BAB 19

3.9K 165 1
                                    

"HATI-HATI, DIAN." Lembut Karn bersuara sambil memegang erat lengan Dian yang berlapik dengan jaket tebal miliknya. Ketika itu mereka baru sahaja tiba di hadapan rumah Karn. Gadis itu hanya terkebil-kebil memandangnya dengan riak tanda tanya dan sedikit keliru.

"Ini rumah saya. Awak akan duduk sini," jelas Karn sambil tersenyum manis.

"Ru...rumah awak?" Lambat-lambat Dian menyoal.

"Yup, rumah saya. Awak suka tak?" Masih lagi dengan senyuman yang tersungging di bibir, Karn menyoal.

Tanpa suara Dian melepaskan pandangan ke arah taman di sebelah kanannya. Kawasan yang kehijauan itu dipandang sepi. Kemudian dia meneliti rumah yang tersergam indah di hadapannya. Hampir sembilan puluh peratus rumah itu dibina daripada kayu dan papan yang tampak bermutu tinggi. Reka bentuknya pula jelas menunjukkan ciri-ciri binaan tradisional Thailand. Namun sayang, semua itu tidak nampak istimewa di mata Dian. Apa yang dia dapat lihat cuma keluasan rumah itu.

"Dian...awak suka tak?"

Dian hanya menatap wajah Karn tanpa perasaan sebelum menjawab perlahan. "Suka...sebab luas. Saya tak suka tempat sempit. Sebab..sebab...nanti saya..."

"Hei, jangan ingat lagi. Sekarang awak akan tinggal tempat luas, dalam bilik yang cantik. Tak ada sesiapa yang akan ganggu awak lagi, tau." Cepat-cepat Karn menyampuk. Dia tidak mahu Dian mula bercakap tentang peristiwa itu.

Dian hanya mendiamkan diri sambil menundukkan kepala. Jari jemarinya bermain-main dengan hujung jaket.

Timbul rasa kasihan dalam hati Karn. Pasti Dian sedang serba salah dan kebingungan.

"Awak nak tengok bilik awak tak? Cantik, tau. Saya dah minta dia orang hias khas untuk awak." Setelah beberapa saat berjeda sendiri memikirkan soal Dian, Karn bersuara sambil menggamit gadis itu agar mengikut langkahnya. Dian hanya mengikut tanpa kata.

Melalui hujung mata Karn dapat melihat dengan jelas kelibat empat orang pembantu rumahnya yang sedari tadi berdiri di sebalik pintu dapur utama. Namun dia membiarkan sahaja. Ah, belum tiba masanya untuk dia memperkenalkan Dian kepada mereka semua.

*****

"INI bilik awak," kata Karn seraya menolak pintu kayu di hadapannya. Perlahan-lahan Dian melangkah masuk. Terbentang di hadapan matanya set sofa dengan meja kopi yang tampak mewah dan elegan.

"Ini bilik tetamu utama, sebenarnya. So bilik ni diasingkan kepada beberapa ruang. Sini adalah ruang rehat. Sebelah sana..." Tangan kanannya Karn ditunjukkan ke sebelah kanan. "Bilik air dan dressing room. Untuk ruang tidur pula..."

Dian memerhatikan tingkah laku Karn yang menapak ke hadapan sedikit dan kemudian menarik pintu luncur yang berdekatan. Walaupun hanya dengan sebelah tangan, satu tarikan sahaja sudah cukup untuk membuatkan pintu kayu itu terbuka luas.

Dian menjenguk sedikit dan meliarkan pandangan pada ruang tidur itu. Katil bersaiz king yang terletak elok di tengah-tengah, TV plasma yang melekat di dinding, meja tepi dengan lampu tidur antik...semuanya tampak gah. Di hujung bilik pula, kelihatan beranda bilik yang mempamerkan kehijauan padang. Langsir indah dengan gaya vintage yang tersangkut elok di pintu luncur beranda beralun bersama angin sepoi-sepoi bahasa. Segalanya tampak indah belaka. Namun sayang...hati Dian tetap tidak terdetik dengan apa-apa rasa. Semuanya kosong.

"Okey tak bilik ni?" tanya Karn dengan lembut.

Dian mengangguk kecil.

"Awak rehatlah. Saya keluar dulu, ya. Kalau ada apa-apa, panggil saya," pesan Karn sebelum melangkah keluar.

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now