BAB 6

5K 184 1
                                    

"MINTA akauntan kita kira berapa pampasan yang perlu diberi pada semua mangsa," bisik Karn pada Daeng, peguam keluarganya yang sedari tadi berada di sisinya sewaktu dia berbincang dengan ahli lembaga pengarah dan juga beberapa orang wakil pelanggan mereka.

"Kenapa Tuan tak biarkan saja saya bercakap tadi? Kita tak perlu bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Semuanya bukan salah kita," balas Daeng dengan riak tidak berpuas hati.

Karn memalingkan muka ke arah Daeng dan merenung peguamnya dengan tajam sekali.

"Selagi ada nyawa yang terancam atas tanah kita, di Siripon...selagi itulah tanggungjawab itu jatuh ke atas bahu kita." Tegas sekali butir-butir bicara Karn, seakan-akan tiada langsung keraguan.

"Tapi, Tuan..."

"Daeng, peristiwa keracunan makanan ini terjadi pada pelanggan kita, pelanggan Siripon. Walaupun siasatan dah pun mengesahkan bahawa puncanya bukan datang daripada Siripon, tapi kita tetap perlu bertanggungjawab sebab mereka jatuh sakit waktu di bawah pengawasan kita." Lagi jawapan Karn berbaur ketegasan yang melangit. Wajahnya tetap seperti tadi, tegak dan serius.

Dalam diam, Karn akui mungkin ada sedikit perasaan ralat dalam hatinya kerana Siripon terpaksa bertanggungjawab atas kejadian yang sebenarnya bukan kerana kepincangan mereka, tetapi kerana ada anasir luar yang cuba menjatuhkan Siripon. Ya, pihak berkuasa telah memaklumkan padanya bahawa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan kesan pencerobohan ke dalam dapur café Siripon. Penceroboh berkenaan dipercayai telah memasukkan sesuatu ke dalam bahan mentah yang akan digunakan dalam masakan.

Namun Karn juga sedar, walau apa pun sebab musabab kepada peristiwa itu, dia sebagai ketua keluarga Thanasukolwit dan pemilik Siripon, perlu bertanggungjawab. Tidak boleh ada kompromi dalam hakikat itu.

"Lagipun mereka sudah pun bersetuju untuk tidak dedahkan peristiwa ini pada pihak media. Kalau tidak, nama baik Siripon pasti akan tercalar. It's a win-win situation for us, Daeng." Karn menyambung lagi, menjelaskan segala tindakan dan keputusannya.

Daeng bungkam buat seketika sebelum akhirnya menganggukkan kepala. Terbit sedikit rasa menyesal kerana mempertikaikan keputusan Karn Klaharn, bosnya yang memang tersohor sebagai seorang yang bijak dalam mengatur urusan perniagaannya. Ah, bosnya berketurunan Thanasukolwit, sudah pasti dia seorang yang bijak dan sempurna!

"Okay then, saya serahkan urusan selepas ni pada kamu, Daeng. Saya pergi dulu."

Daeng mengerutkan dahi. "Tuan mahu ke mana?"

Terbentuk senyuman nipis di bibir Karn. Baru sahaja dia mahu membuka mulut untuk menjawab, telinganya tiba-tiba sahaja menangkap suara yang dikenalinya.

"Karn!! Hei, Karn!!"

Karn dan Daeng sama-sama berpaling. Pandangan mata mereka melekat pada seorang gadis yang sedang melambai-lambai tangan.

"Tuan..." ucap Daeng, perlahan. Hatinya mula berasa cuak dengan kemunculan gadis yang tidak dikenali itu.

"She's my friend," bisik Karn seraya mengangkat tangan, membalas lambaian Dian. "Now you can go."

"Tapi..." Daeng cuba membangkang. Bukan dia tidak mahu mendengar arahan ketuanya, namun dia telah pun dipesan oleh Uncle Sukrit untuk menjaga dan memastikan keselamatan Tuan Klaharn.

"Go, Daeng," tegas Karn. "Just...leave."

Terlepas dengusan kecil dari mulut Daeng sebelum dia menganggukkan kepala. Tubuhnya diundurkan ke belakang dan kemudian dia berpaling, meninggalkan Tuan Klaharn. Sempat juga dia mengerling ke arah gadis yang semakin menghampiri bosnya.

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now