BAB 12

4K 158 1
                                    

TERPAKU matanya pada skrin komputer. Segala adegan di hadapan matanya umpama filem yang dirasakan sangat menarik. Bibirnya pula sedari tadi tersungging dengan senyuman sinis. Huh, hatinya puas! Puas kerana dapat menyaksikan penderitaan seorang manusia bernama Klaharn Thanasukolwit.

Sungguh dia tidak menduga apa yang diperolehnya adalah jauh lebih baik daripada apa yang dirancangnya. Rancangan asalnya hanyalah menculik lelaki itu, meminta wang tebusan sebanyak seratus juta Baht dan akhirnya membunuh Karn. Dia mahu membuatkan seolah-olah Karn menjadi mangsa kepada sebuah penculikan yang bertukar menjadi pembunuhan yang tidak disengajakan sedangkan apa yang tersirat adalah lebih daripada itu.

Tetapi kini kerana kemunculan seorang perempuan, dia bukan sahaja dapat menggandakan jumlah wang tebusan malah dia dapat membuatkan musuhnya merayu dan bersujud! Ah, kalaulah dia boleh berada di sana, menyaksikan segalanya dengan mata kepalanya sendiri, pasti lebih berkali ganda kepuasan dalam hatinya. Namun dia sedar, dia perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Dia....Sakda, tidak boleh memunculkan diri kerana nanti segala perancangannya akan hancur.

Mengingati perempuan itu, Sakda memainkan kembali video dan kemudian menekan punat pause, tepat pada adegan yang memaparkan gadis itu meronta-ronta apabila disentuh Manop. Wajahnya yang berlinangan air mata Sakda tenung lama-lama. Kedua-dua bebola mata gadis itu membulat dengan rasa takut dan jijik.

Zup! Hati Sakda terasa ditebak dengan rasa bersalah. Tidak semena-mena dia merasakan bahawa gadis itu tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa. Tambahan pula, permusuhannya adalah dengan Karn Klaharn, bukanlah dengan perempuan yang tidak diketahui nama itu.

Seketika kemudian Sakda menggelengkan kepala beberapa kali. Tidak! Dia tidak boleh rasa bersalah.

"Kadang-kadang pengorbanan ni perlu untuk sebuah kejayaan. So girl, I guess...I have to sacrifice you," bisik Sakda perlahan. Dingin dan tanpa perasaan.

*****

"UNCLE SUKRIT!"

Sukrit menoleh pada Krissada yang semakin mendekati. Riak penuh kerisauan jelas terpampang pada wajah lelaki itu.

"Betul ke apa yang Mak Teh bagitahu? Karn kena culik? Macam-mana?" Bertalu-talu soalan yang dilontarkan padanya. Tangan Krissada sudah pun melekat pada bahunya, menggoncang dengan kuat.

"Kris..." sela Sukrit, cuba menghentikan perilaku Krissada.

"Uncle...apa semua ni? Macam mana..." Tanpa mempedulikan panggilan Uncle Sukrit, Krissada terus-terusan bertanya.

"Krissada! Calm down, okay?" tempelak Sukrit dengan nada yang sedikit kuat. Geram juga hatinya dengan reaksi Krissada yang tidak tahu untuk bertenang, sedangkan apa yang paling penting buat mereka sekarang adalah ketenangan. Ya, ketenangan untuk mereka menghadapi dan cuba memikirkan usaha untuk menyelamatkan Tuan Muda Klaharn.

Krissada tersentak sejenak. Kemudian lambat-lambat dia melarikan tangannya daripada terus-terusan mencengkam lelaki separuh umur di hadapannya.

Sukrit menghela nafas panjang sebelum mula bersuara. "Uncle dah cakap dengan polis. Menurut kata mereka, Tuan Klaharn diculik sewaktu dalam perjalanan ke Samila Beach. They were attacked."

"Attacked?"

Soalan Krissada dijawab dengan anggukan kecil Sukrit. "Yup, and the driver was killed. Shot to death."

Terlopong mulut Krissada. Kalau pemandu yang tidak bersalah langsung itu dibunuh kejam, jadi bagaimana pula dengan nasib sepupunya?

"Habis tu, Karn...macam mana dengan dia?"

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now