BAB 13

3.9K 150 1
                                    

TERPISAT-PISAT Dian memandang siling. Kepalanya terasa berat sekali. Dahinya dikerunyut, cuba mengingati apa yang telah terjadi. Wajah Karn dan beberapa orang lelaki bertopeng bersilih ganti menerpa dalam fikirannya, umpama sebuah mimpi.

Cuma...semua itu bukanlah mimpi! Kerana di sebelahnya kini adalah Karn yang terbaring lemah. Perlahan-lahan Dian bangun daripada pembaringan dan meraup wajahnya. Pandangannya dijatuhkan pada Karn. Dada lelaki itu kelihatan berombak laju dengan peluh yang membasahi dahi. Hati Dian segera dirundung rasa curiga dan risau. Cepat-cepat dia menyentuh dahi Karn. Matanya membuntang. Panas!

Tanpa menunggu lama, Dian membetulkan jaket yang menyelimuti tubuh Karn. Melihat bibir terketar-ketar lelaki itu yang sudah hampir biru dek kedinginan, Dian cepat-cepat menggosok bahu dan lengan Karn.

"Karn...Karn....awak macam mana?"

Hanya desah nafas Karn yang berat menyambut pertanyaan Dian lantas menambahkan lagi rasa runsing dalam dirinya. Sesekali Karn bercakap-cakap dalam lenanya, meracau-racau dengan kepala yang digeleng-geleng.

"Dian...Dian..."

Dian jadi makin hilang arah. Tanpa henti dia mengusap-ngusap rambut Karn yang sudah kebasahan dengan peluh. Tangan Karn juga digenggam erat.

"Karn, I'm here...saya ada kat sini..."

"Pom...pom kor thode...(Saya...saya minta maaf...)." Karn tetap seperti tadi, hanya meracau-racau dan mula mengerekot kesejukan.

Dian mengeluh. Matanya melilau ke kiri ke kanan dengan rasa panik. Apa yang patut dibuatnya sekarang? Menjerit meminta tolong daripada manusia-manusia bertopeng di luar sana? Gila! Mereka takkan peduli!

"Tapi...dia orang belum dapat duit. Mesti dia orang takkan biarkan apa-apa jadi pada Karn," perlahan Dian bermonolog sendiri. Otaknya ligat berfikir. "Ah, gamble ajelah!"

Setelah berkira-kira sendiri, Dian akhirnya meluru ke arah pintu dan memukul-mukulnya dengan kuat. "Open this door!! Open this door!! Karn is..."

"What???" pekik orang yang membuka pintu dari luar.

Dian mengundurkan diri. Air liurnya yang terasa kelat ditelan berkali-kali. Kecut hatinya melihat Pong yang sedang merenungnya tajam.

"Karn...Karn....he....he...." Tersekat-sekat suara Dian seraya jari telunjuknya dihalakan pada Karn yang terbaring lemah di atas lantai.

Berkerut dahi Pong sebelum dia kemudiannya merengkuh lengan Dian dengan kasar dan menarik gadis itu ke arah lelaki kaya tahanannya itu.

"Damn!" Kasar Pong bersuara usai melihat keadaan Karn. Dia membanting Dian ke arah Karn sebelum bergegas keluar sambil menyumpah-nyumpah.

Dian mengetap bibirnya kuat, menahan kesakitan kesan tolakan tadi sebelum kembali bangun. Matanya dilirik pada Karn yang masih tidak sedarkan diri. Semuanya gara-gara dia. Jika tidak kerana Karn cuba melindunginya, pasti sahabatnya itu tidak akan terlantar lemah begitu.

Ah, kenapa semua ini mesti terjadi pada mereka? Apa lagi yang akan berlaku selepas ini? Perkara buruk apa lagi yang akan menyusul buat mereka berdua?

'Ya Allah...tolonglah hamba-Mu ini, aku merayu...' doa Dian dalam hati. Kedua-dua tangannya digenggam erat-erat, mencari sinar harapan yang mungkin masih tersisa. Sungguh! Dia sudah hampir putus asa. Dia sudah tidak larat lagi untuk bertahan. Dia sudah tidak mampu lagi untuk melindungi diri daripada terjunam ke dalam gaung yang paling dalam, gaung yang mungkin akan meragut kewarasannya sendiri.

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Wo Geschichten leben. Entdecke jetzt