BAB 23 + BAB 24

3.9K 96 8
                                    

BAB 23

"TUAN, dia dah sampai."

Karn yang sedang membelek-belek buku rujukan mengenai Acute Stress Disorder (ASD) segera menutupnya. Tanpa menunggu lama, dia bangkit untuk menyambut tetamunya. Sempat juga dia berterima kasih pada Mak Teh yang mengunjukkan bilik bacaan kepada wanita bermata kelabu yang kini terpacak di hadapannya.

"Welcome, doc."

"Oh, don't call me Doc. Just call me Cassie."

Terbentuk senyuman di bibir Karn. Akhirnya bertemu juga dia dengan Dr. Cassandra Johnson, salah seorang doktor psikologi yang didatangkan khas dari Hospital Samitivej Srinakarin, yang terletak di Bangkok untuk membantu Dian. Dengan bayaran sebanyak 2000 Baht satu jam, beserta dengan segala kos penginapan dan penerbangan yang ditanggung oleh Karn, ternyata kos untuk mendapatkan doktor pakar ini bukanlah murah. Namun, Karn tidak kisah. Asalkan Dian bisa disembuhkan, tiada apa-apa yang menjadi masalah buat dirinya.

"Saya dah pun baca fail mengenai Cik Dian. Boleh saya tahu, macam mana perkembangan dia sekarang?" tanya Dr. Cassandra dalam bahasa Thai yang sedikit pelat.

"Wow, baru sahaja tiba...dah nak mula? Impressive!"

"Well, kita dah tak ada banyak masa lagi, kan?" balas Dr. Cassandra dengan senyuman manis. "And...I would really like to meet the patient of mine."

*****

"AWAK jumpa dia, ya?"

Dian menarik muka masam. Tadi dia baru sahaja dimaklumkan tentang kedatangan seseorang yang mahu menemuinya. Kata Karn, wanita tersebut adalah seorang doktor. Pelik! Apa yang doktor mahu daripadanya? Dia bukannya sakit!

"Kenapa saya nak jumpa dia?" cantas Dian dengan nada tidak puas hati.

Dalam diam, Karn melepaskan keluhan. Sudah dia agak inilah reaksi yang bakal dilontarkan oleh Dian. Ya, satu lagi sindrom utama ASD adalah keengganan penghidapnya untuk menerima hakikat bahawa mereka berada dalam keadaan trauma. Kerana itulah Dian seolah-olah menganggap segala apa yang berlaku padanya adalah sesuatu yang normal. Tidak mengingati Kak Liza itu normal, tidak mengingati hakikat kematian Manop itu normal, tidak boleh berjauhan daripada Karn itu normal, selalu meracau-racau itu normal. Kadang-kala Karn jadi tertanya-tanya sendiri, apa agaknya dunia Dian sekarang?

Dunia dia? Di dalam dunianya, Dian hanya merasai kekosongan. Kadang-kala akan muncul Karn dalam dunianya, memberikan dia sedikit ketenangan dan membuatkan dia rasa takut akan kehilangan lelaki itu. Selebihnya, tiada apa-apa yang dia rasai. Segala-galanya kosong. Cuma, pada waktu malamnya sahaja...bayangan-bayangan itu akan muncul di dalam mimpinya, sehingga menyebabkan dia takut untuk melelapkan mata.

"Dian..."

Panggilan Karn mengembalikan fokusnya pada lelaki itu. Tanpa perasaan dia menjawab. "Saya tak nak jumpa dia."

"Dian, awak pun tahu kan, I would do anything for you. Cuma kali ini, saya minta sesuatu daripada awak. Please...do this for me." Tanpa putus asa, Karn memujuk lagi. Sepasang matanya ditalakan tepat pada Dian, mengedip-ngedip penuh harapan.

Dian memuncung. Lemah pula hatinya saat melihat mata Karn yang terkebil-kebil itu. Isy, perfect puppy eyes, gumam hati Dian.

"Okeylah...okeylah, saya jumpa dia. Tapi saya nak awak temankan saya. Saya...saya takut nak jumpa dia sendiri."

'Yesss!!' Karn menjerit dalam diam. Bibirnya menguntum senyuman selebar mungkin. "Chai krap (Ya). Haruslah saya temankan awak. Kan saya dah cakap, saya akan selalu ada di sisi awak?"

CHAN RAK TER...AKU CINTA KAMU (Published)Where stories live. Discover now