BAB 10

4.2K 157 2
                                    

"KARN..." bisik Dian. Kini dia sudah pun berada di sebalik tubuh tegap Karn. Tadi sewaktu lelaki-lelaki itu masuk, Karn segera mengengsot tubuh ke hadapannya.

"Apa kau nak?" Dingin Karn menyoal Manop. Di sebalik topeng yang menutupi wajah mereka, dia masih dapat mengecam Manop. Tatu di kedua-dua belah tangannya sudah cukup untuk menggambarkan identiti lelaki itu.

"Karn..." Sekali lagi suara bergetar Dian singgah di telinga Karn. Melalui hujung mata dia melirik ke arah sahabatnya itu. Jelas tergambar ketakutan pada wajah Dian.

"Apa-apa pun yang kau nak buat, jangan libatkan dia." Keras Karn memberikan amaran kepada Manop dan orang-orangnya.

Meledak ketawa Manop sebelum dia kemudiannya memberi isyarat kepada Chen, orang suruhan yang berada di sebelah kanannya agar merapati orang tahanannya.

Sedikit demi sedikit Karn dan Dian cuba menjauhkan diri. Mata mereka tepat pada Chen yang semakin dekat bersama senyuman penuh muslihat yang tersungging di bibirnya.

"Apa kau...." Pertanyaan Karn termati sendiri saat tubuh Dian tiba-tiba sahaja ditarik daripada belakangnya. Sedar-sedar sahaja Dian sudah pun berada di dalam genggaman Chen.

Karn tergamam.

"Karn!!!" Dian menjerit seraya meronta-ronta. Pinggangnya kemas dipegang oleh Chen dan diheret pergi ke arah pintu yang terbuka luas. "Lepaskan aku...lepaskan aku!!!"

"Dian!!!" teriak Karn setelah tersedar daripada rasa terkejutnya. Dengan tangan yang masih berikat, dia cuba untuk bangun dan berdiri. Namun tidak semena-mena hinggap satu tendangan di perutnya. Karn kembali terduduk dengan muka yang berkerut. Seketika kemudian, kedua-dua belah bahunya dicengkam oleh Pong.

"Kau jangan berani sentuh aku!" Lantang Karn menengking.

"Kalau kau tak nak apa-apa jadi pada perempuan tu, kau takkan cuba melawan lagi."

Suara garau Manop yang sinikal membuatkan Karn terdiam. Bibirnya diketap rapat-rapat, menggambarkan kebencian yang menggunung dalam diri. Sambil menyumpah-nyumpah dalam hati, Karn merelakan sahaja saat Pong menariknya kasar dan memaksanya berdiri. Manop yang semakin mendekati ditenung tajam.

"Perempuan tu...penting bagi kau, kan?" Penuh sindiran, Manop menyoal.

Karn merengus. "Walau apa-apa pun permusuhan antara aku dan Sakda, semuanya tak ada kena mengena dengan dia. Baik kau lepaskan dia, kalau tak..."

"Kalau tak apa, hah? Kau tu...kena sedar sikit siapa yang berkuasa kat sini. Jangan nak tunjuk lagak. Kalau tak..." Sengaja Manop menghentikan kata dan mengangkat kening. "Perempuan tu yang akan terima akibatnya."

Berdesing telinga Karn mendengarkan amaran Manop.

"Tak guna!" pekik Karn seraya cuba untuk meluru ke arah Manop. Namun pegangan Pong ternyata sangat kuat. Karn meronta lagi, cuba melepaskan diri. "Lepaslah!!"

Manop mencebik. Kemudian dia menggamit Pong agar mengheret Karn ke luar, membawa lelaki kaya itu ke tempat lain.

Tempat di mana permainan paling menarik itu akan bermula.

*****

HAMPIR TERJOJOL mata Karn kala terpandangkan Dian yang sudah pun terikat di kerusi. Mulut gadis itu ditutup dengan menggunakan pita pelekat yang berwarna hitam. Tudung yang sebelum ini membaluti kepalanya pula sudah hilang entah ke mana.

"Apa kau nak buat pada dia, hah?" Kuat dan lantang Karn bertanya. Panas dan berapi hatinya dengan perlakuan lelaki-lelaki keparat itu terhadap Dian.

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now