BAB 26

7.5K 167 19
                                    

"YU NAI? Dian yu nai? (Mana? Mana Dian?) Apa dah jadi pada dia?!" Karn bertanya lantang seraya meluru pada Mak Teh. Kedua-dua belah bahu wanita tua itu digoncang kuat.

"Tuan...Tuan..."

Panggilan Mak Teh segera menyedarkan Karn tentang tindakan kasarnya. Tangannya dijatuhkan.

"Cik Dian...dalam bilik dia. Tapi..."

Serta-merta Karn mengangkat pandangan pada tangga dan bergegas menaikinya. Kata-kata Mak Teh dibiarkan tergantung. Ruang tidur di bilik Dian dirempuh kasar. Namun baru sahaja dia melangkah masuk, suatu objek terbang ke arahnya. Mujur sekali Karn sempat mengelak. Objek itu pecah berderai menghentak dinding dan jatuh bertaburan di sisinya. Mata Karn membulat. Terkejut bukan kepalang.

"Jangan!! Jangan dekat dengan aku!!!" Jeritan kuat Dian menampar gegendang telinganya. Karn merewangkan pandangan pada bilik yang tunggang-langgang. Bantal-bantal dan serpihan kaca bertaburan di atas lantai.

'Dian!!' Rasa risau dalam hati Karn tambah menggunung.

"Tolong...tolong...jangan apa-apakan aku...jangan..."

Penuh hati-hati Karn melangkah ke arah penjuru bilik. Di sebalik langsir yang terbuai-buai mengikut gerak angin, jelas kelihatan bayangan tubuh Dian yang terpacak keras. Lambat-lambat dia menyelak langsir berkenaan. "Dian..."

"Tidak!!!" Pekikan Dian menyambut panggilan Karn dan saat itu juga mata Karn terbeliak besar. Dian sedang menggenggam satu serpihan kaca! Darah pekat menitis setitik demi setitik daripada tangannya, akan tetapi riak wajah Dian selamba sahaja seakan-akan tidak merasai kesakitan langsung.

"Jangan...jangan dekat..." Dian mencerlung tajam sambil mengunjukkan serpihan kaca itu pada Karn.

Cepat-cepat Karn mengundurkan diri ke belakang, namun matanya tidak lepas daripada memandang Dian. Takut juga dia kalau-kalau gadis itu akan berbuat apa-apa yang membahayakan diri. Setelah menarik nafas panjang, Karn melangkah satu tapak ke hadapan. Serta-merta juga Dian berundur sambil menatapnya penuh syak wasangka. Perlahan-lahan Karn menghulurkan tangan.

"Dian...ini saya, Karn. Bagi saya kaca tu...."

Pantas Dian menggelengkan kepala. "Tak...tak nak...nanti dia datang lagi..."

"Siapa, Dian? Tak ada sesiapa yang datang...tak ada siapa..."

"Tak!!! Tadi dia datang...dia bagi saya bunga tu!!" balas Dian dengan cukup lantang. Matanya dihalakan pada lantai.

Karn turut mengikut pergerakan bebola mata Dian. Hatinya tersentap kuat. Bunga mawar kuning bertaburan di atas lantai. Siapa? Siapa yang datang pada Dian?!

"Saya...saya tak kenal dia. Kenapa dia...dia nak rapat dengan saya? Apa dia nak daripada saya?" Terkumat-kamit mulut Dian. Kemudian dia melempar kaca di tangannya lantas terbang mengenai pipi Karn.

Tersentak Karn dengan tindakan Dian. Baru sahaja dia mahu menyeka darah yang mula menitis di pipi, tidak semena-mena Dian meluru ke arahnya dan mencengkam kedua-dua belah bahunya.

"Dia nak bunuh saya ke? Dia nak bunuh saya, kan? Dia nak bunuh saya!!!" pekik Dian kuat sambil menggoncang-goncang bahu lelaki di hadapannya. Pantas Karn memegang pergelangan tangan Dian, cuba menghentikan perbuatan gadis tersebut. Sempat matanya mengerling pada Mak Teh yang sedari tadi berdiri di muka pintu. Melalui isyarat mata, dia mengarahkan wanita itu untuk mengambil ubat penenang yang diberikan oleh doktor. Pantas Mak Teh berlalu.

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon