BAB 15

4K 149 0
                                    

"JAHANAM!!!" pekik Sakda dengan lantang sambil membaling gelas yang dipegangnya tadi ke arah televisyen di hadapan mata. Berderai gelas itu. Tapi, dia tidak peduli. Apa yang lebih penting sekarang, perasaan geramnya. Ya, perasaan membara yang sedang menyala-nyala dalam dirinya.

Tadi sewaktu dia menonton berita tentang kejayaan pihak polis menjejaki penculik kepada jutawan muda Thailand yang dirahsiakan identitinya, Sakda serta-merta tahu siapa yang dimaksudkan. Telahannya jadi benar-benar tepat saat kedua-dua matanya melekat kepada wajah dua orang suspek dalam kes tersebut. Pong dan Chen!

"Macam mana dia orang tu buat kerja, hah? Kerja senang pun tak boleh buat. Tak boleh harap langsung!!!"

Sungguh! Hatinya benar-benar panas. Belum pun sampai lapan belas jam Karn diculik, pihak polis sudah pun dapat menjejaki mereka. Hancur! Habis hancur segala rancangannya. Satu Baht pun tidak diperoleh. Dan yang paling penting, nyawa Karn Klaharn masih lagi melekat pada jasadnya!

Ah!!! Dia benar-benar geram. Kalaulah dia tahu orang suruhannya tolol begitu, lebih baik dia arahkan sahaja mereka hapuskan Karn awal-awal lagi. Tidak perlu bersusah payah untuk membuat adegan seolah-olah mereka menculik demi wang, sedangkan hakikatnya apa yang dia dambakan adalah nyawa lelaki itu.

Seketika kemudian Sakda menggelengkan kepala. Tidak! Dia tidak boleh menyalahkan rancangan awalnya kerana itu adalah rancangan paling sempurna. Dia tidak boleh terus sahaja membunuh Karn Klaharn kerana dia harus melindungi motif dan niat sebenarnya. Kalau motif itu terlampau jelas di mata pihak polis, identiti sebenarnya akan mudah terbongkar!

Mengingati identitinya, Sakda sedikit lega kerana dalam berita yang ditontonnya tadi telah disebut tentang suspek yang dipercayai dikenali dengan nama Manop telah terbunuh. Mujur sekali lelaki itu sudah mampus. Jadi tiada siapa lagi yang boleh membuka mulut tentang dirinya. Tetapi sekarang tidak pasal-pasal pula dia terpaksa mendiamkan diri, menangguhkan dulu rancangannya ke atas Karn demi menyembunyikan identitinya itu. Argh, geramnya dia!!!

"Tapi, macam mana polis boleh senang-senang saja track Manop dan anjing-anjing dia?" Setelah beberapa minit bermonolog sendiri, Sakda akhinya menyoal. "Ini mesti kerja orang tua tak sedar diri tu."

*****

"GOOD JOB, KAWEE."

Kawee tersenyum lebar sambil menganggukkan kepala. Sekali lagi tugasan yang telah diserahkan padanya dapat disempurnakan dengan jayanya. Dan sekali lagi juga, namanya sebagai penyiasat persendirian terhebat di Thailand dapat dipertahankan.

"Sebenarnya saya tertanya-tanya, macam mana kamu dapat menjejaki tempat tu even before pihak polis? Siap inform polis pula tu," tanya Sukrit dengan lagak ingin tahu. Kedua-dua matanya merenung tepat lelaki di hadapannya.

"Well, saya kan bekas komando. I have my own source. I have my own connection. Dan yang paling penting, saya tidak terikat dengan karenah birokrasi dan surat kebenaran itu...surat kebenaran ini untuk ambil tindakan. The decision is mine and the action is mine. Orang lain tak boleh masuk campur." Penuh ketegasan Kawee menjawab. Wajahnya terpamer dengan rasa bangga dan puas hati.

Tersungging senyuman di bibir Sukrit mendengarkan jawapan Kawee. Memang tidak sia-sia dia mendapatkan khidmat lelaki itu.

"Apa-apa pun, saya memang berterima kasih pada kamu atas apa yang kamu dah buat. Bayaran dah pun saya transfer ke akaun bank," balas Sukrit.

Kawee menghulurkan tangannya kepada Sukrit. "Terima kasih. Kalau ada apa-apa urusan lagi, you know where to find me."

"Well, harap-harap takkan ada lagi keperluan saya untuk panggil kamu. Tapi, kalau ada...you'll see me again." Sukrit menjawab sambil menyambut salam Kawee.

"Okay, then."

Sukrit memerhatikan Kawee yang berlalu pergi sebelum turut sama berpaling. Dia mahu ke bilik Tuan Klaharn, melihat majikannya yang masih belum sedarkan diri.

*****

"TUAN!"

Karn menoleh ke arah suara yang baru sahaja menyerunya.

"Tuan sudah sedar? Baguslah." Sukrit bersuara seraya bergegas ke arah majikannya.

Karn membetulkan sedikit duduknya sebelum memegang kepalanya yang berdenyut-denyut. "Apa...apa dah jadi?"

"Pihak polis berjaya jejaki tempat penculik-penculik tu tahan Tuan dan perempuan tu."

Karn tersentak. Perempuan tu! Dian Damia!

"Macam mana dengan dia? Apa dah jadi pada dia?!" Tanpa sedar, Karn mula memekik kuat.

Tercengang Sukrit melihat reaksi luar jangkaan Tuan Klaharan yang selama ini berwatakan tenang. Wajah tegang bosnya itu ditenung dalam.

"Uncle, answer me! Macam mana dengan Dian?!" Sekali lagi Karn menyoal.

"Dia...dia okey. Ada sedikit kecedaraan, tapi secara keseluruhannya dia tak apa-apa. And now dia ada di bilik sebelah." Cepat-cepat Sukrit menjawab.

Karn cuba bangkit dari sandarannya. Namun, kesakitan serta-merta mencucuk-cucuk ke dalam tubuhnya. "Ouch!!"

"Tuan!" Bingkas Sukrit merapati bosnya dan memegang lengan lelaki itu. "Tuan jangan bergerak."

"Macam mana saya nak pergi jumpa dia kalau saya tak bergerak?" bidas Karn dengan kasar di sebalik riak wajahnya yang berkerut kesakitan,

"Tuan tolong jangan degil. You're not well enough to move around," bangkang Sukrit lagi.

Terbit renungan tajam di mata Karn. Berapi!

"I'm going and nobody can stop me."

Tuk! Tuk! Tuk! Baru sahaja Karn mahu turun dari katil, bunyi ketukan di pintu segera mematikan pergerakannya. Ah, apa lagi ni? Dia mahu menemui Dianlah!

"Sawaddi krap, Khun Klaharn (Selamat petang, Tuan Klaharn)." Muncul seorang lelaki yang lengkap berpakaian polis dari sebalik pintu. "Saya dimaklumkan Tuan sudah sedar. Saya ke sini untuk dapatkan keterangan Tuan."

Dalam diam Karn merengus. Sedikit sebanyak hatinya diulit rasa geram kerana banyak pula halangannya untuk mendapatkan Dian padahal gadis itu bukanlah jauh daripadanya. Hanya di bilik sebelah!

"Tuan..." seru pegawai polis itu lagi.

Karnmenarik nafas dalam-dalam, menghembusnya dan membetulkan duduk. "Baiklah.Tanyalah apa sahaja yang pihak polis nak tahu."

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)On viuen les histories. Descobreix ara