BAB 16

4.1K 151 0
                                    

WAJAH pucat Dian ditatap dalam-dalam. Jelas kesan lebam di pipi dan bawah bibirnya. Kata-kata doktor tadi turut terngiang-ngiang di hujung telinga, lantas membuatkan dia jadi makin bersimpati pada Dian. Selebihnya, dia semakin geram pada dirinya sendiri.

"Cik Dian dibelasah teruk. Ada kecederaan dalaman pada abdomennya, dipercayai kesan tendangan yang bertalu-talu."

Karn melepaskan keluhan berat. Dia gagal dalam menjaga dan melindungi Dian hinggakan gadis itu menjadi mangsa pukulan Manop. Kalaulah dia lebih cepat tiba, pasti lelaki jahanam itu takkan sempat menyentuh Dian. Takkan sempat melampiaskan amarah pada tubuh seorang gadis yang lemah.

Teringat Karn pada segala kejadian itu. Dia berlawan dengan Chen dan Pong sehingga akhirnya dapat menjatuhkan mereka berdua. Kemudian ingatannya hinggap pula pada keadaan di mana dia melihat Manop cuba membunuh Dian dengan besi di tangannya. Waktu itu Karn sudah tidak dapat berfikir dengan lebih rasional. Tangannya refleks sahaja mengambil pistol yang terdampar di atas lantai sebelum melepaskan tembakan. Bukan sekali, tetapi empat das!

Sungguh, tidak pernah dia menduga akan menggunakan kemahirannya menembak ke atas seorang manusia. Tidak pernah langsung dia menyangka akan melumurkan tangannya dengan darah, akan merampas nyawa orang lain.

Ya, memang kalau diikutkan hatinya, selayaknya Manop memperoleh balasan sedemikian, tetapi...tetapi dia bukanlah seorang pembunuh! Dia bukan seorang manusia yang boleh sahaja mengambil nyawa orang lain tanpa langsung terkesan dengan secalit pun rasa bersalah. Walaupun pihak polis telah pun mengklasifikasikan tindakannya sebagai mempertahankan diri, tetap juga Karn terasa dirinya kotor. Sama kotor dengan Manop yang telah dia bunuh!

"Tuan..."

Suara yang menegur pantas melenyapkan segala ingatan Karn terhadap peristiwa hitam itu.

"It's all my fault." Tanpa menoleh, Karn bersuara pada Uncle Sukrit.

"No, it's not."

"Yes, it is!!! Dian takkan terlantar macam ni, takkan kena belasah semahunya kalau tidak kerana saya!" Dengan suara yang ditahan-tahan, Karn menempelak.

Sukrit diam tidak berkutik.

"Dian...dia cuma datang untuk bercuti, untuk siapkan novel dia. Bukan untuk diculik, bukan untuk diperlakukan sedemikian rupa. Tapi, sebab dia kenal saya...dia...dia...."

"Tuan tak minta semua ni jadi pada dia. Tuan tak tahu, tak berniat untuk libatkan dia." Sukrit membalas, cuba memujuk majikannya yang semakin ditelan emosi. "Sekarang, apa kata Tuan ke bilik? Keadaan Tuan teruk sangat ni."

Karn melihat keadaan dirinya sendiri. Dengan kepala dan dada yang berbalut, kecederaannya memang dikira teruk. Apa tidaknya, di kepalanya sahaja doktor terpaksa melakukan sebanyak dua belas jahitan. Itu belum lagi termasuk tulang rusuknya yang retak. Tetapi dia langsung tidak mahu mempedulikan kecederaan tersebut. Baginya, kala ini keadaan Dian yang lebih penting berbanding dirinya sendiri. Ya, Dian jauh lebih penting!

"I'll stay here," jawab Karn akhirnya.

"Tapi, Tuan..."

"Saya akan stay sini, Uncle. Tunggu Dian sampai dia sedar," pintas Karn dengan tegas. "Now you go see the police. Banyak lagi yang perlu diuruskan dengan mereka. Begitu juga dengan pihak media. Pastikan media terus tidak tahu identiti mangsa culik. Saya tak mahu pelanggan Siripon tahu akan hal ini. Kalau tak, mereka akan ketakutan and eventually it will affect our business.Also, don't forget to ask Kris for help."

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now