sebelum ribut datang melanda,Tuanku."

Dia hanya mengangguk meningkahi kata lelaki yang tidak bertopi itu.Langkahan kaki mereka yang hanya beralaskan alas kaki daripada jalinan jerami dan kulit kayu itu menerbitkan bunyi apabila berlaga dengan permukaan jeti yang basah dan licin.

Namun dalam cahaya malap obor yang semakin mengecil bukan sahaja akibat dihujani air malahan juga hentaman angin dari segenap penjuru ,tiba-tiba sahaja lelaki yang menjemputnya di hujung jeti itu tumbang ke hadapan .

Sesuatu yang berdesing pantas membuatkan dia tunduk dan merebahkan dirinya dengan mata yang terbeliak.

Sebilah anak panah !

Dan hanya dalam tempoh beberapa kelipan mata,suara sorak-sorai kedengaran dari hujung jeti.Apabila dari dalam kegelapan malam muncul susuk tubuh lelaki yang masing-masing menghunus pedang dan melepaskan panahan ke arah lelaki di dalam perahu-tahulah dia bahawa rancangannya untuk datang ke ibu kota itu telah diketahui.

Hampir sahaja jeritan kesakitan meletus dari ulas bibirnya apabila sebilah anak panah yang diyakini bukan dilepaskan secara rambang itu tertancap pada betis kirinya membuatkan dia terduduk.

Dengan mengetap gigi,tanpa memperdulikan air yang pasti sedang berada pada paras yang dalam akibat hujan yang turun sejak awal petang tadi,dia menggolekkan dirinya ke tepi jeti lalu jatuh ke dalam sungai meninggalkan bunyi deburan air dan percikan yang besar.

Lalu,menjelang siang-dia sudah berlari termengah-mengah dalam hari yang mulai cerah.Langkah kakinya yang terseret-seret tidak diendahkan apabila memikirkan gerombolan berpakaian hitam yang mengejarnya itu.

Darah yang mengalir dari luka pada lutut dan siku akibat tersandung batu ketika melarikan diri dalam keadaan gelap begitu juga tidak diperdulikan.

Apa yang penting dia dapat menyelamatkan diri daripada gerombolan berpakaian hitam yang setakat ini tidak menunjukkan sebarang tanda untuk tidak mengapa-apakannya malahan sebilah anak panah yang tertancap pada betis kirinya jelas menunjukkan gerombolan itu menjadikan misi membunuhnya sebagai tujuan utama mereka.

Dia tidak tahu bagaimana kedatangannya ke ibu kota itu boleh diketahui oleh orang lain sedangkan tidak ada sesiapapun selain Tuan Hemera .Malahan lelaki itu sendiri telah menyediakan segala-galanya termasuklah mengaturkan kapal dan juga rumah tumpangan apabila dia tiba ke ibu kota kelak.

Tetapi kini,jangankan sampai ke ibu kota hendak menaiki kapal yang telah di sediakan untuknya itu sekalipun dia tidak boleh apabila  segerombolan penyerang dalam pakaian hitam tiba-tiba muncul entah dari mana dan membunuh sesiapa sahaja yang berada di jeti itu.

Jika melihat bagaimana gerombolan penyerang itu melepaskan panahan dan menebas leher lelaki-lelaki di jeti tersebut tanpa belas kasihan,pasti orang-orang Tuan Hemera itu sudah menemui ajal dan kini dia adalah sasaran utama mereka.

Tidak ! Dia tidak boleh ditemui oleh mereka .Dia perlu menyelamatkan diri daripada gerombolan lelaki yang memburunya itu .

*             *           *

Ribut yang membadai seluruh kawasan permukiman hanya beransur reda menjelang terbitnya fajar sidik di langit sebelah Timur.Hujan yang turun menyebabkan halaman para warga menjadi becak .Atap-atap rumah basah dan pada hujung cucur atap,titis hujan masih bersisa -turun satu demi satu.Menitik ke permukaan tanah yang memang telah sedia berlumpur.

Tanam-tanaman di sudut halaman menunduk berat sementara pohon yang tidak kuat menampan angin kasar sepanjang malam ada yang patah dan tergeletak di sebarangan arah.Daun-daun kering berhamburan dalam becak tanah kuning kemerahan dan pada bahagian halaman yang tidak rata,ada tompok-tompok air bertakung.

Hari masih terang tanah ketika seisi pelabuhan gempar apabila perahu kecil pertama yang berulang-alik daripada jeti ke kapal besar yang berlabuh jauh di tengah laut menemui tubuh seseorang yang terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri.Tersangkut di antara akar-akar pohon yang tumbuh berhampiran gigi air dan ranting serta dahan mati yang terapung akibat ribut malam tadi.

Lelaki dalam usia pertengahan itu tergesa-gesa terjun daripada perut perahu yang dikayuhnya dan meranduk air separas dada lalu menggendong tubuh tersebut menuju ke tebing.

Tatkala dia menjerit meminta bantuan daripada beberapa orang lelaki yang lalu di situ sambil memikul bakul rotan dan pengayuh masing-masing,lelaki-lelaki tersebut pantas melepaskan bawaan masing-masing lalu berdatangan ke tempatnya berdiri di dalam air separas lutut dan membantunya menggendong tubuh tersebut.

Tubuh yang basah kuyup dan tidak sedarkan diri itu segera dibawa dalam langkah separuh berlari menuju ke sebuah rumah dan sang pemilik rumah yang baru selesai meletakkan dulang rotan yang berterbangan akibat dibadai ribut malam tadi terperanjat apabila namanya diseru berulang-kali dari hujung jalan.

" Helia.." ujarnya dengan hairan " Ada apa kalian tergesa-gesa begini?"

" Itu.."

Tunjuk sang empunya tubuh yang ditanya. Imej yang ditunding itu segera menyebabkan tuan rumah meletakkan dulang rotan di tangannya lalu tergesa-gesa menyonsong Helia dan beberapa orang penduduk yang menyertai mereka untuk mendatangi rumah di pinggir kebun tersebut.

" Hira.." Pekiknya mengeraskan suara memanggil nama sang isteri yang pastinya sibuk menjerang air di dapur " Bangunkan Athreyu."

Tidak terlalu lama berselang,walaupun tidak kedengaran suara sang isteri menyahut kata-katanya tetapi kemunculan susuk tubuh seorang pemuda dari sisi kiri rumah beratap jerami itu bermakna isterinya sudah menyampaikan pesanan kepada anaknya.

" Ada apa ayah?"

" Bawa adik mu ke dalam."

Athreyu tidak menyahut namun tubuh adiknya yang sedang berada di dalam gendongan lelaki pertengahan usia bernama Helia itu segera diambilnya dan digendong menaiki beranda yang tidak bertangga.

" Di mana kalian menemuinya?"

" Di pinggir sungai." Helia menyeka wajahnya yang sedikit berpeluh kerana berlari anak sambil menggendong tubuh tersebut."Masih sangat beruntung aku yang menemui dia."

" Iya.Aku tahu." Ujar lelaki itu sambil menepuk-nepuk bahu Helia dengan riak wajah yang aneh.

" Kau yakin ini bukan angkara mereka?"

" Tidak ." Balas lelaki itu menggelengkan kepala " Jika ini angkara istana,mereka tidak akan membiarkan dia begitu sahaja."

" Aku pulang dulu."

Lelaki itu sekadar menganggukkan kepala dan memerhatikan batang tubuh sang sahabat menghilang di sebalik selekoh sebelum tergesa-gesa menaiki beranda.

Masuk sahaja,tubuh basah kuyup yang berada di dalam gendongan Helia itu sudah bersarung baju yang kering dan bersih.Kelihatan isterinya sedang membersihkan wajah anak itu dengan menekapnya menggunakan sehelai perca kain yang basah.Ada mangkuk tembikar yang berisi air hangat disebelahnya sementara anak lelakinya- Athreyu- duduk bersila di sebelah sang ibu dan memerhatikan dengan riak wajah risau.

" Apa yang sedang berlaku ayah?"

Sang ayah hanya terdaya menggelengkan kepala seraya menyeluruhi wajah sang anak yang masih terbaring dengan wajah pucat seperti telah kehilangan separuh daripada darahnya itu.

*             *            *

Babad Saribu BhyangkaraWhere stories live. Discover now