BAB 9

4.2K 161 1
                                    

"BEG FOR YOUR LIFE!!!"

Muka Karn Klaharn yang terikat di kerusi ditumbuk beberapa kali. Ke kiri ke kanan kepala lelaki itu menerima habuan.

"Aku takkan merayu." Dingin Karn menjawab kembali. Darah yang menitis di hujung bibirnya dibiarkan sahaja. Kepalanya ditegakkan dengan penuh keangkuhan manakala matanya mencerlung tajam ke hadapan.

Tidak semena-mena bunyi ketawa berkumandang dan muncul seorang lagi lelaki bertopeng. Lelaki tersebut mendekati Karn dan mencengkam rambutnya dengan kasar.

"Kau memang angkuh, Klaharn Thanasukolwit. Kita tengok berapa lama lagi kau boleh terus angkuh," sinis lelaki bertopeng itu di hujung telinga Karn.

Di sebalik wajahnya yang berkerut kesakitan, Karn menjeling tajam. Benci sungguh dia pada manusia-manusia jahanam ini yang berani melayannya begitu. Dia...Klaharn Thanasukolwit, selama ini walau nyamuk sekali pun tidak berani menyentuhnya. Tetapi kini, lelaki-lelaki kotor ini berani memegang dan memperlakukannya umpama binatang!

"Kau...kau Sakda ke?" soal Karn akhirnya.

Entah apa yang kelakarnya dengan soalan Karn, lelaki itu tiba-tiba sahaja meledakkan tawa. "Tuan Sakda takkan ada kat tempat macam ni. Dia...."

"Dia takkan kotorkan tangannya buat benda-benda macam ni. Kau orang yang kena buat untuk dia. Padanlah dengan muka kotor, tangan kotor, darah kotor kau orang..."

Buk! Belum pun sempat Karn menghabiskan ayat, wajahnya sekali lagi menjadi mangsa.

"Sekurang-kurangnya dia bagi aku duit. Dan sekarang...kau pun akan bagi kita orang duit," tekan lelaki bertopeng itu dengan kening terangkat. Kemudian dia berpaling kepada seorang lagi lelaki bertopeng yang sedari tadi berdiri di dalam gelap. "Pong, dekat sikit dan zoom pada muka dia ni."

"Okey, Manop."

Pandangan Karn melekat pada seorang lelaki yang sedang memegang sebuah perakam video. Melalui mulut yang tidak bertutup, jelas kelihatan sengihan di sebalik giginya yang rongak. Menggelegak hati Karn melihat lelaki itu yang nampak sangat menikmati segala apa yang telah dan sedang dirakamkannya.

"Sini," arah lelaki bertopeng yang digelar Manop itu. Tangannya merengkuh bawah dagu Karn dengan cukup kasar. "Zoom kat muka the great Klaharn Thanasukolwit."

Meledak ketawa jelik daripada lelaki bertopeng yang lain. Mengejek dan mentertawakan Karn yang masih lagi terikat kuat bersama wajah yang lebam-lebam dan dibasahi darah.

Akur dengan arahan Manop...lelaki yang Karn kira sebagai ketua, Pong mendekatkan perakam videoke muka Karn. Dan sepantas kilat juga Karn meludah ke muka Pong.

"Berani kau!!" Tangan Pong laju sahaja hinggap ke muka Karn. Kepala Karn terpusing ke sebelah kiri. Namun seketika kemudian dia kembali mengangkat wajah dan merenung lelaki itu dengan tajam. Bibirnya membentuk senyuman sinis. Biar mereka tahu dia bukan lelaki lemah yang akan membiarkan sahaja mereka berbuat macam-macam padanya.

Tanpa disangka-sangka bunyi tepukan tangan mula bergema. Segera Karn mengalihkan pandangan pada bunyi tersebut. Manop dilihatnya sedang menepuk tangan dengan wajah yang jelas mengejeknya.

"Klaharn...Klaharn...kau memang Thanasukolwit, kan? Dalam keadaan macam ni pun kau boleh lagi angkuh, kan? Tapi, tak apa...kita ada banyak masa lagi. Kita akan tengok apa aku nak buat pada kau..."

Karn hanya mempamerkan wajah tanpa perasaan. Dia takkan sekali-kali menunjukkan kelemahan atau ketakutan. Dia tidak akan membiarkan manusia-manusia jahanam ini mendapat kepuasaan melalui kekalahannya. Walau apa pun yang terjadi, dia akan tetap teguh dengan sebuah keangkuhan. Kalau ditakdirkan dia mati sekali pun, biar dia mati dengan maruah!

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now